Pemerintah akan mengadakan rundingan dengan syarikat media sosial menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE) yang akan datang untuk mengingatkan mereka tentang keperluan mematuhi undang-undang, terutama berkaitan perihal campur tangan asing.
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, membuat kenyataan itu sebagai respons kepada soalan Anggota Parlimen (AP) Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong) di Parlimen pada 5 Februari.
Dr Tan mengemukakan soalan berkaitan kesan platform media sosial asing dengan kehadiran tempatan yang ketara, yang membuat perubahan kepada algoritmanya, untuk memberi keistimewaan atau mengurangkan jangkauan media sosial calon atau kumpulan calon tertentu semasa tempoh GE2025 atau tempoh menjelang GE.
Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (GRC Aljunied), juga menyoal cara kementerian, secara bebas, memastikan sama ada algoritma boleh dimanipulasikan.
Menjawab, Cik Sun berkata algoritma yang digunakan syarikat media sosial tidak menyalahi undang-undang, sambil menambah:
“Algoritma, secara tersendiri, tidak menyalahi undang-undang. Banyak syarikat media sosial yang mempunyai algoritma dengan tujuan mahu mengeluarkan kandungan mereka.
“Mereka mungkin menggunakannya kerana, algoritma adalah proprietari, dan mereka menggunakan algoritma kerana mereka ingin menangkap perhatian pengguna.
“Pemerintah menyedari bahawa algoritma platform media sosial berpotensi untuk dibuat perubahan agar dapat mempengaruhi cara maklumat diterima oleh penggunanya.
“Jika algoritma diubah dengan sengaja oleh individu atau entiti asing, termasuk syarikat media sosial, untuk mempengaruhi politik domestik kita, ia akan dianggap sebagai campur tangan asing.”
Cik Sun berkata jika kepalsuan terhadap kepentingan awam diperkatakan secara dalam talian semasa tempoh pilihan raya, pemerintah juga boleh mengeluarkan arahan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), yang memerlukan fakta untuk diterbitkan.
Beliau menambah bahawa semua iklan pilihan raya dalam talian semasa tempoh GE mesti mematuhi peraturan berkaitan, dan pegawai pilihan raya boleh mengarahkan platform media sosial untuk menghapuskan akses atau mengalih keluar sebarang iklan pilihan raya dalam talian yang melanggar peraturan ini.
Beliau juga memberi contoh bagaimana pemerintah telah mengeluarkan arahan sekatan di bawah Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) atau Fica pada 2024 ke atas 95 akaun media sosial.
Sebanyak 10 laman web tidak sahih yang berpotensi digunakan untuk melancarkan kempen maklumat berniat jahat (HIC) terhadap Singapura juga telah disekat.
Fica ialah undang-undang untuk mengukuhkan keupayaan pemerintah mencegah, mengesan dan mengganggu percubaan terselindung oleh entiti asing untuk campur tangan dalam politik Singapura.
Ini termasuk secara palsu menguatkan pandangan tertentu untuk memanipulasi pendapat umum mengenai isu-isu hangat, mencetuskan perbalahan, atau menjejas keyakinan terhadap institusi awam.
Undang-undang itu juga bertujuan mengatasi subversif (melemahkan sistem) dan mempengaruhi operasi melalui penggunaan proksi tempatan.
Di samping itu, Cik Sun berkata pemerintah juga mempunyai beberapa inisiatif untuk meningkatkan literasi maklumat rakyat.
“Kita akan terus mengkaji landskap dalam talian yang berkembang.
“Kita juga akan membuat semakan untuk menentukan jika peraturan tambahan untuk perkhidmatan media sosial diperlukan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian di Singapura dan mengukuhkan pertahanan kita terhadap campur tangan asing,” ujar Cik Sun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg