Warga Singapura harus sentiasa berwaspada terhadap kandungan yang mengetengahkan unsur pengganasan, keganasan, kebencian dan pelampau, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam satu catatan di Facebook pada 10 September, beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), menggesa agar warga Singapura turut berwaspada terhadap kandungan yang mengeksploitasi simpati kemanusiaan.
Ini selain perlunya bersiap siaga terhadap ancaman radikalisasi dalam kalangan belia.
Dr Faishal berkata: “Saya menyeru semua pihak agar sentiasa berwaspada terhadap kandungan yang menyebarkan fahaman pengganasan, keganasan, kebencian dan/atau ekstremisme, termasuk kandungan yang menyalahgunakan rasa simpati kemanusiaan kita.
“Ancaman radikalisasi belia kian mendesak dan kita perlu sentiasa berwaspada.”
Beliau berkata demikian menyusuli Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikenakan terhadap dua warga Singapura, seperti yang didedahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 9 September.
Ia melibatkan seorang pelajar Menengah 3 berusia 14 tahun dan seorang pemilik perniagaan dalam talian, Muhammad Jihadul Mustaqiim Mahmud, 30 tahun.
Remaja tersebut merupakan antara individu termuda yang dikenakan perintah di bawah ISA setakat ini.
Identiti pelajar itu tidak didedahkan oleh ISD, namun ISD menyatakan sejak dikenakan RO pada September 2025, remaja itu menjalani program pemulihan yang merangkumi kaunseling agama oleh Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) serta pemulihan psikologi dan sosial.
Dr Faishal berkata program pemulihan menyeluruh ke atas remaja itu “menangkis ideologi ekstremis yang telah mempengaruhi pemikirannya serta memberi bimbingan dan sokongan yang diperlukan, termasuk memastikan pendidikannya tidak terjejas”.
Individu kedua, iaitu Jihadul, dikenakan RO sejak Julai, kata ISD.
Menurut ISD, dia memupuk rasa simpati terhadap warga Syria yang terjejas dengan konflik sejak 2011.
Menjelang akhir 2019, dia ingin berjuang bersama kumpulan pemberontak Syria bagi menjatuhkan rejim mantan Presiden Syria yang digulingkan pada Disember 2024, Bashar al-Assad.
Setelah rejim Assad tumbang, Jihadul telah mengalihkan perhatiannya kepada pertikaian wilayah yang berlarutan antara Turkey dengan Greece, dan mempertimbangkan untuk menggunakan senjata bagi mempertahankan Turkey.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg