Topik diikuti
Pergi ke BHkuGoogle percepat pengambilan pekerja bagi pusat kejuruteraan di S’pura
Google percepat pengambilan pekerja bagi pusat kejuruteraan di S’pura
Google mempercepatkan pengambilan jurutera di Singapura, dengan andaian bahawa kecerdasan buatan (AI) akan meningkatkan permintaan terhadap pekerja teknologi mahir, walaupun AI turut mengautomasikan lebih banyak tugas yang dahulunya dilakukan oleh mereka.
Gergasi teknologi itu telah mengambil lebih 85 pakar dalam tempoh kurang enam bulan bagi fasa pertama Pusat Kejuruteraan Singapura (SEC) Google Cloud, yang dilancarkan secara rasmi pada 15 September.
Pusat itu terletak bersebelahan makmal penyelidikan AI Google DeepMind di Singapura, yang dibuka pada November 2025, menghimpunkan penyelidik AI, jurutera perisian dan jurutera yang berhadapan pelanggan di bawah satu bumbung, bagi membangunkan penyelesaian di Singapura untuk kegunaan setempat dan global.
Pengambilan pekerja itu merupakan susulan kepada pengembangan yang telah dijanjikan Google pada Februari 2026, ketika syarikat itu berkata ia sedang mencari calon untuk mengisi lebih 150 jawatan di sini.
Naib Presiden Teknologi dan Kejuruteraan Pelanggan Google Cloud bagi Asia-Pasifik dan Greater China, Encik Moe Abdula, berkata kepantasan pengambilan pekerja di pusat kejuruteraan baharu itu membuktikan Singapura mempunyai kumpulan bakat yang kukuh, daripada pekerja baharu sehingga profesional berpengalaman.
“Sangat kaya dengan bakat,” kata Encik Abdula, yang berpindah dari Amerika Syarikat ke Singapura tiga tahun lalu untuk pekerjaannya di Google.
“Untuk diterima bekerja di Google bukanlah perkara mudah,” katanya kepada The Straits Times (ST). “Kami tidak pernah berkompromi terhadap piawaian kami. Kami mempunyai proses yang sangat ketat, dan kami amat gembira dengan ketersediaan bakat yang ada.”
Pengembangan itu berlaku susulan beberapa tahun yang mencabar bagi tenaga kerja teknologi global. Seperti kebanyakan syarikat sebayanya, syarikat induk Google, Alphabet, berkembang pesat semasa pandemik Covid-19 sebelum mengubah haluan pada 2023, dengan memotong pekerjaan merentasi pelbagai fungsi apabila pertumbuhan kembali normal.
Namun, jumlah keseluruhan pekerjanya kini kembali meningkat. Menurut laporan pendapatan terkininya, Alphabet mempunyai 198,933 pekerja pada penghujung Jun 2026, naik daripada 187,103 pada 2025.
Di Singapura, Google mempunyai lebih 3,000 pekerja. Google berkata pengambilan bersih pekerjanya di Singapura telah meningkat dari tahun ke tahun, dengan SEC menyumbang bahagian besar daripada penambahan tersebut.
Pengembangan itu berlaku ketika perniagaan Google Cloud terus berkembang pesat, dengan hasil meningkat sebanyak 82 peratus tahun ke tahun pada suku kedua.
Encik Abdula berkata permintaan terhadap bakat tidak terhad kepada mereka yang bekerja secara langsung dalam bidang AI. Permintaan turut meningkat dalam bidang keselamatan siber, analitik data dan kejuruteraan perisian, apabila lebih banyak syarikat mula menggunakan AI dalam operasi mereka.
Jurutera yang berhadapan pelanggan
Jurutera yang mampu melakukan lebih daripada sekadar pengekodan “pastinya akan mempunyai kelebihan,” kata Encik Abdula.
Jurutera di barisan hadapan Google (forward-deployed engineers, FDE), sebagai contoh, bekerjasama dengan pelanggan korporat selama beberapa minggu untuk membina penyelesaian dari awal hingga akhir, dan bukan sekadar memberi nasihat kepada mereka.
Mereka perlu memenuhi piawaian teknikal yang sama seperti jurutera perisian Google, namun turut perlu memiliki kemahiran runding yang kukuh serta keupayaan mengenal pasti apa yang mencipta nilai bagi sesebuah perniagaan, katanya.
Beliau memetik kerjasama Google dengan Grab sebagai contoh. Grab mengendalikan lebih 10 juta panggilan suara menerusi aplikasinya setiap bulan, dengan halangan bahasa antara pemandu dan penumpang di seluruh Asia Tenggara menjadi antara masalah paling rumit.
Jurutera Google bekerjasama dengan Grab untuk membangunkan sistem terjemahan yang mengambil kira dialek, loghat, nada dan sentimen, sambil turut memastikan masa tindak balas cukup untuk membolehkan perbualan semula jadi dan mengurangkan salah faham.
