Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Institusi agama S’pura aset pembangunan negara, perpaduan masyarakat

Nov 15, 2025 | 7:49 PM
Faishal, Muis, Masjid
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri) melancarkan plak bagi menandakan selesainya kerja naik taraf Masjid Darul Makmur. Turut serta ialah (dari kiri) Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman; Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf; dan Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Institusi keagamaan seperti masjid dan kuil, merupakan aset kepada pembangunan negara kerana ia menyumbang kepada perpaduan masyarakat Singapura, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau berkata ini lebih-lebih lagi setelah agama ada kalanya dipergunakan untuk memecahbelahkan masyarakat di sesetengah negara.

Dr Faishal berkata: “Kumpulan dan institusi keagamaan di Singapura adalah aset kepada pembangunan (negara) kita dan tunjang bagi membina masyarakat majmuk.

“Ia bukanlah sesuatu (yang digunakan) untuk memecahbelahkan masyarakat.

“Oleh itu, kita mesti teruskan usaha ini dengan semua – setiap kumpulan dan institusi keagamaan – agar kita dapat memperdalam dan meningkatkan masyarakat ke arah perpaduan lebih hebat.”

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis meraikan penyelesaian kerja penambahbaikan Masjid Darul Makmur di Yishun Avenue 2 pada 15 November.

Turut hadir ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, Encik Jackson Lam dan Cik Lee Hui Ying – kesemuanya Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon.

Kerja naik taraf masjid itu menelan belanja $15 juta dan kini dapat menampung 4,000 individu pada satu-satu masa berbanding 3,000 orang sebelum ini, menurut kenyataan Muis pada 15 November.

Ini di samping ciri-ciri mesra warga kurang upaya dan warga senja, serta kemudahan dan ruang pembelajaran yang diperluas.

Ia dibuka semula kepada umum pada 7 Jun 2025 dan sejak itu, lebih 200,000 anggota jemaah telah menunaikan solat berjemaah di masjid itu.

Dr Faishal berkata Masjid Darul Makmur memainkan peranan sebagai kajian kes yang boleh diteladani pelbagai negara dalam membangun masyarakat yang padu.

Beliau menukil contoh kerjasama silang agensi, institusi dan kumpulan masyarakat agar warga Islam di kawasan Yishun tetap mempunyai ruang ibadah sesuai sebagai contoh.

Malah ketika kerja naik taraf sepanjang dua tahun dilakukan di masjid itu, solat jemaah diadakan di bekas tapak Sekolah Menengah North View di Yishun Ring Road.

“Saya menganggap apa yang dilalui Masjid Darul Makmur sebagai satu kajian kes atau contoh berkenaan bagaimana kita membina Singapura secara bersama.

“Ia sememangnya tidak sempurna… tetapi ia satu kisah yang boleh menjadi teladan bagi masyarakat sejagat untuk belajar daripada pengalaman ini demi membina masyarakat yang lebih bersatu,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, berkata masjid itu akan melaksanakan inisiatif ‘Makmur Bersama’ yang bertujuan membina masyarakat ihsan dan penuh kasih sayang.

Ini termasuk kegiatan kunjungan ke rumah penjagaan warga senja dan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa mahupun agama.

“Kami akan meningkatkan program dan perkhidmatan masjid, termasuk melanjutkan inisiatif Santunan Emas – yang diasaskan Masjid Al-Muttaqin – bagi warga emas dan penjaga mereka,” jelasnya lagi.

Ini di samping mempergiat kerjasama dengan rakan kerjasama masyarakat bagi “menggalak penjagaan, belas kasihan dan kesejahteraan” dalam kalangan masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg