Sebuah ruang solat sementara yang mampu menampung sehingga 1,000 anggota jemaah telah dibina bertentangan dengan Masjid Alkaff Kampung Melayu, bagi membolehkan solat Jumaat diteruskan sambil kerja naik taraf dijalankan.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, melawat masjid di Bedok Reservoir itu untuk meninjau ruang solat sementara serta kemudahan baharu menyusuli fasa pertama kerja naik taraf yang hampir selesai.

Encik Zaqy yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan) berkata ruang solat sementara itu diperlukan supaya jemaah dapat terus menunaikan solat Jumaat, sementara fasa kedua kerja naik taraf dijalankan.

Fasa kedua kerja naik taraf di masjid itu dijadualkan bermula pada suku keempat 2026 sehingga pertengahan 2027.

Beliau menambah fasa kedua akan mengutamakan pembaikan di dewan solat utama.

Sebuah ruang solat sementara yang mampu menampung sehingga 1,000 anggota jemaah telah dibina bertentangan dengan Masjid Alkaff Kampung Melayu, bagi membolehkan ibadah solat Jumaat diteruskan sambil kerja naik taraf dijalankan.
Sebuah ruang solat sementara yang mampu menampung sehingga 1,000 anggota jemaah telah dibina bertentangan dengan Masjid Alkaff Kampung Melayu, bagi membolehkan ibadah solat Jumaat diteruskan sambil kerja naik taraf dijalankan. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

“Kini, fasa pertama kerja naik taraf hampir siap dan kami dapat melihat bagaimana ia telah meningkatkan prasarana dan kemudahan di masjid ini.

“Ini merupakan situasi yang sementara.

“Apabila kerja naik taraf siap nanti, kita akan mempunyai ruang yang lebih besar untuk jemaah, sekali gus membolehkan masjid ini berkhidmat kepada masyarakat di daerah Bedok dengan lebih baik,” kata Encik Zaqy kepada media.

Beliau menambah bahawa kemudahan baharu yang dibina akan memastikan masjid itu lebih mudah diakses oleh golongan senja dan kurang upaya.

Pelaksanaan solat Jumaat akan dipindahkan secara rasmi ke ruang sementara itu bermula 25 September.

Dua sesi solat Jumaat akan dikendalikan, dengan kapasiti sehingga 1,000 anggota jemaah bagi setiap sesi.

Pihak masjid menambah, kemungkinan solat Hari Raya juga akan diadakan di ruang sementara itu.

Mengulas lebih lanjut, Pengerusi Eksekutif Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mohd Khalid Mohd Lani, menjelaskan bahawa ruang sementara itu mampu menampung sekitar 200 lagi anggota jemaah berbanding ruang solat yang disediakan semasa masjid melalui fasa pertama kerja naik taraf.

Sementara itu, solat harian akan diteruskan di dalam masjid.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti