Faishal: Setiap generasi pikul amanah perkasa diri, tinggalkan legasi lebih baik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Setiap generasi pikul amanah perkasa diri, tinggalkan legasi lebih baik

Gesa masyarakat Melayu/Islam terus pelihara, pupuk keharmonian antara agama dalam dunia yang kian pecah-belah
Mar 20, 2026 | 8:00 PM

Faishal: Setiap generasi pikul amanah perkasa diri, tinggalkan legasi lebih baik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Amanat Hari Raya Aidilfitri, Faishal,  pupuk keharmonian, legasi lebih baik 
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri), bersama Lembaga Pentadbir Masjid Jamae Chulia. - Foto MDDI

Setiap generasi memikul amanah untuk memperkasa diri, menyumbang dengan ikhlas dan meninggalkan legasi yang lebih baik buat generasi seterusnya, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Menurut beliau, antara cara untuk melaksanakan amanah ini adalah dengan memelihara dan memupuk semangat keharmonian antara agama, lebih-lebih lagi dalam dunia yang kian berpecah-belah.

Dalam pesanan Hari Raya yang pertama dalam rakaman berjudul Bingkisan Hari Raya dari Masjid Jamae Chulia di South Bridge Road, Dr Faishal menukil contoh masjid tersebut, sebuah monumen negara yang dibina pada 1820-an oleh perintis masyarakat Islam Chulia, sebagai lambang perpaduan agama yang teguh di Singapura.

“Masjid wakaf ini menjadi saksi kepada titik peluh, pengorbanan dan sumbangan para perintis masyarakat Islam Chulia lebih 200 tahun yang lalu.

“Mereka bukan hanya membina masjid untuk kita beribadah, tetapi juga telah menanam semangat berbakti kepada masyarakat.

“Pintunya sentiasa terbuka kepada semua, tanpa mengira bangsa mahupun agama,” kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Terletak berdekatan dua buah kuil berlainan agama, beliau berkata masjid itu telah lama menjalin hubungan kejiranan yang erat, sekali gus menjadi penghubung untuk memperkukuhkan persefahaman.

“Begitulah juga semangat Hari Raya yang menggalakkan kita untuk melangkaui kepentingan diri demi mengukuhkan jalinan ukhuwah dalam masyarakat majmuk kita,” kata Dr Faishal.

Di samping menyambut ketibaan Syawal, Dr Faishal berkata Hari Raya bukanlah sekadar satu perayaan semata-mata, ia juga merupakan ruang untuk umat Islam kembali kepada fitrah dengan hati yang lebih jernih, tenang dan prihatin.

“Dalam dunia yang tidak menentu, nilai-nilai yang kita semai sepanjang Ramadan menjadi semakin bermakna. Kita menzahirkan rasa syukur atas nikmat yang dikurniakan, sopan dan santun dalam tutur kata dan perbuatan kita serta kesediaan untuk memberi dan berkongsi, walau dalam apa jua keadaan.

“Semoga semangat Syawal ini membawa keberkatan dan menguatkan azam kita untuk menjadi versi terbaik diri kita,” tambahnya.

Mengulas mengenai kemajuan masyarakat, Dr Faishal memuji kerjasama antara masjid, madrasah, sukarelawan, serta badan-badan Melayu/Islam, India/Islam dengan kumpulan tidak rasmi demi kemaslahatan masyarakat

Beliau menyifatkan kejayaan yang dikecapi hari ini sebagai hasil kekuatan dan usaha bersama masyarakat, bertepatan dengan peribahasa “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”.

“Apabila kita memainkan peranan masing-masing dengan keikhlasan dan tujuan yang sama, kita boleh melangkah ke hadapan bersama-sama sebagai satu masyarakat dan negara, dengan satu hati,” kata Dr Faishal.

Di tengah-tengah keriangan menyambut Aidilfitri, Dr Faishal turut mengajak masyarakat Islam untuk merenung nasib mereka yang sedang menghadapi konflik dan pergolakan di serata dunia.

Beliau mengajak orang ramai untuk sama-sama berdoa agar mereka yang berdepan dengan cabaran dan pergolakan sentiasa dilindungi, dan agar ketenangan serta kebijaksanaan mengatasi keganasan dan pertelingkahan.

Dr Faishal turut menyeru umat Islam di Singapura untuk kekal tenang dan bersatu, sambil menarik perhatian bahawa dalam kebersamaan inilah terletaknya kekuatan untuk saling menjaga dan memahami antara satu sama lain.

“Hari Raya ini, marilah kita terus bersatu hati dalam semangat dan tujuan untuk membina masyarakat yang kukuh berteraskan kesyukuran, kesopanan dan kesantunan.

“Bagi pihak rakan-rakan Anggota Parlimen, saya Faishal Ibrahim mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin,” ucap Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg