Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma penghantaran boleh tempah lot di tempat letak kereta HDB

Skim Hab Kurier dilaksana di lebih 50 tempat letak kereta bertingkat HDB di seluruh S’pura
Sep 9, 2024 | 7:00 PM
Van Shopee di sebuah tempat letak kereta bertingkat (MSCP) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) semasa perintis Skim Hab Kurier.
Van Shopee di sebuah tempat letak kereta bertingkat (MSCP) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) semasa perintis Skim Hab Kurier. - Foto FACEBOOK/DESMOND LEE

Pihak Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Lembaga Perumahan & Pembangunan (HDB) telah merasmikan Skim Hab Kurier, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dalam catatan Facebooknya pada 9 September. 

Mulai 9 September, syarikat penghantaran boleh menempah lot di lebih 50 tempat letak kereta bertingkat (MSCP) HDB di seluruh Singapura.

Menurut URA, program perintis bagi skim tersebut telah dijalankan pada 2021 dan 2022.

Pertumbuhan e-dagang dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah membawa kepada peningkatan dalam bilangan pembelian dan penghantaran dalam talian. 

Encik Lee berkata: “Program perintis itu menyediakan kakitangan penghantaran ruang yang selamat dan selesa untuk mengurus dan mengendalikan bungkusan di kawasan MSCP.”

Di bawah program perintis itu, beberapa tempat letak kereta bertingkat HDB telah dipilih sebagai hab ‘courier’ di mana syarikat penghantaran boleh jalankan aktiviti seperti memunggah bungkusan, menyusun dan menghantar kepada penghantar yang berjalan kaki.

“Melalui percubaan itu, kami melihat peningkatan produktiviti dan mengurangkan masa penghantaran keluar, membolehkan pelanggan menerima bungkusan mereka lebih awal,” tambah Encik Lee.

HDB turut menekankan bahawa ia sekali gus meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesan karbon secara keseluruhan.

Syarikat yang berminat boleh memohon untuk menempah lot di MSCP HDB mulai 9 September. 

Tempat letak kereta ini dipilih “berdasarkan ketersediaan ruang dan maklum balas yang diterima”, kata URA.

Permohonan ditutup pada 5.30 petang pada 4 Oktober.

Untuk memohon lot tersebut, pemohon perlu:

  1. Warga Singapura atau penduduk tetap berumur sekurang-kurangnya 18 tahun
  2. Pemilik tunggal atau pemilik syarikat yang diperbadankan di Singapura
  3. Syarikat itu perlu berdaftar dengan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra)

Sesebuah syarikat itu boleh memilih lokasi pilihan mereka daripada senarai MSCP.

Mereka dikehendaki memohon sekurang-kurangnya empat lot dan boleh memohon sebanyak 12 lot setiap tapak bagi setiap permohonan.

Tiada perubahan boleh dilakukan setelah permohonan dihantar, menurut laman web HDB.

Lot akan diberikan berdasarkan siapa cepat dia dapat, mengikut tarikh dan masa setiap permohonan diterima, tambahnya.

Bergantung pada ketersediaan lot di setiap tempat letak kereta, lebih daripada satu syarikat mungkin ditetapkan di tempat letak kereta yang sama.

Pemohon yang berjaya akan menandatangani Lesen Pekerjaan Sementara (TOL) dan akan dimaklumkan mengenai tarikh mulanya.

Mereka akan dibenarkan menggunakan lot di bawah skim tersebut selama setahun. 

Mereka akan dikehendaki membayar yuran TOL setahun sebanyak $70 setiap lot sebulan dan deposit keselamatan tiga bulan berdasarkan bilangan lot yang diambil.

Caj tempat letak kereta akan terus dikenakan untuk kenderaan yang menggunakan tempat letak kereta untuk aktiviti hab ‘courier’.

Deposit keselamatan akan dipulangkan pada penghujung tempoh TOL atau selepas tamat, dengan syarat lot tersebut berada dalam keadaan asalnya dan memuaskan HDB.

Ruang yang ditetapkan akan tersedia untuk aktiviti hab kurier dari 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg