Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata anugerah yang mengiktiraf kecemerlangan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dalam menyampaikan pengalaman haji yang lancar dan bermakna bagi jemaah Singapura, memperkukuh kes Singapura untuk merayu bagi kuota haji yang lebih tinggi bagi tahun-tahun mendatang.
Bercakap kepada media pada satu sesi temu media di Balai Ketibaan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 13 Jun semasa menyambut kepulangan rombongan pertama anggota jemaah haji Singapura seramai 89 orang, Dr Faishal berkongsi bahawa Anugerah Emas Labbaitum yang diterima SPAO itu adalah bukti dedikasi kakitangan dan sukarelawan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang telah mengutamakan aspek penjagaan serta pengalaman ibadah haji dalam perkhidmatan mereka.
“Saya sangat berbangga dengan mereka, dan dengan anugerah yang diberikan ini, ia turut memberi kami peluang, tekad dan komitmen untuk terus menjalinkan hubungan serta membuat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan kuota yang lebih tinggi bagi rakyat kita,” ujar Dr Faishal.
Dr Faishal menegaskan semula hasrat pemerintah untuk terus menjalin kerjasama dengan pihak Arab Saudi agar lebih ramai rakyat Singapura dapat menunaikan ibadah haji lebih awal, seperti mana komitmen yang turut dikongsi oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Kuota rasmi jemaah haji Singapura telah kekal pada 900 sejak 2018.
“Ini bukan sahaja datang daripada saya selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, malah saya amat gembira kerana Perdana Menteri sendiri turut komited dalam usaha ini.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk merayu agar kuota haji dapat ditambah, supaya lebih ramai rakyat Singapura berpeluang menunaikan ibadah haji lebih awal.
“Kami juga berharap usaha ini akan mendapat sokongan padu daripada seluruh masyarakat. Walau berapa pun jumlah jemaah yang dapat menunaikan haji, kita mahu memastikan mereka memperoleh pengalaman yang bermakna,” tambah beliau.
Pada Januari lalu Majlis Kerjasama Strategik Saudi-Singapura telah diumumkan.
Di bawah kerjasama tersebut, Encik Wong dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman akan bertemu secara tetap untuk memperdalam kerjasama dua hala.
Rombongan pertama anggota jemaah haji yang tiba di Terminal 3 pada 4.30 petang ini terdiri daripada empat Ejen Penjualan Pakej Haji (GSA) iaitu Shahidah Travel & Tours, TM Fouzy Travel & Tours, Hahnemann Travel & Tours, dan Hagel Travel & Tours.
Kumpulan terakhir jemaah haji dijangka pulang ke Singapura pada 25 Jun.
Antara anggota jemaah haji yang ditemui Berita Harian (BH) adalah pasangan suami isteri, Encik Rashidi Abdul Rahim, 42 tahun, dan Cik Nur Halisah Jumat, 40 tahun.
Meskipun dalam keadaan cuaca panas terik, bapa dua anak itu menyifatkan keadaan di Arafah lebih teratur dengan pelbagai kemudahan disediakan dan memuji pengurusan yang baik oleh pihak Arab Saudi dan Muis dalam memastikan perjalanan ibadah berjalan lancar dan selesa.
“Alhamdulillah, keadaan di Arafah tahun ini jauh berbeza berbanding tahun-tahun yang lalu.
“Walaupun cuaca di Arafah agak panas dan pada hari yang mula di Arafah tu cuaca sampai 45 darjah Celsius… Saya rasa ia adalah operasi yang sangat baik yang dilakukan oleh pasukan dari Persatuan Ejen-Ejen Pelancong Muslim Singapura (Amtas) dan Muis,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg