Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi iktiraf Pejabat Ehwal Jemaah S’pura atas khidmat cemerlang jaga jemaah haji

Diberi Anugerah Emas Labbaitum oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi
Jun 9, 2025 | 6:43 PM
Haji, S’pura, Saudi
Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) telah diberi Anugerah Emas Labbaitum oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen (dua dari kiri), menerima anugerah itu bagi pihak SPAO di Makkah. Turut bergambar bersama beliau termasuk Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Fawzan Al Rabiah (tengah). - Foto FACEBOOK MUIS

Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) telah diberi Anugerah Emas Labbaitum oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, kata Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen.

Anugerah tersebut mengiktiraf pasukan yang berkhidmat dengan cemerlang, untuk memastikan jemaah haji menerima penjagaan dan sokongan bermutu sepanjang perjalanan mereka.

Menulis dalam satu kiriman Facebook pada 9 Jun, Encik Kadir berkata penghargaan itu benar-benar untuk ramai individu yang bekerja tanpa lelah – sering kali secara senyap di belakang tabir – beberapa bulan sebelum musim haji bermula.

“Daripada pegawai kami yang mengendalikan pendaftaran dengan sabar dan belas kasihan, kepada pasukan teknologi kami yang mempertingkatkan aplikasi PilgrimSG, individu di sebalik program Get Fit for Haj, dan kakitangan barisan depan yang berjalan setiap langkah bersama jemaah haji kita – terima kasih dari lubuk hati saya.

“Saya juga berterima kasih kepada rakan kongsi kami di Konsulat Singapura di Jeddah dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancong Muslim Singapura (Amtas) – sokongan tidak berbelah bahagi anda telah menjadikan detik penting ini satu kenyataan,” kata beliau.

Muis, dalam satu kenyataan pada 9 Jun, berkata anugerah itu menonjolkan pendekatan menyeluruh SPAO, yang antara lain menyepadukan inovasi digital melalui platform PilgrimSG, mempertingkat bantuan dan penyelarasan dalam masa nyata, dan pematuhan penuh kepada peraturan haji Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Ia menambah bahawa anugerah itu meletakkan SPAO – dan juga Singapura – sebagai “contoh global dalam mengimbangi tradisi dengan inovasi bagi perkhidmatan haji”.

“Model kami menunjukkan bagaimana huraian digital canggih boleh berfungsi selaras dengan amalan haji tak lapuk dek zaman, mewujudkan pengalaman lebih selamat, bermakna sementara mengekalkan pematuhan penuh kepada peraturan haji,” kata Muis.

Sementara itu, Encik Kadir berkata Muis akan terus bekerja rapat dengan rakan-rakan mereka di Arab Saudi untuk berusaha mendapatkan kuota haji yang lebih besar untuk Singapura.

Beliau berkata Muis memahami bahawa masih ramai yang menanti giliran mereka dipanggil untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Meskipun Muis tiada kawalan ke atas kuota haji yang ditentukan oleh pihak Arab Saudi, mereka komited sepenuhnya untuk melakukan segala yang mereka mampu, tambah beliau.

“Kami dengar keinginan anda. Tidak mudah untuk menunggu tahun demi tahun bagi nama anda dipanggil.

“Ketahuilah bahawa Muis terus bekerja rapat dengan rakan sejawatan kami di Arab Saudi untuk mendapatkan kuota lebih besar untuk Singapura.

“Meskipun kami mungkin tiada kawalan ke atas angka (kuota) akhir, kami komited sepenuhnya untuk melakukan segala yang kami mampu – dan sementara itu, memastikan setiap jemaah yang pergi membuat persiapan yang baik dan dijaga dengan baik.

“Semoga Allah swt menerima semua usaha kita, mempermudahkan jalan bagi mereka yang masih menunggu, dan membimbing kita dengan keikhlasan dan kebijaksanaan dalam tugas suci ini,” kata beliau yang memimpin delegasi haji Singapura seramai 900 jemaah pada 2025.

Kuota rasmi jemaah haji Singapura telah kekal pada 900 sejak 2018, kecuali pada 2022 semasa pandemik Covid-19 apabila ia dikurangkan kepada 407 tempat.

Kuota haji rasmi Singapura adalah berdasarkan 0.1 peratus penduduk Islam di Singapura. Formula 0.1 peratus itu diputuskan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 1987.

Sekitar 62,000 warga Singapura kini dalam senarai menunggu untuk menunaikan haji.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg