Semangat perpaduan sosial terus kukuh dalam kalangan rakyat Singapura menyusuli kejadian kiriman bungkusan mengandungi daging khinzir ke Masjid Al-Istiqamah pada 24 September, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Bercakap kepada pihak media selepas acara pembukaan rasmi Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) di Singapore Expo pada 27 September, Dr Faishal berkata ramai rakyat Singapura telah menyuarakan kebimbangan dan sependapat bahawa tindakan sebegitu sama sekali tidak boleh diterima.
“Reaksi ini bukan sahaja datang daripada masyarakat Melayu/Islam, malah turut diluahkan oleh rakyat berbilang agama dan kaum lain,” katanya.
Beliau menambah, sikap itu mencerminkan semangat gotong-royong serta asas perpaduan yang telah lama dipupuk di negara ini.
“Sokongan serta keprihatinan yang ditunjukkan susulan insiden itu memberi keyakinan bahawa kita mampu menghadapi cabaran bersama, malah tampil lebih kuat sebagai satu negara,” ujar beliau.
Apabila ditanya saranannya kepada mereka yang mungkin ingin meniru kelakuan sedemikian, Dr Faishal menegaskan bahawa mereka harus sedar Singapura telah berusaha membina masyarakat padu sejak lebih enam dekad lalu, dan usaha itu mesti dipelihara.
“Reaksi daripada pelbagai kumpulan agama dan kaum jelas menunjukkan kita telah membangunkan sesuatu yang amat berharga – yang perlu kita jaga, lindungi dan terus kembangkan,” tambahnya.
Beliau turut menggesa rakyat agar berwaspada terhadap sebarang kegiatan mencurigakan dan saling prihatin antara satu sama lain.
Katanya, pihak masjid juga telah didekati dan diingatkan supaya segera melaporkan sebarang kejadian kepada pihak berkuasa.
Meskipun begitu, Dr Faishal percaya kejadian itu adalah satu insiden terpencil, dan tumpuan wajar diberikan kepada langkah seterusnya untuk membolehkan masyarakat bangkit lebih kuat.
“Jika ditangani dengan betul, ia sebenarnya mampu menguatkan masyarakat.
“Dalam kes ini, saya percaya ia telah menguatkan kita dan menjadi satu titik tolak untuk kita bekerja lebih keras dalam menggalas perpaduan rakyat Singapura tanpa mengira kaum, bahasa atau agama,” tambah beliau.
Sementara itu, seorang lelaki telah didakwa di Mahkamah Negeri pada 27 September berhubung kiriman bungkusan tersebut.
Bill Tan Keng Hwee, 61 tahun, berdepan tuduhan dengan niat sengaja melukakan perasaan kaum seseorang di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan 1871.
Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Tan didakwa telah menghantar sampul surat yang dialamatkan kepada masjid tersebut yang terletak di 2 Serangoon North Avenue 2, yang mengandungi seketul daging khinzir dan nota bertulis “halal BaBi chop”.
Akibat kejadian itu, seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas, manakala beberapa jemaah lain meninggalkan masjid sejurus bungkusan berkenaan ditemui.
Tan dikatakan terlibat dalam beberapa kes serupa di masjid lain di Singapura.
Pihak pendakwa polis meminta Tan direman selama seminggu untuk siasatan lanjut.
Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
“
“Sokongan serta keprihatinan yang ditunjukkan susulan insiden itu memberi keyakinan bahawa kita mampu menghadapi cabaran bersama, malah tampil lebih kuat sebagai satu negara.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg