Edisi ketiga SalamFest kembali selepas kejayaan pada 2023 dan 2024.
Festival gaya hidup Muslim terbesar di Singapura itu bakal berlangsung di Dewan 6B, Singapore Expo dari 21 hingga 23 November 2025.
Dua edisi sebelum ini telah mencatat lebih 30,000 hingga 50,000 pengunjung, dan kali ini dijangka lebih meriah dengan penyertaan artis terkenal dari Malaysia dan selebriti tempatan.
Acara itu bakal diserikan dengan persembahan Tomok, Ezad Exist dan Ziana Zain, serta penampilan Qawiy, pempengaruh terkenal dengan segmen, ‘Tebuk Al-Quran’ secara langsung yang tular di TikTok.
Turut hadir ialah Fahrin Ahmad, Lana Nordin, Puteri Sarah Liyana, Datuk Aliff Syukri dan Ebit Lew, yang akan membuka reruai eksklusif memasarkan jenama masing-masing.
Barisan selebriti tempatan seperti Sujimy & Haslinda, Diyana Halik, Fatimah Mohsin, Norfasarie, Shenty, Lydia Izzati, Ikah Jamil, Dyn Norahim, Rozza dan Jai turut serta membuka reruai khas.
Lebih 200 vendor akan menawarkan pelbagai makanan, minuman dan produk gaya hidup menarik untuk seisi keluarga.
SalamFest dianjurkan oleh Deen Dunya Pte Ltd, syarikat tempatan yang menawarkan produk dan perkhidmatan Islam seperti pakaian Muslimah, khimar, aksesori, Al-Quran, telekung, sejadah serta kelengkapan haji, umrah dan juga produk keluaran Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Deen Dunya beroperasi di Golden Landmark, #01-57, dan 48 Haji Lane, serta menawarkan penghantaran hari sama melalui deendunya.co.
Menurut Pengasas Deen Dunya, Cik Aida Suhaimi, 36 tahun, SalamFest 2025 disokong oleh Adi Media Pte Ltd dan Pusat Pendidikan dan Kebajikan Pertapis sebagai badan amal penerima manfaat bagi menaik taraf rumah kebajikan melalui kempen, ‘Upgrade Our Homes, Uplift Lives’ (Menaik Taraf Kediaman, Memperkasa Kehidupan).
“Matlamat pesta ini bukan sekadar hiburan, malah menyatukan masyarakat Muslim serta memberi pengalaman bermakna dalam suasana santai.
“Sertai kami selama tiga hari penuh keseronokan, ilmu dan pengalaman rohani yang unik!” kata Cik Aida.
Turut hadir mengimarahkan majlis ialah Ustazah Atiiqah Suhaimi, Ustazah Su’aidah Salim, Ustazah Liyana Musfirah, Ustazah Shameem Sultanah, Ustaz Zahil Zakaria dan Ustaz Nuzhan Abdul Halim.
Barisan artis seperti Ziana, Tomok dan Ezad turut berkongsi kisah penghijrahan mereka, manakala Datuk Aliff Syukri akan bercerita tentang kehidupannya sebagai seorang ayah dan suami.
Antara tarikan utama ialah Pameran Interaktif Sirah Rasulullah saw oleh Camel Caravan, Little Quran Kids dan Deen Dunya, yang membawa pengunjung menerokai Makkah, Madinah dan Masjid Al-Aqsa melalui teknologi realiti terimbuh (AR) serta kegiatan penghasilan tasbih dan bercerita.
Turut diadakan pertandingan azan, hafazan Al-Quran dan Arabic Spelling Bee anjuran YouM, Little Imtiyaz Centre dan Little Quran Kids.
Sebagai penghargaan, 500 pengunjung pertama setiap hari akan menerima beg hadiah eksklusif Deen Dunya dengan sumbangan Vitagen, Marigold, El Nahl dan lain-lain.
Kanak-kanak pula boleh bermain istana ambul, atau ‘bouncy castle’, percuma tajaan Little Imtiyaz Centre, serta berpeluang memenangi wang tunai, baucar dan pakej umrah tajaan Karva Travel & Tours.
MAKLUMAT ACARA
* Bermula 21 hingga 23 November 2025, dari 10 pagi hingga 10 malam, bertempat di Dewan 6B, Singapore Expo dan masuk percuma.
* Ikuti @salamfestsg dan @deen.dunya.sg di media sosial untuk perincian terkini.
* Acara ini ditaja oleh RTD Huttons Focus Group, Karva Travel & Tours, LMR Bullion, El Nahl Honey, BIBIK2GOSG, Taqwa Organisation, Vitagen dan Marigold.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg