Mohamed Faizal dilantik Hakim Mahkamah Tinggi baharu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mohamed Faizal dilantik Hakim Mahkamah Tinggi baharu

Mar 9, 2026 | 3:10 PM

Mohamed Faizal dilantik Hakim Mahkamah Tinggi baharu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Hakim Mahkamah Tinggi, S’pura,  Pesuruhjaya Kehakiman
Pesuruhjaya Kehakiman Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir. - Foto MAHKAMAH SINGAPURA

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir dan Pesuruhjaya Kehakiman Sushil Sukumaran Nair telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi berkuatkuasa 9 Mac.

Presiden Tharman Shanmugaratnam telah melantik kedua-dua Pesuruhjaya Kehakiman itu selaras dengan Perkara 95(1) Perlembagaan, menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada hari yang sama.

“Dengan pelantikan baru ini, Mahkamah Agung kini mempunyai seramai 35 hakim, termasuk Ketua Hakim, lima Hakim Mahkamah Rayuan, empat Hakim Bahagian Rayuan, 19 Hakim Mahkamah Tinggi, seorang Pesuruhjaya Kehakiman, dan lima Hakim Kanan, selain 26 Hakim Antarabangsa,” kata PMO.

Encik Faizal sebelum ini telah dilantik ke Mahkamah Agung sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2 Mei 2024 bagi tempoh dua tahun.

Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian Kelas Pertama daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2005 dan pemegang ijazah Sarjana Undang-Undang daripada Sekolah Undang-Undang Harvard pada 2009.

Kerjaya beliau dalam Perkhidmatan Perundangan bermula pada 2005 sebagai Kerani Undang-Undang Hakim di Mahkamah Agung sebelum menjawat jawatan Penolong Pendaftar.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Negeri di Bahagian Keadilan Jenayah Jabatan Peguam Negara (AGC).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Am dan Pengarah (Perundangan) di Majlis Perubatan Singapura (SMC) sebelum kembali ke AGC sebagai Pengarah Bahagian Keadilan Jenayah pada 2015.

Encik Faizal memegang jawatan Timbalan Ketua Pendakwa Raya di bahagian yang sama dari Mac 2018 hingga Disember 2022 dan kemudian dilantik sebagai Ketua Pendakwa Raya Kedua di Bahagian Jenayah.

Sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, bidang tumpuan beliau merangkumi pembinaan, perkapalan, kes teknikal yang kompleks, syarikat, kemuflisan, amanah, perkara keluarga, dan tort.

Encik Faizal juga merupakan penerima Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2020, anugerah yang mengiktiraf sumbangan dan pencapaian cemerlang individu atau pertubuhan Melayu/Islam dalam bidang masing-masing.

Pesuruhjaya Kehakiman Sushil Sukumaran Nair pula mula dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung pada 1 April 2025.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) daripada NUS pada 1989 dan diterima masuk ke Badan Peguam Singapura pada 1990 sebelum menyertai firma guaman Drew & Napier LLC.

Dengan pengalaman amalan selama 35 tahun, beliau banyak menumpukan usaha dalam kerja penyusunan semula di rantau Asia Pasifik.

Encik Nair juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Drew & Napier LLC serta mengetuai kumpulan amalan Penstrukturan Semula Korporat dan Latihan di firma tersebut.

Sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, beliau telah mendengar kes berkaitan perkara sivil seperti kewangan, sekuriti, perbankan, kes komersial yang kompleks, syarikat, kemuflisan, amanah, timbang tara, fitnah, kecuaian profesional dan tort berkanun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg