Perjalanan keusahawanan Encik Sirajudeen Syed Mohamed, sudah bermula lebih sedekad lamanya.
Beliau telah mengasaskan syarikat Royal Kings Group dan Royal Kings Pte Ltd pada 2013, serta Royal Kings Consultancy Pte Ltd pada 2019.
Syarikat beliau merupakan sebuah konglomerat merangkumi industri perkhidmatan korporat, perdagangan borong, perundingan teknologi maklumat serta khidmat runding cara perniagaan.
Setelah menyediakan khidmat kepada syarikat milik masyarakat India, syarikat runding cara Royal Kings Consultancy Pte Ltd ingin menembusi pasaran Melayu/Islam.
Beliau berusaha untuk membantu mereka memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi dan memacu transformasi digital bagi pelanggan mereka.
“Saya amat optimis dengan potensi perniagaan Melayu/Islam di negara ini, dan mereka boleh berkembang di peringkat global. Saya yakin dengan perancangan strategik, serta penekanan pada inovasi yang tepat, syarikat-syarikat ini berpotensi untuk berkembang maju di peringkat antarabangsa.
“Saya melihat industri seperti teknologi (maklumat), logistik, produk bagi pasaran halal sebagai bidang utama di mana perniagaan Melayu/Islam boleh memberi kesan yang ketara dan kukuh pada pernigaan mereka,” jelas Encik Sirajudeen, 46 tahun.
Beliau juga menekankan kepentingan memanfaatkan platform digital, mewujudkan rangkaian global yang teguh untuk menyokong pertumbuhan mampan dan memberikan sokongan dan pengiktirafan antarabangsa bagi perniagaan-perniagaan ini.
Dengan kepakaran yang beliau perolehi, Encik Sirajudeen yakin, syarikat Melayu/Islam di sini juga mampu untuk terus melebarkan sayap mereka ke luar negara.
Menurut beliau, antara industri yang terus mendapat perhatian ramai dan mampu berkembang adalah sektor teknologi maklumat (IT), logistik dan produk bagi pasaran halal.
Bapa kepada tiga orang anak berusia di antara 20 tahun hingga 10 tahun ini juga telah meraih pelbagai anugerah berprestij.
Antaranya, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (Bintang) bagi sektor perkhidmatan serta Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik (CEO) dengan fokus pada perkhidmatan Sumber Manusia (HR) dan pengurusan.
Anugerah itu diberikan kepada beliau oleh Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Cemerlang, Cik Margaret Heng dan Pengarah Urusan dan Penerbit dari Chief of Staff Asia, Encik Paul Howell. Kededua anugerah diterima pada 2023.
Encik Sirajudeen juga menerima Anugerah Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 2024 kerana sokongan berterusan beliau kepada kakitangan Perkhidmatan Negara (NS).
Biarpun Encik Sirajudeen mempunyai pengalaman luas dalam dunia perniagaan, namun dirinya tidak pernah berpeluk tubuh.
Sebaliknya beliau terus bekerja keras, menanam azam dan berusaha untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Sejak awal 2024, perniagaan beliau telah pun beroperasi di Hong Kong, Indonesia, India dan bakal membuka cawangan mereka di Malaysia tidak lama lagi.
Mereka kini mempunyai dua pejabat di sini yang terletak di Collyer Quay dan Ubi Techpark, dan mempunyai seramai 20 kakitangan di Hong Kong, Indonesia, dan Singapura.
Memandang ke hadapan, Encik Sirajudeen berhasrat untuk mempelbagai dan mengembangkan operasi kumpulan syarikat beliau di seluruh Asia dan pasaran sejagat.
“Visi syarikat kami adalah untuk mewujudkan perusahaan global yang bukan sahaja cemerlang dalam usaha perniagaannya tetapi juga menyumbang secara positif kepada masyarakat dengan memupuk budaya inovasi, amalan perniagaan beretika dan tanggungjawab sosial.
“Dengan asas yang kukuh dalam dasar pemerintah, panduan dan piawaian perniagaan, perihal kewangan dan pengurusan strategik, saya bersedia untuk memimpin Royal Kings Group ke tahap yang lebih tinggi dan mencapai kecemerlangan perniagaan.
“Selain itu, syarikat saya juga bersedia untuk memberikan serta menawarkan kepakaran kami dan sumbangan yang bermakna kepada komuniti, khususnya bagi masyarakat Melayu/Islam setempat,” tambahnya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg