Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma hartanah ETC, OrangeTee akan gabung, intai peluang serantau

Feb 24, 2025 | 5:11 PM
Encik Desmond Sim, yang kini merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) ETC (kanan), akan menjadi CEO kumpulan baru itu. Encik Justin Quek (kiri), CEO OrangeTee & Tie, akan menjadi timbalan CEO entiti tersebut.
Encik Desmond Sim, yang kini merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) ETC (kanan), akan menjadi CEO kumpulan baru itu. Encik Justin Quek (kiri), CEO OrangeTee & Tie, akan menjadi timbalan CEO entiti tersebut. - Foto ORANGETEE GROUP, ETC

Syarikat perunding hartanah ETC dan agensi hartanah OrangeTee Group akan bergabung untuk membentuk satu entiti baru, umum kedua-dua syarikat tempatan itu pada 24 Februari.

Kumpulan itu menyasarkan untuk menjadi “syarikat hartanah paling menyeluruh” di rantau ini, menawarkan perkhidmatan pembrokeran dan perundingan hartanah hujung ke hujung, katanya.

Kumpulan pelanggan sasarannya akan termasuk pembeli individu, pelabur bernilai tinggi, pemaju dan syarikat.

Kumpulan itu berkata: “Penggabungan ini menandakan komitmen jangka panjang untuk meningkatkan tawaran perkhidmatan dan memacu pertumbuhan mampan.

“Ia memanfaatkan kepakaran ETC dalam khidmat nasihat dan perundingan korporat, dan keupayaan teknologi hartanah yang inovatif dan rangkaian agensi yang luas daripada OrangeTee.”

Berikutan penggabungan itu, entiti baru itu akan terdiri daripada lebih 520 pekerja dan sekitar 2,800 ejen.

Pemerbadanan entiti baru itu dijangka selesai pada 31 Mac.

Encik Desmond Sim, yang kini merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) ETC, akan menjadi CEO kumpulan baru itu.

ETC dahulunya dikenali sebagai Edmund Tie & Company, sebelum ia menggunakan nama semasanya pada Januari.

Encik Justin Quek, CEO OrangeTee & Tie, akan menjadi timbalan CEO kumpulan tersebut.

Encik Sim berkata: “Penggabungan penuh ini adalah perkembangan semula jadi, mengukuhkan perkongsian berkekalan kami dengan OrangeTee dan menjadikan kami lebih berdaya saing untuk mengharungi permintaan pasaran yang berkembang sambil memanfaatkan peluang pertumbuhan tinggi di rantau ini.”

Sebagai menjawab pertanyaan, The Business Times, ETC menyatakan bahawa ia mempunyai kehadiran fizikal di Malaysia dan Thailand, dengan perkongsian strategik di Australia, China, Filipina, Britain dan Vietnam.

“Sementara itu, OrangeTee telah menjalin hubungan kukuh dengan pembangun antarabangsa yang mempunyai nama baik dalam pasaran seperti, Australia, Malaysia, Britain, New Zealand, Dubai dan Jepun, di mana terdapat rakan kongsi ekuiti strategiknya, Tokyu Livable,” katanya.

Pada 2017, ETC menggabungkan perniagaan agensinya dengan OrangeTee untuk membentuk OrangeTee & Tie.

Berdasarkan rekod Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra), pada Februari, ETC memiliki 20 peratus kepentingan dalam entiti usaha sama OrangeTee & Tie, dengan Kumpulan OrangeTee memiliki baki 80 peratus.

Pada masa ini, ETC dimiliki oleh entiti yang berkaitan dengan keluarga Encik Roland Ng, ketua eksekutif kumpulan syarikat pembekal kren, Tat Hong Holdings.

Kumpulan OrangeTee pertama kali diperbadankan sebagai OrangeTee Holdings pada 2000.

Kumpulan OrangeTee terdiri daripada Penasihat OrangeTee untuk tawaran komersial, OrangeTee & Tie untuk pasaran kediaman dan OrangeTee International.

OrangeTee & Tie ialah agensi hartanah keempat terbesar di Singapura, selepas Huttons, ERA dan PropNex.

Encik Quek daripada OrangeTee berkata: “Dengan pasukan pembrokeran dan perundingan yang diperkukuh dan disokong oleh teknologi hartanah termaju, kami bersedia meningkatkan keupayaan kami untuk menyampaikan penyelesaian yang inovatif dan lancar merentas semua sektor hartanah.”

Buat masa ini, ETC dan OrangeTee akan terus beroperasi di bawah jenama semasa mereka.

Langkah penyusunan semula utama terakhir dalam perniagaan agensi hartanah ialah penggabungan cabang bersekutu Savills Singapore – Savills Residential – dengan Huttons pada 2020.

PropNex menyerap Dennis Wee Group pada 2017, menjadi agensi hartanah terbesar di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg