Faishal: S’pura prihatin serangan AS-Israel ke atas Iran, sokong usaha redakan ketegangan
Faishal: S’pura prihatin serangan AS-Israel ke atas Iran, sokong usaha redakan ketegangan
Kegagalan diplomasi tingkatkan ketegangan di rantau itu; gesa rakyat S;pura kekal tenang, bersatu dan terus menjaga keharmonian yang sudah lama terjalin
Singapura amat prihatin dan memandang serius terhadap serangan yang berlaku ke atas Iran dan Lebanon serta menganggap serangan itu sebagai “kegagalan usaha diplomasi”, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), menambah bahawa serangan itu hanya meningkatkan ketegangan di rantau Timur Tengah dan mempunyai kesan meluas terhadap masyarakat awam.
Mengulas lebih lanjut semasa ditemui media sebelum menyertai hadirin di Majlis Iftar Beramai-ramai Gemilang Kampung Gelam pada 28 Februari, Dr Faishal menggesa rakyat Singapura agar kekal tenang, bersatu dan terus menjaga keharmonian yang sudah lama terjalin.
Ini di samping tidak melupakan nasib yang melanda rakyat Palestin dan “keperluan mendesak untuk mencapai penyelesaian yang adil dan aman” di rantau Timur Tengah.
“Singapura memandang serius serangan yang berlaku di Iran dan Lebanon. Kegagalan usaha diplomasi telah mencetuskan ketegangan di rantau tersebut.
“Ini amat membimbangkan, khususnya terhadap keselamatan orang awam.
“Hakikat bahawa insiden ini berlaku di bulan Ramadan yang mulia ini menambah lagi rasa dukacita dan keprihatinan yang dirasai oleh ramai pihak,” ujar Dr Faishal.
Menurut beliau, pemerintah akan terus memantau keadaan di samping terus menyokong usaha meredakan ketegangan.
“Pemerintah akan terus mengikuti perkembangan ini dan menyokong segala usaha untuk meredakan keadaan, melindungi nyawa, serta menegakkan prinsip undang-undang antarabangsa.
“Di bulan yang penuh keberkatan ini, kita berdoa agar mereka yang tidak bersalah sentiasa dilindungi dan agar kewarasan serta kebijaksanaan mengatasi keganasan,” ujarnya.
Pada 28 Februari, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran sekaligus meletakkan kedudukan Timur Tengah ke arah konfrontasi ketenteraan baru dan menipiskan peluang terhadap penyelesaian diplomatik kepada isu nuklear Iran yang berlarutan dengan Barat.
Sementara itu, Anggota Parlimen SMC Yio Chu Kang, Encik Yip Hon Weng, dalam satu catatan Facebook pada 28 Februari berkata serangan terkini Amerika dan Israel ke atas Iran adalah peringatan jelas tentang betapa rapuhnya keamanan global.
Beliau, yang juga pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Pertahanan dan Ehwal Luar, berkata:
“Kegagalan diplomasi telah meningkatkan lagi ketegangan di rantau yang sudah tidak stabil.
“Ini merupakan peringatan nyata tentang bagaimana pantasnya ketegangan boleh memuncak.”
Oleh itu, beliau mengingatkan rakyat Singapura usah mengambil mudah keamanan dan keharmonian yang dinikmati kerana perpaduan merentas kaum dan agama.
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu dengan konflik, perpaduan kita merentas kaum, agama dan kewarganegaraan adalah lebih berharga dan lebih penting daripada sebelumnya,” tekannya.
Susulan serangan itu, seorang pegawai Iran memberitahu agensi berita Reuters bahawa Teheran sedang bersedia untuk bertindak balas, dengan tindakan yang dijangka dahsyat.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata negara itu telah memulakan “operasi pertempuran besar” di Iran.
“Objektif kami adalah untuk mempertahankan rakyat Amerika dengan menghapuskan ancaman yang akan berlaku daripada rejim Iran,” katanya dalam video yang dikongsi di media sosial pada 28 Februari.
Serangan itu, yang berlaku selepas Israel dan Iran terlibat dalam perang udara selama 12 hari pada Jun, menyusuli amaran berulang Amerika-Israel bahawa mereka akan menyerang lagi jika Iran meneruskan program nuklear dan peluru berpandu balistiknya.
Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, berkata Israel “melancarkan serangan pencegahan terhadap Iran untuk menghapuskan ancaman kepada Negara Israel”.

