Ancaman pengganasan di Singapura telah meningkat sejak perang Israel-Hamas meletus, dengan konflik itu mencetuskan lebih banyak tindakan pengganasan di seluruh dunia, yang turut menjejas negara ini.
Dalam laporan tahunannya mengenai pengganasan yang dikeluarkan pada 25 Julai, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura berkata anasir pengganas menggunakan konflik itu untuk meneruskan agenda mereka.
Ia berkata terdapat lebih banyak retorik anti-Singapura di media sosial daripada unsur pelampau serantau, dengan beberapa netizen serantau menganggap Singapura pro-Israel, menurut satu laporan The Straits Times.
Agensi itu berkata walaupun tiada tanda ancaman akan berlaku ke atas Singapura, kewaspadaan diperlukan.
ISD berkata beberapa anasir pelampau serantau tidak bersetuju dengan tindakan Singapura memberi sumbangan kepada Operasi Penjaga Kemakmuran.
Operasi itu adalah sebuah angkatan keselamatan maritim antarabangsa yang dibentuk bagi bertindak balas terhadap serangan pemberontak Houthi Yaman terhadap perkapalan di Laut Merah.
Dari Januari hingga Jun 2024, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mengerahkan 12 anggotanya untuk membantu dengan perkongsian maklumat dan perancangan operasi di bawah operasi tersebut.
Menyusuli itu, ISD berkata ada siaran media sosial yang menggesa serangan ke atas Singapura menggunakan bom dan roket, dan menyeru agar republik itu dimusnahkan dan dihapuskan.
ISD juga berkata di Singapura, menjadi radikal secara sendiri terus menjadi ancaman utama.
Seramai 52 individu yang menjadi radikal secara sendiri, termasuk 40 warga Singapura, dikenakan perintah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 2015. Mereka termasuk 13 warga Singapura berumur 20 tahun ke bawah.
Sejak Julai 2023, tiga kes baru individu menjadi radikal secara sendiri ditangani di bawah ISA. Mereka adalah dua remaja lelaki berusia 14 dan 16 tahun, dan seorang wanita Singapura berusia 33 tahun. Kesemuanya telah dikenakan perintah sekatan.
ISD berkata konflik Israel-Hamas yang berterusan mencetuskan radikalisasi dalam kes remaja 14 tahun itu dan wanita tersebut, sekali gus menekankan risiko bahawa naratif pelampau asing boleh menjejas keselamatan negara dan keharmonian sosial Singapura.
Agensi itu menambah bahawa kes-kes tersebut menunjukkan sesiapa sahaja, tidak kira umur, jantina, agama atau pekerjaan mereka, boleh terdedah kepada radikalisasi.
Radikalisasi sedemikian boleh berlaku dalam tempoh singkat.
Kes-kes ini juga menunjukkan golongan muda di Singapura terdedah kepada radikalisasi dalam talian oleh pelbagai ideologi pelampau, seperti ekstremisme Islam dan ekstremisme sayap kanan (FRE).
ISD berkata FRE adalah ancaman keselamatan yang berkembang pesat, merangkumi pelbagai kepercayaan yang selalunya eksklusif.
Ia juga menyokong keganasan sebagai satu cara menjaga kesucian etnik atau mencapai objektif politik, dan merupakan kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat, khususnya bagi negara Barat.
ISD berkata selain menggalak individu terlibat dalam keganasan, naratif sebegitu juga berisiko menimbulkan polarisasi masyarakat dan memperdalam garis sesar masyarakat.
Agensi itu berkata belia amat terdedah dan mungkin tertarik pada rasa kekitaan dan identiti yang nampaknya diberikan oleh pergerakan sayap kanan.
Ia telah mengesan dua kes belia tempatan menjadi radikal sendiri oleh FRE, yang terbaru ialah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, yang dikenakan perintah sekatan pada November 2023.
ISD juga berkata rakyat Singapura perlu berwaspada tentang wadah mereka menyumbang bantuan. Mereka yang ingin menderma harus berbuat demikian melalui badan amal seperti Palang Merah dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin.
Sesiapa yang mengetahui atau mengesyaki seseorang telah menjadi radikal hendaklah menghubungi talian hotline Pusat Counter-Terrorism ISD di 1800-2626-473.
Serangan yang dicetuskan oleh konflik Israel-Hamas:
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg