Habuan ‘Meat For Eid’ Jamiyah untuk 3,500 keluarga memerlukan di 16 kawasan undi
Habuan ‘Meat For Eid’ Jamiyah untuk 3,500 keluarga memerlukan di 16 kawasan undi
AP, masyarakat gotong-royong agih daging, bahan makanan kering jelang Aidilfitri
Sekitar 3,500 isi rumah berpendapatan rendah merentas 16 kawasan undi di Singapura menerima habuan berisi daging dan bahan makanan kering pada hujung minggu 14 dan 15 Mac sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Usaha tersebut merupakan sebahagian program, ‘Meat For Eid’, anjuran Jamiyah Singapura, satu inisiatif tahunan yang telah dijalankan badan itu sepanjang sedekad lalu.
Selain sukarelawan, para Anggota Parlimen (AP) turut turun padang mengagihkan habuan tersebut di kawasan undi berbeza.
Di daerah Kembangan, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyingsing lengan mengagihkan habuan kepada sekitar 100 keluarga berpendapatan rendah di Eunos Crescent.
Melahirkan penghargaan dan rasa syukur, Dr Faishal, yang juga AP GRC Marine Parade-Braddell Heights, berkata daya usaha anjuran Jamiyah itu menonjolkan semangat keihsanan dan kemurnian Ramadan selain memberi keceriaan kepada para penerima habuan.
“Ini satu usaha yang sangat baik kerana dengan Hari Raya yang bakal tiba dan juga kos yang semakin meningkat, dengan adanya sumbangan ini, ia meringankan beban dan juga membantu penduduk kita yang mungkin memerlukan sokongan,” kata beliau.
Setiap habuan itu, yang bernilai hampir $100, mengandungi dua kilogram daging lembu atau kambing, dua ekor ayam, pes rendang dan ayam masak merah, ketupat segera, serta kuih Hari Raya.
Ini akan membolehkan keluarga penerima menyediakan juadah istimewa sempena Lebaran yang bakal tiba.
Habuan tersebut turut merangkumi bahan makanan kering yang didermakan oleh Heartwarmers Volunteer Group.
Kawasan undi yang terlibat bagi program ‘Meat For Eid’ Jamiyah itu termasuk Punggol, Pasir Ris, Kembangan, Kampong Gelam, Limbang, Yew Tee, Woodlands, West Coast, Bedok, Nee Soon, Tampines Boulevard, Sembawang Central, Cheng San, Radin Mas, Clementi dan Bukit Batok.
Antaranya, kawasan Sembawang menyaksikan AP mereka, Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, turun padang dalam mengagihkan habuan itu kepada penduduk yang memerlukan.
Kawasan Nee Soon pula disertai AP mereka, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Dr Syed Harun berkata pengagihan habuan dengan kerjasama Jamiyah itu menunjukkan bahawa apabila masyarakat saling bergotong-royong dan menolong, apatah lagi antara badan masyarakat dengan sukarelawan akar umbi, lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk menyokong penduduk dan golongan memerlukan.
“Ia juga merupakan satu langkah yang dapat menyebarkan keceriaan dan keberkatan Hari Raya Aidilfitri, yang akan menjelang tidak lama lagi, kepada semua lapisan masyarakat kita,” ujar beliau.
Setiausaha Agung Jamiyah, Encik Muhammad Khair Baharin, berkata pihaknya menghargai dan berterima kasih atas sumbangan penaja, penderma dan pihak akar umbi untuk sama-sama bekerjasama dan berganding bahu membantu golongan fakir miskin dan kurang upaya bagi Ramadan dan Syawal ini.
“Usaha Jamiyah menyumbang habuan makanan kepada golongan memerlukan, dengan memberi daging, ayam dan makanan kering, adalah supaya kita semua dapat sama-sama meraikan Hari Raya yang bakal tiba,” kata beliau.


