Hakim Choo Han Teck akan melepaskan jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Mahkamah Agung Singapura selepas beliau menamatkan tempoh perkhidmatannya.
Beliau akan bersara, dengan hari terakhir perkhidmatannya pada 20 Februari, kata Mahkamah Singapura dalam satu kenyataan pada 13 Januari.
Hakim Choo, yang mempunyai pengalaman dalam bidang kehakiman selama 30 tahun, kali pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1995, sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 2003.
Beliau telah mengendalikan pelbagai kes memberikan sumbangan bermakna kepada perundangan Singapura dalam bidang undang-undang jenayah, pendapatan dan pekerjaan, termasuk undang-undang tort, kata Mahkamah Singapura.
Di samping itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam Divisyen Keluarga Mahkamah Tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan keputusan beliau telah membantu membentuk keadilan keluarga di Singapura.
Ketua Hakim Sundaresh Menon, dalam ucapan tahniahnya kepada Hakim Choo sempena persaraannya, berkata beliau “amat dihormati oleh rakan-rakan kehakimannya kerana sikap kehakiman beliau yang menjadi teladan”.
Beliau turut memuji keadilan Hakim Choo dalam menjalankan prosiding serta keputusan beliau yang jelas dan padat, sambil menambah, Hakim Choo telah memainkan peranan penting pada masa pembentukan sistem perundangan Singapura.
“Pemergiannya untuk bersara ini akan dirasai oleh seluruh badan kehakiman dan juga masyarakat perundangan yang lebih luas.
“Bagi pihak Mahkamah Singapura, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangannya yang tidak ternilai dan mengucapkan selamat bersara,” kata Ketua Hakim Menon.
Hakim Choo memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Singapura pada 1979, yang kemudian dinamakan sebagai Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 1980.
Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang daripada Universiti Cambridge pada 1986, selepas memulakan kerjaya undang-undangnya pada 1980 sebagai pembantu undang-undang di Murphy and Dunbar.
Antara tempoh tersebut, Hakim Choo turut mencatat kejayaan dalam dunia akademik selepas berkhidmat sebagai pensyarah di NUS pada 1984.
Beliau kembali ke amalan guaman swasta pada 1988, berkhidmat sebagai rakan kongsi di Allen & Gledhill mulai 1988, diikuti oleh Helen Yeo & Partners pada 1992.
Senarai pelantikan Hakim Choo termasuk bertindak sebagai Presiden Mahkamah Tentera Rayuan pada 2004 dan sebagai anggota Jawatankuasa Penerbitan Akademi Undang-Undang Singapura pada 2006.
Hakim Choo mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekerja yang telah memberi sokongan dan bantuan sepanjang perkhidmatannya dalam perkhidmatan awam.
“Masa saya di kerusi kehakiman sangat bermakna. Saya yakin sistem perundangan kita akan terus berkembang untuk kebaikan masyarakat,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg