Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Festival anjuran MSF di OTH rai usaha sukarelawan

Jul 7, 2024 | 4:32 PM
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kiri, barisan hadapan), berkongsi pandangan bersama Cik Yuzil Mohd Yusoff (kanan, barisan hadapan) semasa pelancaran Festival Sukarelawan (VFest) di Our Tampines Hub (OTH) pada 7 Julai.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kiri, barisan hadapan), berkongsi pandangan bersama Cik Yuzil Mohd Yusoff (kanan, barisan hadapan) semasa pelancaran Festival Sukarelawan (VFest) di Our Tampines Hub (OTH) pada 7 Julai. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kerenah belia sebenarnya merupakan penanda emosi dan perasaan terpendam mereka.

Itulah sebabnya bagi Cik Yuzil Mohd Yusoff, adalah penting untuk memahami dan menyelami isi hati belia ini kerana lumrahnya, kerenah tersebut adalah cara belia inginkan diri mereka didengari dan diakui.

Sukarelawan bersama Perkhidmatan Kediaman Belia di bawah rangkaian Khidmat Penjagaan Kanak-Kanak (CPS) itu berkongsi bahawa apabila mula-mula melibatkan diri dengan kerja sukarelawan bersama belia berisiko dan mudah terdedah pada 2019, beliau mempunyai tanggapan serong.

“Saya sangkakan ini ‘budak-budak nakal saja’. Tetapi lambat-laun sepanjang menjadi sukarelawan, saya sedar bahawa apa yang budak-budak ini inginkan adalah mereka ingin didengari. Mereka ingin perasaan mereka diakui.

“Jadi sebelum kita membuat andaian, duduk bersama mereka untuk fahami apa yang mereka lalui dan konteks di sebalik keputusan yang mereka ambil,” tambah jurulatih kerjaya berusia 34 tahun itu.

Beliau merupakan sukarelawan dan kakitangan daripada hampir 70 rakan kongsi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) – seperti agensi perkhidmatan sosial dan agensi pemerintah – yang hadir dalam majlis pelancaran Festival Sukarelawan (VFest) pada 7 Julai.

Acara dua hari bertemakan ‘Memperkasa Individu Kurang Upaya’ anjuran MSF itu bermula pada 6 Julai dan diadakan di Our Tampines Hub (OTH) sebagai sebahagian daripada Tahun Meraikan Sukarelawan MSF.

Menurut kenyataan media MSF susulan majlis pelancaran festival itu, acara itu bertujuan meraikan sukarelawan, mengetengahkan aspek sukarelawan dan memudahkan jalinan rangkaian.

Ia dirasmikan tetamu terhormat, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Semasa berucap, Encik Masagos mengetengahkan berkenaan sikap menyumbang kembali sebagai teras masyarakat di sini, sukarelawan sebagai sebahagian daripada “kompak sosial” dan usaha yang dilakukan untuk membina ekosistem yang memperkasa usaha sukarelawan.

Beliau berkata: “Bersifat pemurah dan menyumbang kembali adalah cara kehidupan bagi ramai individu.”

Beliau merujuk kepada satu tinjauan MSF yang dilaksanakan awal 2024, yang mendapati bahawa lebih 70 peratus warga Singapura ditinjau menyatakan aktiviti sukarelawan bukan sahaja memberi impak yang positif kepada penerima, bahkan terhadap diri sukarelawan itu juga.

“Apabila kita bersatu, kita dapat melakukan impak yang besar. Usaha kita memperkasakan satu sama lain dan menjadi berlipat ganda.

“Kerjasama merentasi individu, syarikat, pemerintah dan masyarakat adalah bagaimana kisah Singapura kita dilakar,” tambahnya.

Oleh demikian, beliau berkongsi bahawa MSF sedang mempergiatkan lagi usaha untuk membina ekosistem bagi memperkasa aktiviti sukarelawan.

Encik Masagos berkata 24 Pusat Sukarelawan SGCares telah ditubuhkan sejak kebelakangan ini, di samping Portal Rangkaian MSFCare untuk memudahkan orang ramai teroka peluang sukarelawan yang sepadan dengan sebab dan bidang minat pilihan mereka.

“Hari ini, hampir 80 peratus agensi perkhidmatan sosial telah melaksanakan proses pengurusan sukarelawan dan sekitar 70 peratus mempunyai pengurus sukarelawan khusus… untuk memadankan kemahiran dan minat anda dengan keperluan masyarakat.

“Usaha sedemikian telah menghasilkan peningkatan 20 peratus bagi tempoh kesukarelawanan keseluruhan, dalam tempoh dua tahun yang lalu,” kata beliau.

Festival dua hari itu akan berpindah ke Toa Payoh Hub pada 13 dan 14 Julai, disusuli Kampung Admiralty di Woodlands pada 20 dan 21 Julai.

Ia akan melabuhkan tirai pada 27 dan 28 Julai di Lot One Shoppers’ Mall di Chua Chu Kang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg