Sedang pemerintah mengambil langkah terus memastikan warisan dan budaya Melayu kekal hidup di Singapura, sokongan dan penyertaan warga adalah penting untuk memastikan kejayaannya.
Berucap di majlis pelancaran Gerbang Ikonik di Geylang Serai pada 7 September, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata penyertaan aktif oleh segenap lapisan masyarakat itu antara lain akan memastikan daerah Geylang Serai terus bersemangat, dengan meraikan budaya dan warisan Melayu sementara menyatukan masyarakat yang berbeza.
Menarik perhatian sejarah panjang Geylang Serai, Encik Wong berkata tempat itu juga sangat istimewa dalam hati masyarakat Melayu Singapura.
Walaupun pemerintah telah mengambil banyak langkah untuk meningkatkan Geylang Serai, Encik Wong berkata ia masih lagi mempunyai rancangan untuk menyuntik nafas baru kepada kawasan itu, termasuk kerja naik taraf Tanjong Katong Complex dan Kelab Masyarakat Kampong Ubi.
Rancangan bagi kawasan itu akan diumumkan tidak lama lagi.
“Kerja naik taraf kepada sebuah daerah bukan hanya soal perkakasan dan prasarana, tetapi (yang penting) adalah manusia yang melaksanakannya.
“Justeru, kami memerlukan semua penyertaan aktif anda untuk menjadikan usaha ini benar-benar meraikan budaya dan warisan Melayu, dan juga menyatukan semua masyarakat kita yang berbeza dengan semangat yang bersatu padu.
“Ini mencerminkan apa yang benar-benar istimewa di Singapura – satu rakyat yang bersatu, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama,” tambah Encik Wong.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga pengerusi Jawatankuasa GSCB, berkata:
“Kami harap penduduk Geylang Serai akan bangga dengan apa yang telah diadakan, dan menggalakkan lebih ramai rakan mereka untuk ke sini.
“Kami juga harap penduduk Geylang Serai akan bersedia dan ghairah bagi rancangan-rancangan bagi fasa kedua (projek naik taraf GSCB).
“Rancangan akan datang yang saya akan mengumumkan dalam dua atau tiga minggu lagi adalah apa yang kami akan lakukan untuk Tanjong Katong Complex, kerana kami rasa ramai yang ingin tahu tentang pusat beli-belah itu.”
Pada malam majlis pelancaran Gerbang Ikonik, pengunjung Geylang Serai bermandi cahaya gemerlapan daripada penyalaan lampu gerbang itu, sambil bertemasya hingga lewat malam demi meraikan kebudayaan Melayu.
Plaza Perayaan, iaitu ruang pintu masuk baru Joo Chiat Complex, disemarakkan dengan persembahan tarian oleh masyarakat Geylang Serai yang terdiri daripada penduduk kawasan, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat (CC) Geylang Serai, kumpulan sukarelawan dan kumpulan seni.
Selain tarian, persembahan itu menggunakan panel skrin LED untuk memaparkan foto-foto Geylang Serai yang dipetik selama bertahun-tahun lalu untuk menggambarkan perubahan Geylang Serai dari zaman lalu hingga zaman kini.
Wisma Geylang Serai turut dibanjiri pengunjung yang hadir untuk menikmati Pesta Jalur 2024, satu pameran didirikan untuk menampilkan kebudayaan Melayu.
Di sana, pengunjung menikmati persembahan nyanyian dan tarian, serta bermain permainan tradisional yang menonjolkan budaya Melayu, seperti permainan capteh, batu seremban, congkak, dan pendeklamasian puisi.
Terdapat juga satu bazar lambak di sepanjang laluan pejalan kaki di Haig Road yang berlangsung hingga 8 September.
“
“Kami harap penduduk Geylang Serai akan bangga dengan apa yang telah diadakan, dan menggalakkan lebih ramai rakan mereka untuk ke sini. Kami juga harap penduduk Geylang Serai akan bersedia dan ghairah bagi rancangan-rancangan bagi fasa kedua (projek naik taraf GSCB). Rancangan akan datang yang saya akan mengumumkan dalam dua atau tiga minggu lagi adalah apa yang kami akan lakukan untuk Tanjong Katong Complex, kerana kami rasa ramai yang ingin tahu tentang pusat beli-belah itu.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg