Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Festival Muslim Singapura 2025 bawa pengunjung kenali Rasulullah melalui teknologi terkini

Jamiyah menjanjikan pengunjung bakal nikmati pengalaman lebih gah dan menarik
Jan 26, 2025 | 5:30 AM
Sambutan hebat daripada pengunjung ketika menghadiri Festival Muslim Singapura (SMF) pada 2024.
Sambutan hebat daripada pengunjung ketika menghadiri Festival Muslim Singapura (SMF) pada 2024. - Foto JAMIYAH SINGAPURA

Setelah mencatat kejayaan menggalakkan dengan kehadiran 70,000 pengunjung pada 2023 dan 100,000 pengunjung pada tahun 2024, Singapore Muslim Festival (SMF), atau Festival Muslim Singapura, kembali lagi pada tahun 2025 ini. Pihak penganjur menjanjikan pengunjung bakal menikmati pengalaman yang lebih gah dan menarik.

Seiring perkembangan teknologi masa kini, edisi 2025 menjanjikan pengalaman yang lebih menyeluruh dengan ciri-ciri teknologi yang dipertingkatkan, membolehkan pengunjung menghayati sejarah dengan cara yang belum pernah dialami sebelum ini.

Buat julung kalinya di Singapura, pengunjung berpeluang menelusuri kehidupan Rasulullah saw menerusi paparan peranti LED sepanjang 90 meter yang menggunakan teknologi terbaru. Pengalaman ‘imersif’ ini membawa pengunjung menjejaki setiap detik kehidupan baginda, bermula daripada kelahiran sehingga kewafatannya.

Pengalaman realiti maya (VR) tahun 2025 ini dipertingkatkan dengan pelbagai kandungan baru yang menakjubkan.

Selain daripada kisah Surah Al-Fil, pengunjung juga dapat mengikuti perjalanan bersejarah Rasulullah saw dari Makkah ke Thaif, serta menyaksikan peristiwa agung Hijrah dengan cara yang lebih menarik dan interaktif.

Teknologi canggih ini membolehkan pengunjung seolah-olah berada pada zaman tersebut, merasai sendiri cabaran dan pengalaman dalam setiap perjalanan bersejarah ini. Teknologi metaverse (ruang realiti maya dengan persekitaran yang dijana komputer) pula membawa pengunjung meneroka kawasan suci termasuk di dalam Kaabah, rumah Rasulullah saw, dan yang terbaru, Masjid al-Aqsa serta Masjid Nabawi.

“Kami tidak mahu pengunjung sekadar datang dan pergi, tetapi membawa pulang pengalaman kerohanian yang mendalam dan berkesan. Penggunaan teknologi terkini ini bukan sekadar untuk hiburan, bahkan sebagai jambatan yang menghubungkan generasi muda dengan warisan Islam yang kaya.

“Kami yakin gabungan teknologi dan kandungan kerohanian ini akan memberi impak yang berkekalan kepada setiap pengunjung,” jelas Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Korporat di Jamiyah Singapura, Encik Muhammad Khair Baharin.

Dilengkapi dengan pameran popular Seerah: International Roving Exhibition atau Pameran Bergerak Antarabangsa, festival ini akan mempamerkan artifak Rasulullah saw. Ia bakal mempersembahkan koleksi eksklusif daripada muzium pertama di Arab Saudi khusus dalam seni Islam, House of Islamic Arts.

Pengunjung berpeluang menyaksikan artifak tersebut termasuk koleksi gambar kota Makkah dari 1880 hingga 1909, dan manuskrip Al-Quran dari abad ke-7 dan ke-8 Hijrah.

Pameran ini turut mempertontonkan koleksi mata wang bersejarah termasuk contoh, riyal Arab Saudi dari pelbagai era bermula dari zaman Raja Abdulaziz hingga Raja Fahd, merangkumi mata wang syiling dan kertas. Pengunjung juga dapat menikmati kehalusan seni Islam melalui koleksi artifak berharga seperti bekas air atau kendi seramik dari Bilad Al-Sham (abad ke-7 Hijrah) dan mangkuk dari Asia Tengah dari zaman Samanid (abad ke-3 dan ke-4 Hijrah).

Festival ini turut dimeriahkan dengan kehadiran penceramah dan penghibur tempatan serta antarabangsa sepanjang tiga hari. Kemuncak acara ialah persembahan Mega Selawat yang menampilkan pendakwah bebas Singapura, Ustaz Sofyan Abi Shauqy, bersama tetamu istimewa lain.

Bagi pencinta makanan dan fesyen, 170 gerai menawarkan pelbagai produk gaya hidup Islam, fesyen terkini dan juadah yang menyelerakan.

Seramai 3,000 pengunjung pertama yang mengimbas kod QR dan mendaftar akan menerima hadiah istimewa berupa terjemahan Al-Quran dalam bahasa Inggeris.

Khas untuk pengunjung yang ingin membuat persiapan Hari Raya lebih awal, pesta ini juga menawarkan jualan kuih Raya istimewa untuk menyokong usaha pengumpulan dana Jamiyah Singapura.

Bagi keluarga yang hadir bersama anak-anak, sudut khas bagi kanak-kanak di reruai Jamiyah Services menyediakan pelbagai kegiatan menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur.

“Saksikan sendiri keagungan warisan Islam dan nikmati pengalaman spiritual yang tidak dapat dilupakan di Festival Muslim Singapura 2025!

“Kami mengalu-alukan kehadiran semua lapisan masyarakat untuk sama-sama menimba ilmu dan berkongsi pengalaman unik ini,” jelas Encik Muhammad Khair lagi.

SEKILAS

Festival Muslim Singapura 2025 akan berlangsung dari 7 hingga 9 Februari 2025 di Hall 6, Singapore Expo. Masuk percuma.

Untuk maklumat lanjut dan terkini, layari www.singaporemuslimfestival.com atau ikuti media sosial @jamiyahsg di Instagram dan Facebook.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg