Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas bangunan KKH di Hampshire Rd diwarta sebagai Monumen Negara

Tiga blok di bekas KKH itu akan dipulihara, diberi tahap perlindungan tertinggi di bawah Akta Pemeliharaan Monumen
Oct 1, 2025 | 5:00 PM
Bekas bangunan KKH, diwarta sebagai Monumen Negara
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo (dua dari kanan), merasmikan pewartaan bekas Hospital Kandang Kerbau (KKH) sebagai Monumen Negara di Hampshire Road pada 1 Oktober. Bersama beliau adalah (dari kiri) Ketua Eksekutif Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Encik Ng Lang; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Profesor Alex Sia; dan Ketua Eksekutif Lembaga Warisan Negara (NHB), Cik Chang Hwee Nee. - Foto ST

Setelah lebih seabad penubuhan Hospital Kandang Kerbau (KKH) sebagai hospital bersalin khas, tapak bekas hospital tersebut di Hampshire Road diwartakan sebagai Monumen Negara ke-76.

Khususnya, tiga blok di bekas KKH itu iaitu Blok 1, 2 dan 3, akan dipulihara dan diberikan tahap perlindungan tertinggi di bawah Akta Pemeliharaan Monumen, kata Lembaga Warisan Negara (NHB) dalam satu kenyataan.

Berucap semasa majlis pelancaran rasmi pewartaan bekas bangunan KKH itu pada 1 Oktober, Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, berkongsi bahawa bangunan tersebut menjadi peringatan fizikal tentang kenangan mereka yang pertama kali menempuh alam keibubapaan.

“(Bekas KKH) mengabadikan kenangan bersama ramai antara kita yang pertama kali melangkah ke alam keibubapaan, di mana kita belajar menjaga tanpa mementingkan diri sendiri.

“Ia juga memberi penghormatan kepada dedikasi dan profesionalisme para profesional penjagaan kesihatan kita sepanjang zaman,” jelas beliau, yang juga melancarkan pameran khas berkaitan pewartaan bekas bangunan KKH iaitu The Architecture of Care.

Berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember, para pengunjung boleh menelusuri sejarah bekas hospital itu melalui kisah arkib, imej-imej lama dan artifak yang dipamerkan buat kali pertama, termasuk batu asas Blok 1 yang diletakkan pada 1953, kata NHB dalam kenyataannya.

Menurut NHB lagi, tapak tersebut mempunyai tempat yang penting dalam ingatan rakyat sebagai tempat kelahiran lebih 1.2 juta bayi sejak hospital itu dibuka pada 1924 hingga ia berpindah pada 1997.

Pada 2004, ia merupakan pejabat Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sehingga kini.

Mengulas tentang penggunaan semula tapak itu oleh LTA, Encik Neo menjelaskan bahawa Monumen Negara juga perlu disesuaikan untuk memenuhi keperluan semasa.

“Seperti mana sejarah dan warisan tidak statik, Monumen Negara kita juga perlu berkembang, dengan pengubahsuaian untuk memenuhi keperluan masa kini... ini juga bagi memastikan Monumen Negara kita terus memberi manfaat kepada masyarakat,” kongsi beliau.

Ditubuhkan pada 1924 sebagai hospital bersalin percuma, KKH merupakan satu-satunya hospital pemerintah ketika itu yang khusus dalam bidang perbidanan dan sakit puan (O&G).

Sepanjang sejarahnya, hospital tersebut telah menyesuaikan diri untuk memenuhi keperluan masyarakat.

Antaranya, ia pernah berfungsi sebagai Hospital Besar Kecemasan semasa Perang Dunia Kedua dari 1941 hingga 1942.

Ia juga telah diubah menjadi hospital awam yang dikenali sebagai Chuo Byoin, atau Hospital Pusat dalam bahasa Jepun, semasa penjajahan Jepun di Singapura.

Sambil itu, KKH juga memegang satu lagi rekod dunia Guinness sebelum ini – selama 10 tahun – sebagai hospital bersalin terbesar dengan rekod 39,835 bayi yang dilahirkan pada 1966.

“Pada waktu yang paling sibuk, seorang bayi dilahirkan setiap 13 minit dan 11 saat dan hospital menyambut lebih daripada 110 bayi setiap hari,” jelas NHB.

Dari segi profesional penjagaan kesihatan, antara perintis di bekas KKH adalah Dr Benjamin Sheares, yang dianggap sebagai bapa O&G Singapura dan merupakan Presiden Singapura yang kedua.

Mendiang Dr Sheares terkenal dengan teknik mencipta faraj tiruan untuk membantu kelahiran dan untuk tujuan menukar jantina, yang telah diubahsuainya.

Encik Neo menambah dengan memulihara bekas KKH sebagai Monumen Negara sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), kenangan dan nilai bersama yang telah membentuk Singapura hari ini turut dipelihara.

“Kami juga memastikan generasi akan datang dapat mempelajari tentang pencapaian penting yang berkaitan dengan tapak ini, bukan sahaja melalui buku sejarah, tetapi menerusi ruang yang sama di mana peristiwa-peristiwa ini berlaku,” jelas beliau.

Ketika ditemui media, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Profesor Alex Sia, berkata pengiktirafan bekas KKH merupakan satu penghormatan yang mendalam.

“Seiring dengan perkembangan Singapura, begitu juga KKH, dan legasi ini memberi inspirasi kepada kami untuk meneruskan misi membentuk masa depan wanita dan kanak-kanak, bagi memberikan setiap keluarga permulaan terbaik dalam kehidupan,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg