Syarikat Deen Dunya yang diberi hak eksklusif di Singapura untuk memasarkan pelbagai produk Siti Nurhaliza, akan menganjurkan sesi jamuan iftar Ramadan bersama Biduanita Negara Malaysia itu.
Acara bakal berlangsung di Hotel Furama RiverFront pada Ahad, 23 Mac 2025.
Acara itu anjuran bersama SimplySiti, produk kosmetik keluaran Siti Nurhaliza.
Pemilik dan Pengasas, Deen Dunya Pte Ltd, Cik Aida Suhaimi, berkata:
“Datuk Seri Siti Nurhaliza akan berinteraksi bersama peminat termasuk sesi bergambar eksklusif bersama mereka.
“Penyanyi tersohor ini juga akan berkongsi kisah peribadi, amnya tentang penghijrahannya.”
Sesi itu akan turut membawakan asatizah tempatan yang dihormati ramai, Ustazah Shameem Sultanah dan Ustazah Nur Hidayah Azman, untuk menambahkan perkongsian ilmu.
Cik Aida menambah, acara itu juga bertujuan memberikan inspirasi kepada hadirin agar kekal istiqamah walaupun menghadapi dugaan dalam dunia serba moden, dan dapat menjalani kehidupan dengan penuh keimanan.
Sesi itu juga diharap dapat menggalakkan kaum Muslimin agar sentiasa memperbaiki diri dari segi amalan dan ibadah, serta bagaimana meraikan 10 malam terakhir dengan cemerlang pada Ramadan 2025.
“Sebahagian daripada jualan tiket akan disumbangkan kepada Pertapis.
“Pertapis menyasarkan mahu mengumpul dana bagi kerja naik taraf rumah kanak-kanak Pertapis dan juga menyokong keluarga berpendapatan rendah setiap bulan di bawah jagaannya,” tambah beliau tentang benefisiari rasmi acara itu.
Jamuan iftar Ramadan, ‘Upclose & Personal Iftar with Dato Sri Siti Nurhaliza 2025’ ini menyajikan tujuh peringkat hidangan enak yang akan diadakan di Venus Ballroom di Hotel Furama RiverFront, penaja rasmi tempat bagi acara tersebut.
Berharga $150+ untuk seorang, persembahan qasidah dan nasyid akan turut menyerikan majlis itu.
Selain berpeluang bergambar bersama ikon kesayangan ramai, hadirin juga berkesempatan mendapatkan produk kecantikan dan kosmetik, minyak wangi, telekung, sejadah dan abaya di reruai SimplySiti dan Deen Dunya.
Dua dewan besar untuk solat turut disediakan. Acara solat tarawih mungkin diadakan. Ia akan diumumkan setelah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.
Rakan kongsi lain yang turut menyokong acara itu ialah Zaky Alwie Travel & Services, Cassia Studio, MFA Group dan Nayra events.
Tiket-tiket boleh didapati sekarang melalui pautan, https://deendunya.co/ atau hubungi talian WhatsApp di 9336-6597. Taip SPH10 untuk diskaun dan potongan 10 peratus daripada harga tiket anda.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg