Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Raikan Ilmu’ dorong semangat bantu diri, belajar sepanjang hayat

DPM Gan puji usaha masyarakat Melayu/Islam, Mendaki terus bina daya tahan masyarakat
Jul 5, 2025 | 8:52 PM
Raikan Ilmu, Mendaki, Melayu
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah; Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad semasa Persidangan Masyarakat Gemilang sempena pelancaran Raikan Ilmu 2025. - Foto ST

Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, memuji masyarakat Melayu/Islam atas semangat bantu diri yang berterusan dan usaha gigih mereka dalam mempertingkatkan diri melalui pendidikan dan kerjasama, khususnya menerusi inisiatif seperti Raikan Ilmu.

Raikan Ilmu@Heartlands, anjuran Yayasan Mendaki, bertujuan memberi keluarga yang mempunyai anak kecil, golongan belia dan pekerja, pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dan interaktif.

Sewaktu berucap semasa pelancaran Raikan Ilmu 2025 pada 5 Julai di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands, Encik Gan menekankan kepentingan badan ini dalam memupuk budaya pembelajaran yang berterusan dan membina daya tahan masyarakat.

Raikan Ilmu yang bermula dari 4 Julai hingga 27 Julai asalnya merupakan acara sehari tetapi kini dikembangkan kepada sambutan sebulan yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat menerusi forum, persidangan, sesi bina rangkaian dan simposium.

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Encik Gan Kim Yong; Pemangku Menteri yang Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; serta Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, berinteraksi bersama pemimpin belia di Persidangan Masyarakat Gemilang.
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Encik Gan Kim Yong; Pemangku Menteri yang Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; serta Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, berinteraksi bersama pemimpin belia di Persidangan Masyarakat Gemilang. - Foto YAYASAN MENDAKI

Encik Gan menggesa masyarakat untuk terus membina budaya bantu diri ini sambil memperkukuh kerjasama dengan kumpulan bantu diri dari kaum lain bagi membentuk sebuah masyarakat yang teguh dan berdaya tahan.

“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura, satu pencapaian penting bagi kita sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama,” kata Encik Gan kepada 150 individu yang menghadiri pelancaran itu.

“Ia juga menjadi peringatan tepat pada masanya untuk kita merenung bagaimana kita mahu bergerak ke hadapan sebagai sebuah masyarakat dan negara. Usaha pemerintah sahaja tidak mencukupi, kita memerlukan pendekatan seluruh masyarakat,” tambahnya.

Beliau menekankan bahawa pertubuhan masyarakat seperti Yayasan Mendaki memainkan peranan penting dalam melengkapi usaha pemerintah.

Mendaki ditubuhkan lebih 40 tahun lalu bagi menangani cabaran pendidikan dalam masyarakat, dan kini menjadi pemacu utama dalam kemajuan masyarakat Melayu/Islam.

Penyanyi Shazza, atau nama sebenarnya, Shareefa Aminah Abdul Shariff, membuat persembahan pada Persidangan Masyarakat Gemilang sempena pelancaran Raikan Ilmu 2025 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.
Penyanyi Shazza, atau nama sebenarnya, Shareefa Aminah Abdul Shariff, membuat persembahan pada Persidangan Masyarakat Gemilang sempena pelancaran Raikan Ilmu 2025 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands. - Foto ST

“Hari ini, lebih dua kali ganda belia Melayu/Islam memperoleh kelayakan selepas peringkat menengah berbanding tahun 2000, dan bilangan lulusan universiti dalam kalangan orang dewasa Melayu/Islam pula meningkat lima kali ganda.

“Lebih ramai juga kini memegang jawatan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET). Ini adalah hasil yang penting, dicapai melalui inisiatif seperti Raikan Ilmu,” jelas beliau.

Antara acara utama tahun ini (2025) termasuk Persidangan Masyarakat Gemilang, sesi jalin rangkaian YOUth@M3 serta Simposium Mendaki, yang menghimpunkan penyelidik dan pembuat dasar bagi membincangkan huraian berasaskan data untuk menangani isu masyarakat.

Pada 2024 sahaja, program dan inisiatif Yayasan Mendaki telah memberi manfaat kepada lebih 130,000 Melayu/Islam di Singapura.

Ia merupakan satu impak besar yang menunjukkan kepentingan Yayasan Mendaki, yang merentas pelbagai peringkat kehidupan, daripada usia awal kanak-kanak hingga ke peralihan kerjaya.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pula tersentuh dengan perbualan yang diadakan bersama pelbagai segmen masyarakat sepanjang sebulan lalu sejak pelantikannya.

Mereka termasuk keluarga, pelajar, pemimpin masjid, belia di luar negara dan sukarelawan.

“Saya bukan sahaja berbual, malah menjalin hubungan dari hati ke hati. Aspirasi dan dedikasi masyarakat memberi saya inspirasi. Saya menantikan peluang untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi mencipta huraian yang bermakna,” kata beliau.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, pula menekankan pentingnya mempersiapkan belia dalam menghadapi ekonomi yang sentiasa berubah melalui pendidikan dan rangkaian yang berterusan.

“Kami mahu memupuk anak-anak Melayu kita, bukan sahaja dalam aspek pembelajaran dan prestasi pendidikan, tetapi juga bagaimana mereka meraikan rangkaian dalam industri.

“Ini akan memberi mereka bayangan bagaimana untuk meraih peluang pekerjaan yang baik, bukan sahaja di Singapura tetapi juga di rantau ini dan seluruh dunia,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Encik Gan turut menyeru agar lebih banyak kerjasama rentas kumpulan dijalankan dengan menyorot inisiatif seperti Program Tuisyen Kolaboratif yang dikendalikan oleh empat badan bantuan diri berasaskan kaum bagi menyediakan tuisyen yang dimampui untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

“Kerjasama seperti ini akan membantu memperbaharui dan memperkukuh kontrak sosial Singapura serta mempererat jati diri kita sebagai sebuah negara berbilang kaum,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg