Seorang pelajar lelaki Menengah Tiga, yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menghabiskan beberapa jam setiap hari menonton kandungan pelampau sayap kanan dan berpegang pada kepercayaan anti-Yahudi.
Dalam satu kenyataan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 9 September, warga Singapura berusia 14 tahun itu menyertai kumpulan ‘chat’ atau sembang dalam talian yang menyokong ideologi pelampau sayap kanan.
ISD menyatakan remaja itu terdedah kepada ideologi pelampau ini secara dalam talian sejak pertengahan 2024 dan menjadi radikal sendiri, dalam apa yang agensi itu sifatkan sebagai “percampuran ideologi ekstremis” oleh remaja tersebut.
Ini menyusuli pendedahan dan kaitan remaja itu dengan pelbagai ideologi pelampau yang berbeza, tambah ISD.
“Dia merupakan penyokong tegar (kumpulan pengganas) ISIS, tetapi pada masa yang sama, berpegang pada kepercayaan anti-Yahudi yang didukung ideologi pelampau sayap kanan.
Dia juga mengakui dirinya sebagai golongan bujang secara terpaksa atau ‘incel’.
“Ini adalah kes pertama (individu) menjadi radikal sendiri berdasarkan gabungan ideologi ekstremis berbeza yang ditangani di bawah ISA,” ujar ISD.
Menurut jurnal kajian yang diterbitkan pengkaji daripada Universiti Swansea, Britain, pada November 2023, ‘incel’ merupakan segolongan bujang – sebahagian besarnya adalah Kaum Adam – yang telah pasrah dengan nasib tidak bertemu pasangan, sungguhpun mereka ada keinginan.
Beberapa ideologi ‘incel’ terkait dengan keganasan, sifat membenci wanita dan ekstremisme.
Menurut ISD, kes remaja itu mencerminkan trend sejagat radikalisasi melalui perbuatan mencampuradukkan ideologi berbeza, dalam kalangan belia.
Agensi itu menyatakan bahawa belia hari ini lebih terdedah kepada kandungan pelampau dalam talian memandangkan golongan ini dibesarkan dengan peranti digital.
Namun, kemahiran kognitif yang kurang matang menjadikan mereka lebih cenderung memilih unsur-unsur berbeza daripada ideologi pelampau yang berlainan, “sungguhpun unsur sedemikian barangkali bercanggah antara satu sama lain”.
ISD menambah, remaja itu memendam kebencian terhadap wanita selepas mengamati kandungan terkait dengan ‘incel’, tetapi tidak berhasrat melaksanakan keganasan terhadap mereka.
Pelajar 14 tahun itu, buat kali pertamanya, terdedah kepada ideologi pelampau dalam talian pada pertengahan 2024 apabila menemui beberapa profil personaliti ekstremis asing melalui saranan yang dipacu algoritma dalam talian.
Personaliti asing ini memuat naik kandungan pelampau sayap kanan dan kandungan jenayah sebenar yang berunsur pembunuhan.
Remaja itu kemudian mula berinteraksi dengan personaliti itu untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut, tambah ISD.
Dia kemudian disertakan dalam kumpulan sembang yang berkongsi kandungan yang menyokong pelampau sayap kanan, termasuk pautan kepada manifesto pengganas sayap kanan seperti Brenton Tarrant.
Tarrant, warga Australia berhaluan sayap kanan, merupakan dalang di sebalik peristiwa tembakan berdarah terburuk di Christchurch, New Zealand, pada Mac 2019, yang menyebabkan 51 nyawa terkorban dan mencederakan 40 individu lain.
Belia itu turut berpegang pada kepercayaan anti-Yahudi yang didukung oleh pelampau sayap kanan dan mula membenci golongan Yahudi serta menyokong Adolf Hitler – pemimpin Jerman yang bertanggungjawab atas pembunuhan ribuan Yahudi semasa Perang Dunia Kedua.
ISD berkata: “Namun sebagai seorang Muslim, remaja ini menolak retorik anti-Muslim pelampau sayap kanan.
“Remaja ini juga menyokong beberapa aspek ekstremis sayap kiri, yang menurut pandangannya adalah anti-Zionis dan anti-Imperialis”.
Ideologi pelampau sayap kiri mengandungi unsur-unsur yang menolak proses demokratik dan lebih berpandukan pada kekerasan untuk menggulingkan sistem politik, sosial dan ekonomi ke arah sistem yang lebih berteraskan sosialisme, komunisme atau anarki.
Bahkan pada April 2025, ISD menyatakan remaja tersebut mengambil bai’ah atau berikrar kepada ISIS kerana mempercayai hala tuju ISIS membina Khalifah Islam di Timur Tengah menerusi keganasan.
Ini menyusuli video pertempuran senjata oleh ISIS di media sosial yang ditonton remaja itu pada November 2024, tambah ISD lagi.
Dia berkongsi kandungan atau bahan terkait dengan ISIS di akaun media sosialnya dan meletakkan hasrat menjadi anggota tentera ISIS apabila meningkat usia dewasa, namun dia tidak mempunyai sebarang rancangan tetap.
Sehubungan itu, ISD berkata remaja tersebut juga telah berhubungan dengan beberapa individu pelampau asing, termasuk apa yang dipercayai merupakan penyokong ISIS yang menawarkan bantuan bagi merancang serangan ke atas Singapura, malahan menghantar manual membuat bom.
Meskipun demikian, remaja itu tidak melanjutkan sebarang tindakan bagi menyerang Singapura, jelas ISD, sambil menambah bahawa ibu bapa remaja tersebut tidak menyedari anak mereka itu telah menjadi radikal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg