Topik diikuti
Pergi ke BHkuFirma khidmat teknologi NCS tambah jurutera AI barisan hadapan
Meterai MOU dengan Changi Airport Group, IMH dan firma teknologi pemakan Life3 Biotech cipta huraian dipacu AI
Firma khidmat teknologi NCS tambah jurutera AI barisan hadapan
Syarikat perkhidmatan teknologi, NCS, merancang menambah lebih tiga kali ganda jumlah jurutera kecerdasan buatan (AI) – atau jurutera pencerdasan di barisan hadapan (iFDE) – daripada 100 kepada lebih 300 orang dalam tempoh dua tahun akan datang.
Jurutera iFDE bertugas secara langsung dalam pasukan pelanggan, menggabungkan kemahiran pengaturcaraan dengan pengetahuan perniagaan bagi membina huraian AI untuk operasi harian.
NCS merancang untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut menerusi peningkatan kemahiran semula kakitangan sedia ada serta pengambilan bakat baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif NCS, Encik Sam Liew, mengumumkan rancangan berkenaan semasa pelancaran Pusat Misi AI NCS pada 29 Oktober.
Pusat tersebut bakal membantu organisasi beralih daripada projek rintis kepada pelaksanaan AI pada skala yang lebih luas dalam operasi harian syarikat masing-masing.
Pusat misi tersebut akan menghimpun jurutera iFDE dan pakar industri untuk bekerjasama dengan pelanggan bagi mengenal pasti cabaran dalam operasi, menyusun semula aliran kerja, serta menguji dan melancarkan huraian AI ke dalam operasi harian.
Projek yang berjaya akan diterapkan oleh pertubuhan atau pemasaran yang lain.
NCS turut memeterai tiga memorandum persefahaman (MOU) bersama Changi Airport Group (CAG), Institut Kesihatan Mental (IMH) dan syarikat teknologi pemakanan tempatan, Life3 Biotech, untuk mencipta dan memperluaskan skala huraian dipacu AI.
NCS merupakan syarikat teknologi maklumat dan firma teknologi AI utama yang dimiliki oleh Singtel.
Encik Liew berkata:
“Kami melabur dalam aset paling penting, kakitangan kami. Mereka berupaya mengubah kejayaan teknologi menjadi kemajuan harian.
“Matlamat kami adalah untuk membina keupayaan AI yang berkhidmat untuk Singapura, serta huraian yang mampu memberi impak di seluruh dunia,” kata Encik Liew.
Majlis pelancaran pusat tersebut diserikan oleh kehadiran Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Dalam ucapannya, Cik Teo berkata Singapura perlu terus memperkukuh kelebihan AI sedia ada yang telah dibina selama bertahun-tahun.
Pelaburan dalam pendigitalan dan keselamatan siber telah membina asas yang kukuh untuk negara beralih kepada teknologi lebih canggih, seperti sistem ejen AI (agentic AI), jelasnya
Itu amat penting bagi Singapura terus memanfaatkan kelebihan AI itu dengan sepenuhnya dan kekal berdaya saing, tambahnya.
Cik Teo juga menekankan kepentingan membina ekosistem AI yang kukuh menerusi usaha berterusan daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Mengambil tindakan kukuh juga amat penting dalam memanfaatkan AI secara berkesan.
“Bukanlah sukar bagi sesebuah bandar atau negara untuk merangka strategi AI… Tugas yang lebih mencabar adalah untuk melaksanakannya,” kata Cik Teo.
Ini termasuk melabur dalam pembinaan prasarana dan membangunkan persekitaran yang mendorong lebih penggunaan AI dari awal, jelasnya.
Cik Teo turut menekankan kepentingan melengkapi tenaga kerja dengan kemahiran yang sesuai, serta mencipta dasar dan program bagi menyokong penerapan AI.
Sehubungan itu, Cik Teo yakin NCS telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada langkah itu.
Ini menerusi hubungan lamanya bersama para pelanggan, perjalanan transformasi AI syarikat itu sendiri, serta kesan pengaruh serantaunya, dalam usaha membantu merealisasikan cita-cita AI kepada hasil nyata di Singapura dan luar negara.
Salah seorang jurutera iFDE, Cik Jazlyn J Abdullah, telah membantu dua syarikat mencipta huraian AI yang berkesan sejak menyertai NCS sekitar enam bulan lalu.
Jurutera iFDE berusia 28 tahun itu telah bekerjasama dengan syarikat sektor pengangkutan dan kewangan.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Jazlyn berkata:
“Syarikat lazimnya mahu menggunakan AI, tetapi tak pasti apakah langkah pertamanya, jurutera iFDE seperti saya membantu mereka kemudi ketidaktentuan itu.
“Kami mahu bekerjasama membina keupayaan bersama mereka. Oleh itu, kami perlu mencari huraian yang benar-benar memenuhi keperluan mereka.”
Beliau berganding bahu dengan pelanggan di setiap peringkat, daripada memahami cabaran hingga mencuba huraian AI yang dicipta.
Misalnya, Cik Jazlyn dan seorang lagi jurutera iFDE berjaya menggunakan AI untuk mempercepatkan proses analisis rakaman bagi syarikat sektor pengangkutan tersebut.
Cik Jazlyn turut melalui beberapa program latihan NCS secara kendiri untuk mempersiapkan dirinya bagi tugas jurutera iFDE.
Ini termasuk menguasai peralatan dan perisian dimiliki NCS dan syarikat rakan kongsi untuk mencipta huraian AI dengan berkesan.
Sebelum ini, beliau menggalas tugas yang serupa di Google selama setahun.
Selain memperluas tenaga kerja jurutera iFDE, NCS turut menyediakan latihan penguasaan AI kepada semua kakitangan.
Ini termasuk kursus mengenai kejuruteraan prom, atau prompt engineering, penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, serta cara terbaik memanfaatkan ejen AI.
Ia juga terus meningkatkan kemahiran lebih 2,000 pengamal AI dalam membangunkan serta melancarkan huraian ejen AI yang sedia diguna pakai dalam operasi sebenar.
Selain itu, NCS turut meneliti semula peranan kejuruteraan perisian untuk menggabungkan keupayaan analisis perniagaan, pembangunan dan pengujian.
Program latihan peringkat awal kerjaya pula menawarkan laluan kepada lulusan universiti, politeknik serta Institut Pendidikan Teknikal (ITE) untuk membina kemahiran praktikal AI, termasuk pilihan tanpa sebarang ikatan pekerjaan.
SEKILAS PENGGUNAAN AI YANG BAKAL DIPERLUAS
Changi Airport Group
– Bersama CAG, NCS akan pertingkat sistem pengawasan landasan sedia ada dikenali sebagai iFerret
– Rakan kerjasama akan tambah keupayaan AI lebih canggih serta uji penambahbaikan di lapangan terbang sebelum diperkenalkan ke luar negara
IMH
– NCS kerjasama dengan IMH teroka alat digital tingkat jagaan pesakit dan sokong petugas kesihatan
– Antara projek terawal termasuk Bio-ID, alat pengecaman wajah bantu kakitangan kenal pasti pesakit serta peka terhadap pertimbangan keselamatan berkaitan penjagaan mereka, seperti beri ubat yang betul
Life3 Biotech
– NCS dan Life3 Biotech akan bangun alat AI tingkat penghasilan mikroorganisma dan protein berasaskan tumbuhan kepada skala lebih luas
– Matlamat usaha untuk bantu syarikat hasilkan secara lebih cekap, tingkatkan pengeluaran dan kurangkan kesan terhadap alam sekitar
