Seramai 495 menyahut cabaran senaman clean and jerk semasa acara Fiesta Kecergasan Nee Soon pada 7 Disember di dewan terbuka MPC @ Khatib, sekaligus mencatat rekod bagi jumlah peserta terbanyak yang melakukan senaman clean and jerk dalam Buku Rekod Singapura.
Fiesta Kecergasan Nee Soon, yang dihadiri sebanyak 800 peserta secara keseluruhan, dianjurkan Pertubuhan Akar Umbi GRC Nee Soon dan Persatuan Penduduk (PA).
Acara tersebut bertujuan menggalakkan kesihatan komuniti yang lebih baik melalui aktiviti kecergasan dan kesejahteraan, serta mempromosikan gaya hidup lebih sihat dan semangat kekitaan yang lebih kukuh dalam kalangan penduduk.
Acara tersebut turut disertai para penasihat pertubuhan akar umbi GRC Nee Soon - Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K Shanmugam ; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan ; Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi serta Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Jackson Lam dan Cik Lee Hui Ying.
Paru penduduk dari semua peringkat umur dan tahap juga berpeluang mencabar diri mereka dengan pelbagai aktiviti kecergasan yang disediakan oleh PA, Movement First, Sports Singapore, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), dan Family Life Community.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg