Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fasa baru S’pura dalam bina masyarakat Melayu/Islam gemilang

Kedudukan masyarakat makin kukuh dengan usaha bersama M³, pelbagai pertubuhan Melayu/Islam dan agensi pemerintah
Jan 6, 2025 | 10:54 AM
Ramai masyarakat Melayu/Islam telah meraih manfaat daripada pelbagai program masyarakat di bawah daya usaha inisiatif M³, yang menjadikan program tersebut lebih mudah diakses. 
Ramai masyarakat Melayu/Islam telah meraih manfaat daripada pelbagai program masyarakat di bawah daya usaha inisiatif M³, yang menjadikan program tersebut lebih mudah diakses.  - Foto ST

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam rencana ini telah mengulas pencapaian masyarakat Melayu/Islam di Singapura melalui inisiatif M Kuasa Tiga (M³), yang dilancarkan pada 2020. Inisiatif itu telah memacu kemajuan dalam masyarakat Melayu/Islam. Beliau turut menggariskan beberapa langkah masa hadapan buat masyarakat.

Buat kali pertama pada 2018, saya merasmikan program pengagihan zakat tahunan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) buat keluarga berpendapatan rendah, sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Pada waktu itu, saya bertanya sama ada keadaan keluarga ini diketahui oleh kumpulan bantu diri masyarakat Melayu/Islam, Mendaki, dan sama ada anak-anak mereka telah didaftarkan dalam program-programnya.

Ternyata, mereka tidak berdaftar.

Mendaki mempunyai banyak program yang telah meningkatkan pencapaian pendidikan masyarakat sepanjang tahun, di bawah pimpinan para menteri.

Pada waktu itu, saya berasa walaupun program-program ini berkesan, ia belum dilaksanakan secara meluas bagi setiap keluarga yang memerlukan, mengetahui tentangnya.

Satu pemerhatian yang sama timbul dengan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).

Kumpulan ini – yang berperanan untuk menyatukan masyarakat Melayu – cukup besar, namun anggota dan pucuk pimpinannya kekal sama sejak beberapa tahun, justeru, ia kurang menjalani pembaharuan yang diperlukan untuk terus kekal relevan dan dinamik.

Masyarakat Melayu/Islam telah mencapai kejayaan yang agak memberangsangkan, namun ia kini berhadapan dengan cabaran baru.

Ketika saya memegang peranan sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, saya terfikir: Bagaimanakah masyarakat ini dapat meneruskan kejayaan lalu? Apakah langkah seterusnya?

Soalan-soalan ini menjadi pencetus bagi M Kuasa Tiga (M³).

M³ merupakan inisiatif untuk menyatukan tiga institusi utama Melayu/Islam – Muis, Mendaki, dan PA Mesra – di bawah satu bumbung untuk kerjasama yang lebih kukuh dan untuk menyokong keperluan masyarakat dengan lebih baik.

Sebelum penubuhan M³, ketiga-tiga institusi ini berupaya melibatkan diri dengan masyarakat secara berkesan, namun beroperasi secara sendiri.

Individu yang memerlukan perkhidmatan mereka perlu meminta bantuan daripada agensi-agensi tersebut secara berasingan, kerana ketiadaan rangka kerja berstruktur yang dapat menyelaraskan kerjasama antara agensi.

Idea di sebalik M³ sangat mudah: Bekerjasama untuk memacu lebih banyak pencapaian.

Seperti yang dilihat pada nama M³ sendiri, matlamatnya bukan sekadar untuk menambah nilai – tetapi untuk menggandakannya dan mencipta kesan yang lebih besar dan berkekalan.

Pelaksanaan M³

Setelah organisasi ini mula bekerjasama, kami dapat menumpukan perhatian kepada memperbaharui program-program sedia ada dan mencipta program-program baru.

M³ dibina sebagai satu seruan untuk masyarakat – yang menyatukan pemerintah, pemimpin masyarakat dan sukarelawan – untuk menghadapi cabaran semasa.

Misi pertama M³ adalah untuk memperkukuhkan memberikan perkhidmatan tahap akhir (last-mile service delivery), dengan memastikan khidmat yang disediakan oleh satu pertubuhan dapat diakses dengan segera oleh klien dari pertubuhan lain.

Kami bermula dengan lima tumpuan utama iaitu: menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; menyokong individu dan keluarga rentan; memperkasa dan membimbing belia; pekerjaan dan daya kerja; serta membina masyarakat sihat.

Matlamat kami jelas – iaitu untuk meningkatkan memberikan khidmat tahap akhir, dengan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan, tanpa ada yang terabai.

Untuk memberi kesan secara langsung kepada masyarakat dan memanfaatkan kepakaran para karyawan, kami menubuhkan 11 M³ @Bandar di serata negara.

Pusat-pusat setempat ini membawa perkhidmatan M³ lebih dekat dengan masyarakat dan menggalakkan kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat.

Bina Masyarakat Gemilang

M³ telah membina asas yang kukuh bagi masyarakat Melayu/Islam untuk mencapai visi mereka menjadi masyarakat yang gemilang. 

Visi itu terdiri daripada tiga tonggak utama: Keperibadian, kecekapan dan kewarganegaraan.

Pertama, saya percaya bahawa keperibadian luar biasa masyarakat kita lahir daripada ajaran Islam yang mengutamakan nilai ihsan dan kasih sayang.

Pada Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2022, ulama terkemuka dari seluruh dunia mencapai satu persetujuan bahawa masyarakat Muslim minoriti boleh mengaplikasikan ilmu ajaran Islam dalam konteks semasa.

Pandangan ini mengesahkan kepentingan menjadi warganegara aktif yang dapat menyumbang kepada keamanan, keharmonian dan kemajuan negara.

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura, pengesahan ini memberi makna cukup mendalam.

Dengan adanya keperibadian luar biasa ini, masyarakat Melayu/Islam mampu berhadapan dengan krisis Covid-19 secara tenang. 

Masyarakat ini menyumbang kepada usaha nasional dalam mengekang penularan pandemik, termasuk menangguhkan ibadah haji dan tidak mengadakan solat Jumaat buat sementara waktu.

Mereka juga mematuhi langkah pengurusan keselamatan (SMM) ketika berkunjungan pada Hari Raya.

Baru-baru ini, apabila masyarakat berhadapan dengan konflik Israel-Hamas, Mufti Singapura membimbing masyarakat agar kekal tenang dan berdoa untuk keamanan mereka.

Masyarakat menggembleng tenaga untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin, antaranya dengan menderma kepada organisasi seperti Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) – yang berjaya mengumpul jumlah rekod sebanyak $12.8 juta setakat ini untuk rakyat Gaza semasa konflik terbaru ini.

Kedua, usaha-usaha kami bertujuan untuk membina kemahiran dengan memperkasa masyarakat agar cemerlang dalam bidang pendidikan.

Kami ingin melahirkan generasi karyawan dan usahawan Melayu/Islam yang akan menggalas peranan kepimpinan di sektor swasta, awam dan sosial.

Ketiga, dalam membina masyarakat Muslim yang bersatu dan teguh, kami berhasrat untuk membangunkan kewarganegaraan aktif – yang menyumbang kepada pembinaan negara dan kepada masyarakat Singapura secara am.

Secara ringkas, usaha ini bertujuan untuk membina kepercayaan dengan masyarakat lain. 

Dengan kekal teguh, bersatu dan memupuk kepercayaan dengan masyarakat lain, kita dapat menangani cabaran yang mendatang dengan yakin dan berani.

Pencapaian Masyarakat Melayu/Islam

Saya berbangga dengan pencapaian masyarakat Melayu/Islam setakat ini.

Dalam jangka masa hanya lima tahun, kita telah mencapai skala yang cukup besar dalam mendekati dan memperkasakan masyarakat.

Ramai yang telah meraih manfaat daripada pelbagai program masyarakat di bawah inisiatif  M³, yang menjadikan program tersebut lebih mudah diakses. 

Inisiatif pendidikan awal kanak-kanak KelasMateMatika (KMM) Mendaki telah memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 ibu bapa dan kanak-kanak. 

Program Bersamamu pula telah menyokong lebih 30,000 pasangan dalam mengukuhkan asas ikatan perkahwinan mereka melalui kursus persediaan perkahwinan.

Program-program M³ yang lain juga telah mula memberi kesan positif kepada belia, pekerja dan keluarga, dalam jumlah yang lebih besar.

Hasil usaha bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Mendaki, kami telah menyaksikan peningkatan dalam peratusan orang Melayu yang memegang jawatan PMET (karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen) daripada 23.4 peratus pada 2000, kepada 39 peratus pada 2020.

Kami juga telah menyaksikan penurunan ketara dalam kadar residivisme (pengulangan jenayah) dua tahun bagi bekas banduan Melayu, daripada 35 peratus untuk kohort yang dibebaskan pada 2011 kepada 26 peratus untuk kohort 2021.

Kami juga telah membina kumpulan sukarelawan yang aktif dalam memainkan peranan penting sepanjang perjalanan kami di M³.

Saya amat terharu dengan sokongan kuat 850 sukarelawan kami di 11 M³@Bandar, yang telah mendedikasikan masa dan kepakaran mereka untuk menghubungkan penyampaian perkhidmatan terakhir M³ kepada penduduk yang memerlukan.

Sukarelawan ini terdiri daripada karyawan Melayu/Islam daripada pelbagai bidang – peguam, doktor, jurutera, pekerja sosial dan penjawat awam – yang kami panggil untuk tampil dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

Saya senang hati kerana mereka mempunyai semangat untuk memberi kembali. 

Mereka menyumbangkan masa dan kepakaran mereka di M³@Bandar dan dalam pelbagai inisiatif akar umbi. 

Salah satu contoh adalah sekumpulan peguam yang menyediakan khidmat guaman pro bono (khidmat guaman sukarela dan percuma) yang diperlukan masyarakat dan baru-baru ini telah menubuhkan sebuah pertubuhan rasmi, Peguam, untuk menawarkan bantuan dengan cara yang lebih tersusun.

Pencapaian masyarakat Melayu/Islam kita tidak boleh dipandang sebelah mata. 

Kisah kejayaan kita telah dijadikan teladan, atau panduan bagi masyarakat Muslim minoriti lain di luar negara.

Pada Oktober 2024, Singapura menjadi tuan rumah ICCOS kedua, yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin masyarakat Muslim minoriti dari serata dunia.

Persidangan ini memberi tumpuan kepada perkongsian pengalaman dalam menyepadukan kepelbagaian agama dan budaya, sambil menangani cabaran sosioagama dalam masyarakat majmuk.

Saya gembira kerana ramai daripada generasi muda Islam kita turut serta, dan mendengar maklum balas positif daripada peserta antarabangsa mengenai model keharmonian agama dan kaum kita.

Saya yakin pengalaman ini telah menanamkan rasa bangga dalam diri kita semua sebagai orang Islam Singapura.

Orak Langkah ke Hadapan

Hari ini, masyarakat Melayu/Islam mempunyai kedudukan yang semakin kukuh.

Kita mempunyai perjalanan yang menarik di hadapan.

Saya yakin bahawa lima tahun akan datang, bakal menjadi lebih baik dari lima tahun yang lalu.

Untuk meraikan lima tahun semangat kerjasama yang diperbaharui, Forum M³ – yang menghimpunkan 4,000 sukarelawan, baik yang baru mahupun yang lama – telah diadakan.

Forum M³ turut dihadiri Perdana Menteri Lawrence Wong, yang dalam ucapannya, telah menggariskan rancangan pemerintah untuk bekerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam bagi membentuk fasa pembangunan seterusnya.

Kami menantikan rancangan akan datang seperti penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), pembaharuan Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB), pembukaan semula Pusat Warisan Melayu di Kampong Gelam dan kerja-kerja pemulihan Masjid Sultan.

SCIS merupakan pencapaian penting bagi masyarakat.

Ia berperanan melatih bakal asatizah dengan ilmu dan kemahiran yang relevan, supaya mereka dapat memberi panduan agama yang sesuai dengan keperluan masyarakat Islam yang tinggal dalam persekitaran majmuk dan moden seperti Singapura.

Melalui usaha-usaha ini, kita dapat menanam peribadi mulia dalam generasi Islam yang akan datang. 

Wakaf Masyarakat Singapura yang baru ditubuhkan pula, akan memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan sosioagama jangka panjang masyarakat Melayu/Islam kita.

Wakaf ini akan memperkasa masyarakat kita untuk menjadi lebih berdikari serta mampu memenuhi keperluan generasi akan datang.

Pada masa yang sama, kita menantikan usaha menghidupkan semula kawasan warisan budaya kita di Kampong Gelam dan Geylang Serai.

Kawasan ikonik ini amat bermakna bagi masyarakat Melayu/Islam, kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan kita yang kaya dengan sejarah dan budaya.

Bina Masa Depan Bersama

Saya amat menghargai semua individu yang telah berganding bahu dalam perjalanan ini. 

Selain daripada usaha kolektif agensi-agensi M³, kami juga menghargai sumbangan pelbagai pertubuhan Melayu/Islam yang lain.

Sokongan padu daripada agensi pemerintah dan rakan kongsi lain, turut kami hargai.

Mufti Singapura, Dr Nazirudin Nasir, pernah berkongsi sepotong hadis dalam salah satu khutbah Jumaat beliau yang bermaksud, “Perumpamaan seorang mukmin itu seperti pokok kurma, apa pun yang kau ambil darinya pasti bermanfaat bagimu”.

Mufti menjelaskan bahawa keperibadian seorang Muslim yang yakin, cekal dan berdaya saing ibarat pohon kurma yang memberi perlindungan kepada orang lain, serta menyumbang secara bermakna kepada dunia.

Jika seorang Muslim diibaratkan seperti pohon kurma, maka masyarakat kita umpama ladang kurma – sebuah ladang yang berkembang maju melalui kekuatan kolektif.

Ladang ini makmur apabila kita bekerjasama dalam pelbagai bidang, sambil membina kepercayaan dengan masyarakat lain dan juga pemerintah.

Tahun ini, Singapura menyambut SG60.

Ini merupakan pencapaian penting bagi negara kita, ia meraikan sejauh mana kita telah melangkah sebagai sebuah negara dan juga peluang untuk mengajak seluruh rakyat Singapura bersama-sama membina masa depan negara kita.

Pada masa yang sama, SG60 memberi peluang kepada masyarakat Melayu/Islam untuk merenung sejauh mana kita telah melangkah maju sebagai sebuah masyarakat yang gemilang, serta memperbaharui komitmen kita untuk terus memperjuangkan usaha membangunkan anggota masyarakat kita, serta Singapura.

Bak pepatah Melayu, ‘seikat bak sirih, serumpun bak serai’. 

Langkah kita di hadapan mungkin penuh dengan cabaran dan ketidaktentuan, tetapi ia turut membawa harapan dan peluang untuk masa depan yang lebih cerah.

Saya yakin masyarakat Melayu/Islam akan terus berdiri teguh bersama dalam semangat bersatu dan sepadu, demi membina masa depan cerah untuk generasi akan datang.

Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam ‘The Straits Times’.

Pepatah ‘seikat bak sirih, serumpun bak serai’

Langkah kita di hadapan mungkin penuh dengan cabaran dan ketidaktentuan, tetapi ia turut membawa harapan dan peluang untuk masa depan yang lebih cerah. Saya yakin masyarakat Melayu/Islam akan terus berdiri teguh bersama dalam semangat bersatu dan sepadu, demi membina masa depan cerah untuk generasi akan datang.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg