Peminat filem Melayu klasik kini boleh menyaksikan tayangan, Seniman Bujang Lapok, di hab masyarakat Heartbeat@Bedok pada 19 September.
Tayangan itu merupakan sebahagian daripada Wayang@Bedok, sebuah daya usaha baru anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) bersama Heartbeat@Bedok dan Arkib Filem Asia.
Inisiatif tersebut juga bagi menyegarkan bahan dalam Koleksi Dunia Melayu yang kini ditempatkan di Perpustakaan Awam Bedok.
Ia bermula dengan tayangan, Seniman Bujang Lapok, sebuah filem komedi yang mengikuti perjalanan hidup watak Ramli, Aziz dan Sudin, tiga ‘Bujang Lapok’ yang tinggal di sebuah rumah panjang yang sempit.
Mereka bertiga menghadiri uji bakat di sebuah studio filem Jalan Ampas dalam usaha menjadi bintang filem terkenal.
Walaupun tidak disenangi oleh pengarah kerana tidak mempunyai pengalaman dan langsung tidak mengetahui selok-belok industri perfileman, tiga Bujang Lapok itu tetap diambil bekerja oleh syarikat ‘Malay Film Productions’ yang dipaparkan dalam filem tersebut.
Filem popular itu merupakan sindiran terhadap industri perfileman Melayu serta menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu pada era 1950-an dan 1960-an.
Siri Bujang Lapok itu menampilkan Tan Sri P. Ramlee, S. Shamsuddin dan Datuk Aziz Sattar sebagai trio ikonik tersebut.
Bawa keluarga dan rakan anda untuk menikmati malam nostalgia, kegiatan yang menyeronokkan keluarga, permainan dan sesi sembang selepas tayangan ini.
Maklumat:
Seniman Bujang Lapok (The Nitwit Movie Stars, 1961, PG13) dalam Bahasa Melayu dengan sari kata Inggeris dan Cina disertakan.
Masuk: Percuma, namun perlu daftarkan kehadiran anda di http://go.gov.sg/wayang-bedok
Tempat: Heartbeat@Bedok di 11, Bedok North Street 1.
Tarikh: Jumaat, 19 September, 7.30 malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg