Tidak perlu berkelana ke 10 negara untuk melihat resam budaya kerana Shaabaz Events Hub bakal anjurkan Festival Perkampungan Asia, atau Asian Festival Village, yang akan menyatukan tradisi dan budaya negara-negara Asia di bawah satu bumbung pada 3 hingga 6 Oktober di Dewan 6A Singapore Expo.
Antara negara-negara yang akan terlibat dalam pesta itu termasuk Filipina, India, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka dan Thailand.
Setelah mengadakan 33 pameran bagi pengguna India, Shaabaz meluaskan skop acara mereka dengan pelancaran Festival Perkampungan Asia pada 18 Ogos, di Hotel ParkRoyal Beach Road, dihadiri lebih 200 perwakilan dari pusat dan persatuan perniagaan.
Semasa pelancaran pesta itu, Shabaaz Events Hub juga memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) di antara United World Halal Development, Aftertaste dan Kedutaan Filipina untuk melangsungkan pesta ini pada Oktober.
“Kita tidak boleh lupa asal usul dan perlu berpegang kepada budaya dan tradisi, serta belajar menghormati dan mencintai budaya lain di sekeliling kita,” kata pengasas Shaabaz, Encik Abdul Malieq Abdul Salam.
Acara ini juga menggalakkan orang ramai untuk menghargai budaya lain di Asia untuk memupuk perpaduan dan keharmonian, terutama bagi generasi akan datang.
Menurut Encik Malieq, Festival Perkampungan Asia ini akan juga diadakan di beberapa bandar besar di Asia termasuk Filipina dan Indonesia pada masa akan datang, untuk memberi negara lain peluang menyambut dan mengalami kepelbagaian budaya di Asia.
Antara kegiatan yang boleh dinantikan di Asian Village Festival termasuk persembahan tradisional dari pelbagai negara Asia seperti tarian Bali oleh kumpulan Eka Suwara Santhi dan tarian suku Kalimantan oleh Sanggar Seni dan Budaya Darung Tingang.
Pengunjung juga boleh membeli barangan buatan Asia seperti kraftangan Thailand dan Indonesia serta menjamu kepelbagaian masakan India, Jepun, Melayu, Thailand dan Vietnam.
“Kami juga mengundang pembuat kain sarung untuk menunjukkan bagaimana tradisi-tradisi di Asia saling berhubungan. Kain sarung bukan sahaja terdapat dalam alam pakaian Melayu malah dalam budaya India, Filipina dan sebagainya,” tambah beliau.
Para usahawan juga akan diberikan peluang membina rangkaian bersama usahawan-usahawan lain seperti pertanian agro.
“Kami menganjurkan acara ini agar semua orang dapat menikmati kepelbagaian di Asia, dari segi kesenian, makanan dan keusahawanan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg