Seorang penjawat awam veteran telah dinamakan sebagai setiausaha tetap bagi pembangunan pengangkutan.
Encik Lau Peet Meng akan mengambil alih peranan itu mulai 1 Julai, kata Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), dalam satu kenyataan pada 31 Mei.
Encik Lau, 49 tahun, dilantik sebagai pengarah Bahagian Keselamatan dan Perisikan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 2019.
Sebelum itu, beliau memegang pelbagai jawatan dalam Pasukan Polis Singapura (SPF), dan Kementerian Ehwal Luar (MFA), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Beliau dilantik sebagai ketua eksekutif Penguasa Kawal Selia Kasino Singapura pada 2011, sebagai pengarah operasi SPF pada 2014, dan seterusnya timbalan pesuruhjaya operasi pertama SPF pada 2015.
Pelantikan Encik Lau merupakan antara beberapa perubahan dalam pelantikan setiausaha tetap yang diumumkan oleh PSD pada 31 Mei. Pelantikan itu juga akan berkuat kuasa pada 1 Julai.
Encik Lai Chung Han akan dilantik sebagai setiausaha tetap untuk pembangunan di Kementerian Kewangan (MOF), dan akan melepaskan jawatannya sebagai setiausaha tetap untuk pendidikan.
Cik Lim Wan Yong akan dilantik sebagai setiausaha tetap pendidikan, dan akan melepaskan jawatannya sebagai setiausaha tetap untuk pembangunan di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Encik Augustin Lee, setiausaha tetap kedua bagi Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) di Pejabat Perdana Menteri (PMO), akan dilantik serentak sebagai setiausaha tetap kedua untuk pendidikan.
Cik Lai Wei Lin akan dilantik sebagai setiausaha tetap bagi dasar dan pembangunan di Kementerian Kesihatan (MOH), dan akan melepaskan jawatannya sebagai setiausaha tetap bagi pembangunan pengangkutan dan setiausaha tetap kedua bagi kewangan.
Encik Ng How Yue, setiausaha tetap MOH untuk pembangunan kesihatan akan dilantik semula sebagai setiausaha tetap untuk perkhidmatan, dan dilantik serentak sebagai setiausaha tetap MSF untuk pembangunan.
Cik Teoh Zsin Woon akan melepaskan pelantikannya sebagai setiausaha tetap PSD untuk pembangunan, dan bakal memikul tanggungjawab sebagai setiausaha tetap untuk kebudayaan, masyarakat dan belia.
PSD juga mengumumkan pelantikan semula setiausaha tetap, yang akan berkuat kuasa mulai 8 Julai, seiring dengan penamaan semula Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) kepada Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Encik Joseph Leong, yang pada masa sama merupakan setiausaha tetap komunikasi dan maklumat, untuk SNDGG dan keselamatan siber dalam PMO, akan dilantik semula sebagai setiausaha tetap untuk pembangunan digital dan maklumat, dan untuk Negara Bijak dalam PMO. Beliau akan meneruskan peranan sebagai setiausaha tetap untuk keselamatan siber dalam PMO.
Encik Chng Kai Fong, setiausaha tetap MCI untuk maklumat dan pembangunan, dan setiausaha tetap (pembangunan)(keselamatan siber) di PMO, akan dilantik semula sebagai setiausaha tetap untuk maklumat dan pembangunan MDDI dan meneruskan peranan PMO beliau.
Encik Augustin Lee, setiausaha tetap kedua SNDGG, akan dilantik semula sebagai setiausaha tetap kedua untuk Negara Bijak di PMO. Beliau akan meneruskan sebagai setiausaha tetap kedua bagi pendidikan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg