Sejak dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam lebih sebulan lalu, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah turun padang dan mendampingi pelbagai segmen masyarakat Melayu/Islam bagi mendengar harapan serta kebimbangan mereka.
Bercakap kepada media selepas pelancaran gerakan pembelajaran sepanjang hayat, Raikan Ilmu, pada 5 Julai, yang diadakan sempena Persidangan Masyarakat Gemilang di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, Dr Faishal berkongsi bahawa beliau telah berbual secara bermakna bersama pelbagai lapisan masyarakat.
Mereka terdiri daripada keluarga, pemimpin masjid, pelajar luar negara, penerima zakat, sukarelawan serta pelbagai pertubuhan masyarakat.
“Saya bukan sahaja mendengar, tetapi saya rasa saya telah berhubung dari hati ke hati,” katanya.
“Pada akhirnya, kita semua bersyukur dengan kehidupan yang kita miliki di Singapura.
“Walaupun tidak sempurna, masyarakat dapat melihat bagaimana kita telah berkembang sebagai satu masyarakat.
“Kita berkongsi kegembiraan, kejayaan dan juga cabaran bersama rakyat Singapura yang lain. Ini adalah sesuatu yang ingin kita teruskan bersama, meneruskan perjalanan membangunkan masyarakat kita ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.
Raikan Ilmu merupakan gerakan utama yang mengangkat nilai pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
Ia telah dilancarkan secara rasmi pada 5 Julai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Raikan Ilmu diadakan selama sebulan, antara 4 dengan 27 Julai.
Sepanjang tahun-tahun penganjurannya, gerakan ini telah berkembang untuk merangkumi acara-acara utama yang melibatkan belia, golongan karyawan, penyelidik dan keluarga.
Dr Faishal melahirkan rasa terharu dengan keterbukaan para peserta.
“Saya amat gembira dapat berinteraksi dengan para belia, pemimpin masyarakat, serta pelajar peringkat tinggi dan ibu bapa mereka.
“Kami berbual mengenai harapan dan aspirasi mereka, serta berkongsi perspektif berdasarkan pengalaman masing-masing,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa dalam sesi perbincangan berkumpulan dan rangkaian, ramai penasihat M³@Towns dan pengerusi masyarakat telah berkongsi keprihatinan serta cadangan yang membina.
“Aspirasi dan iltizam masyarakat untuk maju ke hadapan benar-benar memberi inspirasi kepada saya,” tambah beliau.
Memandang ke hadapan, Dr Faishal menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dan rakan kongsi masyarakat bagi menyatukan kekuatan bersama, berkongsi ilmu dan pengalaman.
Beliau berharap dapat menemui huraian bermakna yang memenuhi keperluan masyarakat demi mempersiapkan diri untuk masa depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg