Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Rakyat S’pura perlu kekal bersatu, sambil terus sokong rakyat Palestin

S’pura tidak pernah jadi pemerhati, akan pertingkat bantuan kemanusiaan bagi ringankan derita rakyat Palestin
Oct 14, 2025 | 4:17 PM
Faishal, konflik Israel-Palestin, pendirian S’pura
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyampaikan ucapan di Parlimen mengenai konflik di Timur Tengah pada 22 September. - Foto MDDI

Menteri Ehwal Luar (Dr Vivian Balakrishnan) telah mengingatkan Dewan Parlimen tentang pendirian Singapura sejak sekian lama bahawa rakyat Palestin berhak ke atas tanah air sendiri dan berhak menentukan nasib mereka sendiri.

Ini merupakan pendirian berterusan kita sejak berdekad lamanya.

Kita juga sejak sekian lama menegaskan bahawa hanya penyelesaian dua negara melalui rundingan boleh membawa kepada penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan bagi konflik Israel-Palestin.

Ramai dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam amat terkesan dengan konflik ini kerana perjuangan rakyat Palestin mempunyai nilai yang mendalam bagi kita.

Namun, saya percaya, saya bercakap bagi pihak semua rakyat Singapura, bukan hanya masyarakat Melayu/Islam, bahawa kita amat gerun dan sedih dengan perkembangan terkini di Timur Tengah.

Apa yang sedang berlaku di Gaza adalah satu tragedi kemanusiaan yang dahsyat.

Penderitaan, perpindahan secara paksa dan kehilangan nyawa orang awam tidak berdosa yang kita saksikan amat sukar ditanggung oleh ramai antara kita, tanpa mengira ideologi atau agama.

Dewan ini buat kali pertamanya membincangkan perkara ini pada 6 November 2023, ketika kita secara tegas mengecam serangan pengganas oleh Hamas dan menyeru pembebasan segera serta tanpa syarat semua tebusan awam.

Apa yang dilakukan oleh Hamas pada 7 Oktober adalah satu tindakan pengganas yang melibatkan pembunuhan secara rambang dan kekejaman melampau.

Kini, hampir dua tahun kemudian, keadaan telah berubah dengan ketara, dan tindakan Israel di Gaza tidak setara dan tidak boleh diterima.

Usaha memperhebat serangan bom ke atas Gaza amat menakutkan. 

Ia telah memusnahkan prasarana penting, bangunan dan perumahan di Gaza, memaksa hampir seluruh penduduk awam di bandar Gaza melarikan diri tanpa tempat selamat untuk berlindung.

Selain itu, terdapat kebuluran dan kekurangan (keperluan asas hidup) yang meluas.

Seperti yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), ia adalah “kebuluran yang dicipta manusia”. 

Lebih menyedihkan, bantuan kemanusiaan telah disekat sejak beberapa bulan lalu oleh Israel.

Rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak terpaksa mempertaruhkan nyawa mereka di zon perang semata-mata untuk mendapatkan makanan. 

Lebih 1,000 orang telah terbunuh di tempat pengagihan makanan yang ganas dan huru-hara.

Langkah berterusan memindahkan secara paksa rakyat Palestin adalah satu perbuatan yang tercela dari segi moral, satu kesalahan terhadap kemanusiaan. 

Sejak perang bermula, 1.9 juta rakyat Palestin terpaksa meninggalkan rumah mereka; dan sejak gencatan senjata pada Mac, lebih 750,000 orang lagi terpaksa berpindah. 

Namun, pemerintah Israel telah memilih untuk memperburukkan tragedi ini dengan meneruskan projek pemindahan secara paksa di Tebing Barat, yang tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.

Berdasarkan mana-mana ukuran, tindakan Israel tidak boleh diterima dengan sebarang alasan dan mungkin juga melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa. 

Dari segi moral, ia jelas salah. 

Israel ada hak untuk mempertahankan diri, tetapi ia kini telah melampaui batas – seperti yang dinyatakan Perdana Menteri (Encik Lawrence Wong) pada Mei.

Bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa, kita mesti menyuarakan penentangan tegas terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa, serta terhadap langkah satu hala yang bertujuan menghapuskan kemungkinan penyelesaian dua negara.

Pada awal September, Singapura menyokong ‘Deklarasi New York’ di Perhimpunan Agung PBB (UNGA), sekali lagi menegaskan sokongan terhadap langkah-langkah ke arah penyelesaian dua negara.

Namun, demi melaksanakan penyelesaian dua negara ini, Israel mesti menerima kewujudan negara Palestin, begitu juga Palestin mesti menerima hak Israel untuk wujud.

Tuan Speaker, saya sedar bahawa persoalan sama ada Singapura harus mengiktiraf negara Palestin secara rasmi menjadi perhatian kita, seperti yang ditimbulkan oleh para Anggota Parlimen. 

Saya ingin memberi jaminan bahawa mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara sememangnya menjadi satu hasrat Singapura dan sesuatu yang sedang pemerintah usahakan. 

Ini adalah pendirian Singapura demi memastikan keamanan yang berkekalan bagi rakyat Palestin dan Israel. 

Ini bukan sesuatu yang perlu dipersoalkan tetapi hanya menanti masa yang sesuai.

Walaupun buat masa ini kita belum mengiktiraf negara Palestin, ingin saya tegaskan dengan jelas kepada rakyat Singapura bahawa kita tidak pernah – dan tidak akan – hanya menjadi pemerhati yang berdiam diri terhadap tragedi yang sedang berlaku di Gaza.

Seperti yang dinyatakan Dr Balakrishnan, Singapura akan mempertingkatkan bantuan kemanusiaan untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin. 

Kita juga akan terus menyalurkan sokongan praktikal kepada usaha membina keupayaan Pihak Berkuasa Palestin sebagai persediaan bagi pembentukan negara Palestin yang berdaulat satu hari nanti.

Terima kasih kepada Anggota Parlimen Melayu/Islam, dan para pemimpin masyarakat kerana bersatu padu, dan gigih menggembleng semua rakyat Singapura – tidak kira bangsa dan agama – untuk menyumbang dengan begitu murah hati kepada semua bantuan kemanusiaan dan usaha pembinaan keupayaan ini.

Terima kasih juga kepada pertubuhan bukan pemerintah (NGO) seperti Humanity Matters, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Mercy Relief. 

Bersama-sama, kita bergotong-royong untuk mewujudkan keadaan yang membolehkan Palestin bangkit dan akhirnya memenuhi kriteria kita untuk diiktiraf.

Saya akur kita berasa sedih, kecewa, bahkan marah dan jijik terhadap tindakan Israel. 

Namun, saya terharu kerana walaupun kita mungkin mempunyai pandangan berbeza mengenai pendirian Singapura dalam isu ini, kita memahami bahawa untuk mencapai keputusan yang terbaik bagi Singapura, dasar luar negara perlu mengambil kira kerumitan di peringkat antarabangsa serta kepentingan nasional kita sendiri. 

Apabila saya berkongsi perkara ini dalam sesi-sesi dialog bersama anggota masyarakat kita, sebahagian besar faham dan ramai yang mahu meneroka pilihan-pilihan lain untuk terus membantu rakyat Palestin.

Tuan Speaker, seperti ramai anggota masyarakat Islam Singapura, saya turut merasa amat terkesan terhadap kemusnahan rumah dan kehilangan nyawa yang tidak berdosa di Gaza dalam bilangan yang begitu besar dan tidak setara. 

Namun, masyarakat Melayu/Islam kita telah menunjukkan bahawa rasa marah dan terkilan yang timbul ini boleh disalurkan menjadi sifat belas ihsan dan kebijaksanaan.

Mereka telah menggembleng tenaga menyokong bantuan kemanusiaan bagi orang awam Palestin di Gaza.

Kebanyakan usaha ini bermula hampir dua tahun lalu ketika konflik kali pertama meletus, dan usaha masyarakat ini masih giat diteruskan hingga sekarang.

Usaha ini bukan sesuatu yang terpencil kerana ramai rakyat Singapura daripada masyarakat lain juga tampil memberi sokongan.

Sebagai contoh, saya gembira melihat kedua-dua masyarakat Islam dan bukan Islam menyumbang kepada kutipan dana ‘Aid for Gaza’, diterajui Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), dengan kerjasama M³@Bandar, yang telah mengumpul lebih $2.4 juta untuk Gaza.

Sejak permulaan konflik, RLAF telah mengumpul $15 juta secara keseluruhan untuk Gaza.

Baru-baru ini, saya bertemu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bulan Sabit Merah Mesir apabila RLAF menyerahkan cek bernilai $1 juta sebagai sebahagian sumbangan kami. 

Beliau berkata Singapura sentiasa menunaikan apa yang dijanjikan.

Saya menjemput rakyat Singapura untuk terus bersatu, membuktikan kata-kata melalui tindakan, dan melakukan apa yang mampu bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Ini kerana, jika kita berada di tempat mereka, kita pasti berharap orang lain akan memberi sokongan yang sama.

Marilah kita terus dipandu oleh kebijaksanaan dan belas ihsan, menjadi penyokong serta contoh keamanan – sama ada di kawasan konflik, mahupun di tanah air kita di sini sesama rakyat Singapura.

Seperti pepatah Melayu: “Bersatu teguh, bercerai roboh”, biarlah ini menjadi panduan kita ketika membincangkan dan memberi respons mengenai situasi di Gaza.

Apa pun pandangan kita, kita perlu sentiasa bertindak secara membina dan bertanggungjawab, kekal bersatu dan berdiri bersama sebagai satu Singapura, sambil memberi sokongan yang amat diperlukan kepada mereka yang memerlukan bantuan jauh di sana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg