Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M³ catat pencapaian cemerlang, bina asas kukuh bagi Masyarakat Gemilang

PM Wong: Mendaki, Muis, Mesra berjaya manfaat kekuatan untuk perluas keupayaan dan pendekatan sepanjang lima tahun
Nov 10, 2024 | 4:18 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menulis ucapan sejahtera kepada M Kuasa Tiga (M³) sempena ulang tahun kelima rangkaian tersebut di Forum M³ pada 10 November. Bersama beliau ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kanan); dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (kiri).
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menulis ucapan sejahtera kepada M Kuasa Tiga (M³) sempena ulang tahun kelima rangkaian tersebut di Forum M³ pada 10 November. Bersama beliau ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kanan); dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (kiri). - Foto BH oleh KHALID BABA

M Kuasa Tiga (M³) telah membina asas yang kukuh bagi sebuah masyarakat gemilang sepanjang lima tahun lalu, dengan mencatatkan banyak pencapaian yang membanggakan menerusi program dan daya usahanya mempertingkat masyarakat Melayu/Islam di Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Berucap di Forum M Kuasa Tiga (M³) pada 10 November, Encik Wong berkata penggemblengan tenaga tiga institusi utama – Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) – telah membolehkan mereka bekerjasama secara lebih sistematik, termasuk dalam kerjasama dengan pertubuhan lain dan pemerintah.

“Dalam lima tahun, M³ telah mencatat banyak pencapaian yang membanggakan. Ini hasil kerja keras dan dedikasi semua pihak termasuk para sukarelawan serta rakan kongsi M³,” kata beliau.

“Kejayaan M³ membuktikan bahawa kita boleh capai apa-apa sahaja jika kita bersatu padu dan bekerjasama.

“Ayuh kita bekerjasama dengan lebih rapat supaya masyarakat Melayu/Islam terus maju ke hadapan sebagai sebuah Masyarakat Gemilang,” tambah Encik Wong.

Forum M³, yang bertemakan ‘M³ Ke Hadapan: Meraikan Perjalanan Kita, Melakar Ke Hadapan Bersama’, merupakan kemuncak sambutan ulang tahun kelima M³ dan telah diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 10 November.

Ia turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; dan anggota Kabinet Melayu lain serta Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam.

Acara itu turut menyaksikan pelancaran buku ulang tahun kelima M³ bertajuk ‘Realising The Vision of A Community: The M³ Journey’ terbitan Berita Harian, dan penyampaian anugerah kepada sukarelawan dan bagi projek istimewa.

Turut diadakan adalah sesi perbincangan bersama panel pakar terdiri daripada Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong; dan Timbalan Setiausaha (Korporat dan Rakan) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Esa Masood.

Encik Wong berkata M³ telah membolehkan Mendaki, Muis dan Mesra memanfaatkan kekuatan dan rangkaian kolektif mereka, yang membolehkan mereka memperluaskan keupayaan dan pendekatan.

“Ini telah membolehkan mereka untuk dapat mengenal pasti dan menangani isu dengan lebih baik dalam masyarakat, menyediakan sokongan lebih bersepadu dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan,” kata beliau.

M³ mempunyai lima bidang tumpuan (FA): menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; menyokong individu dan keluarga rentan; memperkasa dan membimbing belia; pekerjaan dan daya kerja; serta membina masyarakat sihat untuk semua.

Terdapat 11 M³@Bandar serata negara, yang menggembleng sukarelawan dan membawa program, perkhidmatan serta bantuan lebih disasarkan secara lebih dekat kepada penduduk, sama ada melalui masjid, pusat satelit Mendaki atau kelab masyarakat.

Contohnya, lebih 1,600 mentor telah dipadankan bersama 5,700 belia di bawah program pementoran belia M³.

Antara program M³@Bandar termasuk Projek Dian yang membantu keluarga tinggal di flat sewa, Program #HashTech oleh M³@Pasir Ris-Punggol yang melengkapi belia dengan kemahiran digital, dan Kelab Kesihatan oleh M³@Woodlands yang mengajak penduduk hidup sihat bersama.

Rangkaian M³@Bandar juga telah memupuk budaya memberi sumbangan dan berbakti, dengan lebih ramai karyawan tampil ke hadapan untuk membantu, kata Encik Wong.

Terdapat sekitar 4,000 sukarelawan di agensi-agensi M³ hari ini.

Bahkan, Encik Wong berkata beliau sendiri telah menyaksikan perubahan ketara yang dibawa oleh M³ di kawasan undi beliau di Marsiling-Yew Tee, dengan mantan pengerusi M³@Marsiling-Yew Tee, Cik Rahidah Mohd Noor, dan penggantinya, Dr Faisal Johandi, dan pasukan mereka menjalankan pelbagai kegiatan seperti program bimbingan, pementoran belia serta kegiatan gaya hidup sihat.

“Dalam lima tahun, M³ telah meletakkan asas kukuh bagi sebuah Masyarakat Gemilang. Saya menggalak anda untuk meneruskan tugas baik ini.

“Pemerintah akan terus bekerjasama dan menyokong anda,” kata Encik Wong.

Dalam ucap tamanya di forum itu, Encik Wong turut berkongsi beberapa rancangan menarik yang sedang diusahakan untuk menyokong masyarakat Melayu/Islam menjadi masyarakat moden dan progresif, namun masih mengekalkan budaya dan tradisi uniknya.

KAMPUNG GLAM

Encik Wong berkata pemerintah akan memperbaharui kawasan kebudayaan, bermula dengan Kampung Glam di mana terletaknya Pusat Warisan Melayu (MHC).

MHC, yang kini ditutup bagi kerja pembangunan semula, akan menampilkan galeri baru, program dipertingkat, dan menawarkan pengalaman pengunjung yang lebih baik apabila ia dibuka semula, dijangka dalam masa dua tahun.

Ini supaya ia dapat berkongsi kisah unik orang Melayu Singapura dan sumbangan penting mereka kepada negara dengan lebih baik, kata Encik Wong.

“Pusat ini menjadi batu asas kawasan bersejarah Kampung Glam, yang menceritakan kisah-kisah yang kaya dengan sejarah dan budaya masyarakat Melayu,” kata beliau.

Satu lagi permata kawasan itu, Masjid Sultan, juga sedang menjalani kerja pemulihan untuk memberi nafas baru kepada rumah ibadah itu demi memelihara kedudukan dan kepentingannya.

“Masjid ini baru menyambut ulang tahunnya yang ke-200. Ia simbol kepercayaan masyarakat Islam, dan terus memainkan peranan penting dalam memupuk pemahaman antara masyarakat berbeza,” kata Encik Wong.

GEYLANG SERAI

Di Geylang Serai pula, Encik Wong berkata Gerbang Ikonik di simpang empat antara Joo Chiat Complex, Pasar Geylang Serai dan Wisma Geylang Serai baru sahaja dilancarkan dua bulan lalu, dan adalah sebahagian daripada pembangunan Jalur Budaya Geylang Serai.

Di bahagian barat jalur budaya itu, pusat beli-belah Tanjong Katong Complex (TKC) kini sedang menjalani kerja-kerja peningkatan untuk diberi nafas baru dan akan membuka semula pintunya kepada orang ramai pada 2029.

Pada 18 Oktober lalu, Penguasa Tanah Singapura (SLA) telah mengumumkan pelancaran penjualan TKC melalui tender Konsep dan Hasil Harga dengan tempoh pajakan 30 tahun.

“Apabila dibuka semula pada 2029, TKC akan menjadi satu lagi nod utama bagi masyarakat Melayu/Islam, di samping Wisma Geylang Serai; dan ia akan juga menjadi destinasi bertenaga bagi rakyat Singapura,” kata Encik Wong.

TKC baru itu juga akan menempatkan ibu pejabat Yayasan Mendaki dan juga sebuah pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Encik Wong berkata kedua-dua Kampung Glam dan Geylang Serai adalah kawasan kepentingan istimewa kepada masyarakat Melayu Singapura.

“Kami akan bekerja rapat dengan masyarakat untuk memperbaharui kawasan tersebut, dan menjadikan ia moden dan bertenaga, sementara memastikan ia mengekalkan ciri-cirinya yang unik dan tersendiri,” kata beliau.

“Dalam lima tahun, M³ telah mencatat banyak pencapaian yang membanggakan. Ini hasil kerja keras dan dedikasi semua pihak termasuk para sukarelawan serta rakan kongsi M³. Kejayaan M³ membuktikan bahawa kita boleh capai apa-apa sahaja jika kita bersatu padu dan bekerjasama. Ayuh kita bekerjasama dengan lebih rapat supaya masyarakat Melayu/Islam terus maju ke hadapan sebagai sebuah Masyarakat Gemilang.” 
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg