Lebih setahun selepas fasa pertama kerja naik taraf di Masjid Alkaff Kampung Melayu bermula pada April 2025, masjid tersebut kini dilengkapi dengan beberapa kemudahan baharu.

Ia termasuk lif, dewan serbaguna, bilik darjah, tempat ambil wuduk serta bilik persidangan yang baharu.

Menyusuli perkembangan itu, fasa kedua dijadualkan bermula pada suku keempat 2026, dengan tumpuan kepada mempertingkatkan dewan solat utama.

Apabila dijangka siap menjelang pertengahan 2027, kapasiti masjid yang terletak di Bedok Reservoir Road itu akan meningkat daripada 3,000 kepada 3,200 anggota jemaah, di samping menjadi lebih mesra dan terangkum buat golongan warga emas serta orang kurang upaya.

Lif baharu di Masjid Alkaff Kampung Melayu yang dibina semasa fasa pertama kerja naik taraf.
Lif baharu di Masjid Alkaff Kampung Melayu yang dibina semasa fasa pertama kerja naik taraf. - Foto MUIS
Dewan serbaguna baharu di Masjid Alkaff Kampung Melayu yang dibina semasa fasa pertama kerja naik taraf.
Dewan serbaguna baharu di Masjid Alkaff Kampung Melayu yang dibina semasa fasa pertama kerja naik taraf. - Foto MUIS
Tempat ambil wuduk di Masjid Alkaff Kampung Melayu yang dibina semasa fasa pertama kerja naik taraf.
Tempat ambil wuduk di Masjid Alkaff Kampung Melayu yang dibina semasa fasa pertama kerja naik taraf. - Foto MUIS

Pengerusi Eksekutif Masjid, Encik Mohd Khalid Mohd Lani, menegaskan bahawa ruang sementara tersebut akan tetap selesa dan mudah diakses oleh warga emas dan golongan kurang upaya.

Ketika ditemui media pada 18 September, beliau berkata:

“Kami telah menyediakan ruang khas bagi jemaah yang menggunakan kerusi roda atau Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA).

“Kami juga menyediakan laluan susur bagi memudahkan akses kepada ruang tersebut, sekali gus membolehkan mereka menjalankan ibadah dengan lebih tenang.”

Pengerusi Eksekutif Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mohd Khalid Mohd Lani, di ruang solat sementara yang terletak bertentangan dengan masjid itu pada 18 September.
Pengerusi Eksekutif Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mohd Khalid Mohd Lani, di ruang solat sementara yang terletak bertentangan dengan masjid itu pada 18 September. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Berita Harian (BH) turut menyaksikan banyak papan tanda yang dipasang bagi membantu golongan demikian ke ruang yang telah disediakan.

Terdapat juga tandas sementara di aras tanah yang lebih mudah diakses berbanding tandas yang terletak di atas pelantar tangga.

Dalam pada itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, menegaskan bahawa kerja naik taraf masjid itu turut penting bagi memastikan ruang masjid lebih mudah diakses.

Ia termasuk menyediakan lif buat jemaah warga emas.

Langkah tersebut, jelasnya, amat bertepatan dengan perubahan demografi di kejiranan itu yang menyaksikan pertambahan penduduk warga emas yang memerlukan akses lebih mesra dan lancar ke ruang masjid.

Ini ditambah lagi dengan pembinaan Kampus Hospital Besar Timur (EGH) bersebelahan masjid tersebut yang akan dibuka secara bertahap-tahap mulai 2029.

“Demografi di kejiranan ini semakin menua, dan kami perlu menyesuaikan kemudahan masjid untuk memenuhi keperluan tersebut...

“Selepas fasa kedua selesai, kita boleh menjangkakan penampilan baharu masjid dengan prasarana yang dipertingkatkan serta kemudahan akses tanpa halangan,” tambah Encik Zaqy.

Menurut Encik Khalid, masjid itu kini berada dalam proses peralihan dari fasa pertama ke fasa kedua, dan jemaah dijangka boleh menggunakan kemudahan baharu yang sudah siap menjelang akhir tahun ini (2026).

Beberapa anggota jemaah yang ditemui BH pada 18 September menyambut baik kerja naik taraf setakat ini, termasuk ruang solat sementara yang disediakan.

Encik Abdul Majid Ismail Sharif, 76 tahun, yang merupakan penduduk di Bedok Reservoir selama hampir 40 tahun, merasakan kerja naik taraf itu amat diperlukan.

“Saya mengalu-alukan kemudahan seperti lif dan ruang luas, supaya golongan kurang upaya boleh mendapatkan lebih akses kepada masjid ini.

“Kerja naik taraf ini berlangsung untuk beberapa bulan sahaja, jadi saya tidak rasa begitu terjejas. Ia merupakan langkah yang baik buat masjid,” katanya.

Encik Abdul Majid Ismail Sharif merupakan penduduk di Bedok Reservoir selama hampir 40 tahun, dan sering mengunjungi Masjid Alkaff Kampung Melayu untuk solat Jumaat.
Encik Abdul Majid Ismail Sharif merupakan penduduk di Bedok Reservoir selama hampir 40 tahun, dan sering mengunjungi Masjid Alkaff Kampung Melayu untuk solat Jumaat. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Seorang lagi penduduk, Encik Sardjono Sutomo, 72 tahun, berkongsi sentimen itu.

Beliau antara anggota jemaah yang menggunakan PMA untuk bergerak, akibat satu kemalangan pada sekitar 2023.

Encik Sardjono amat bersyukur masjid tersebut akan diperluaskan serta dilengkapi dengan kemudahan buat jemaah berkerusi roda, termasuk dirinya.

Beliau melahirkan rasa yang serupa terhadap ruang solat sementara yang telah disediakan.

Encik Sardjono Sutomo, yang bergantung kepada Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA) untuk bergerak dan menjalankan ibadah, mengalu-alukan kemudahan baharu di Masjid Alkaff Kampung Melayu yang menjadikan masjid itu lebih luas dan mudah diakses.
Encik Sardjono Sutomo, yang bergantung kepada Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA) untuk bergerak dan menjalankan ibadah, mengalu-alukan kemudahan baharu di Masjid Alkaff Kampung Melayu yang menjadikan masjid itu lebih luas dan mudah diakses. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Pelajar Sekolah Menengah Damai, Ali Mikhail Rayme, turut menyambut baik penambahan ruang solat dan tempat wuduk yang baharu.

Ali sering ke masjid berkenaan bagi menunaikan solat Jumaat serta solat harian pada hari-hari biasa. Beliau amat teruja masjid itu bakal dilengkapi dengan hawa dingin.

Masjid Alkaff Kampung Melayu telah mula kerja naik taraf pada April 2025.

Kerja itu, yang berlangsung selama 26 bulan, dilakukan menerusi Projek Peningkatan Masjid (MUP) dan menelan belanja $15 juta.

Masjid itu sedang mengumpul dana menerusi pelbagai inisiatif masyarakat, termasuk ceramah, kempen amal serta tabung derma di masjid-masjid seluruh negara.

Pelajar Sekolah Menengah Damai, Ali Mikhail Rayme, menyambut baik ruang solat sementara yang mampu menampung sekitar 1,000 jemaah, serta kemudahan baharu yang bakal siap selepas kerja naik taraf tamat.
Pelajar Sekolah Menengah Damai, Ali Mikhail Rayme, menyambut baik ruang solat sementara yang mampu menampung sekitar 1,000 jemaah, serta kemudahan baharu yang bakal siap selepas kerja naik taraf tamat. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti