Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga khidmat penghantaran platform mungkin naik, firma dan pelanggan harus anggap wajar

Penganalisis: Perlindungan, kebajikan pekerja platform perkara asas, caruman CPF perlu dilihat sebagai tanggungjawab sosial
Sep 6, 2024 | 5:27 PM
Walaupun gaji yang mereka bawa pulang akan berkurangan kerana caruman CPF, pekerja platform boleh menjangka perlindungan lebih tinggi dan kebajikan mereka lebih terjaga pada masa depan. Ini termasuk simpanan mencukupi bagi keperluan perumahan dan persaraan.
Walaupun gaji yang mereka bawa pulang akan berkurangan kerana caruman CPF, pekerja platform boleh menjangka perlindungan lebih tinggi dan kebajikan mereka lebih terjaga pada masa depan. Ini termasuk simpanan mencukupi bagi keperluan perumahan dan persaraan. - Foto fail

Harga dan komisen perkhidmatan penghantaran syarikat platform boleh dijangka meningkat apabila undang-undang mewajibkan syarikat dan pekerja platform membuat caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dilaksanakan mulai 1 Januari 2025, kata para penganalisis.

Kemungkinan syarikat platform menaikkan harga tidak boleh diketepikan, memandangkan caruman CPF akan mengurangkan jumlah gaji yang dibawa pulang untuk pekerja platform dan meningkatkan kos bagi syarikat.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk melihat kesan keseluruhan undang-undang yang bertujuan melindungi pekerja platform itu, ujar mereka.

Rang Undang-Undang Pekerja Platform, yang bertujuan mempertingkat perlindungan dan kebajikan bagi pekerja platform dibentang di Parlimen baru-baru ini. Rang itu menetapkan, antara lain, syarikat dan pekerja platform wajib membuat caruman CPF mulai 1 Januari 2025. Ini bagi memastikan pekerja platform mempunyai simpanan yang mencukupi bagi keperluan perumahan dan persaraan mereka.

Untuk memberikan sokongan kepada pekerja platform bergaji rendah, pemerintah baru-baru ini mengumumkan ia akan mempertingkat skim sokongan peralihan CPF pekerja platform (PCTS) – yang diumumkan pada 2023 – untuk membiayai sepenuhnya caruman tambahan yang perlu dibuat pekerja kepada CPF mereka dalam tahun pertama apabila undang-undang itu dilaksanakan.

Sokongan itu akan dikurangkan secara bertahap sepanjang tiga tahun – kepada 75 peratus kadar kenaikan pada 2026, 50 peratus pada 2027, dan 25 peratus pada 2028.

Ia akan disediakan buat pekerja platform bergaji rendah yang lahir pada 1995 dan selepasnya, serta mereka yang lebih berusia yang membuat caruman CPF.

Perubahan lain yang akan bermula pada 1 Januari 2025, jika rang itu diluluskan, termasuk syarikat platform wajib menyediakan pampasan akibat kecederaan semasa bekerja yang dihadapi pekerja platform.

Perwakilan lebih besar untuk pekerja platform, termasuk membenarkan pembentukan badan perwakilan yang boleh menandatangani perjanjian kolektif bersama syarikat platform, juga akan dilaksanakan mulai tarikh itu.

Penganalisis yang dihubungi Berita Harian berkata kedua-duanya – syarikat platform dan pengguna perkhidmatan mereka – perlu melihat langkah mewajibkan caruman CPF itu sebagai satu tanggungjawab sosial mereka untuk membantu mempertingkat kehidupan dan kebajikan pekerja platform.

Profesor Madya Eugene Tan, daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata pengguna perkhidmatan syarikat platform perlu menghargai bahawa untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, mereka juga perlu membayar lebih tinggi bagi perkhidmatan itu.

“Kedua-dua pihak – syarikat dan pengguna – perlu melihat ia sebagai satu tanggungjawab sosial mereka dan perkara yang wajar dilakukan,” kata beliau.

Profesor Madya Walter Theseira, daripada Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata dengan caruman CPF menjadi mandatori, syarikat platform perlu menyesuaikan strategi perniagaan mereka kerana mungkin lebih mahal dan sukar mendapatkan pekerja platform. Ini kerana perbezaan antara kerja platform dengan kerja lain dari segi gaji yang dibawa pulang akan mengecil.

Bagaimanapun, Dr Theseira berkata kesan ke atas pengguna perkhidmatan syarikat platform sukar diramal memandangkan kos sebenar seorang pekerja penghantaran dibahagikan antara bayaran yang ditanggung pengguna dengan komisen yang dibayar perniagaan kepada platform.

“Ada kemungkinan harga penghantaran dan/atau komisen akan meningkat, dan penyesuaian lain mungkin dibuat, contohnya menaikkan harga bagi penghantaran di mana komisen tidak menyokong kos penghantaran,” kata beliau.

Ditanya apakah undang-undang itu akan menjejas syarikat platform lebih kecil, Dr Theseira berpandangan bahawa tiada satu pun syarikat platform yang dikenali di Singapura hari ini adalah kecil hingga akan menghadapi masalah serius dalam mematuhi peraturan caruman CPF itu.

Beliau menambah bahawa ada kemungkinan lebih ramai orang beralih ke ‘platform’ atau rangkaian tidak rasmi bagi perkhidmatan gig, seperti kumpulan Telegram yang mengatur perkhidmatan penghantaran, kerana sistem sedemikian tidak terjejas oleh undang-undang itu.

Dr Tan berkata caruman CPF akan menjejas syarikat platform, namun, “jika mereka tidak boleh berdaya saing kerana mereka mempunyai tanggungjawab sosial, maka kesudahan mereka akan datang lambat laun”.

Perkara asas adalah pekerja platform memerlukan perlindungan dan jaminan, ujar Dr Tan, dan “mereka bukan angka semata-mata”.

“Syarikat platform perlu menyumbang lebih kepada kebajikan pekerja platform mulai sekarang. Ini perkara baik.

“Pekerja platform bermotivasi dan setia adalah apa yang diperlukan syarikat platform. Oleh itu, syarikat platform perlu bekerjasama,” kata beliau.

Persatuan Industri Platform Digital (DPIA) berkata meskipun syarikat platform prihatin tentang perlindungan dan kebajikan pekerja platform, undang-undang itu, jika dilaksana, akan memperkenalkan kos besar kepada industri, yang akan memberi tekanan kepada margin syarikat yang sudah tipis.

Jurucakap persatuan itu menambah bahawa syarikat platform mungkin perlu menyesuaikan harga supaya dapat terus memberikan nilai dan kemudahan kepada pelanggan.

Bagaimanapun, mereka juga sedar bahawa sebarang kenaikan harga yang tidak dapat dielakkan boleh memberi kesan kepada permintaan pengguna, lebih-lebih lagi di tengah-tengah cabaran inflasi dan kos sara hidup semasa.

“Sementara kami tidak pasti bagaimana pelanggan akan memberi respons terhadap potensi kenaikan harga, adalah penting semua pihak berkepentingan, termasuk pengguna, berkongsi kos yang meningkat ini untuk menyokong pekerja platform kami dan memastikan daya maju jangka panjang industri platform,” kata jurucakap DPIA.

“Di DPIA, kami komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan, termasuk pemerintah, bagi memastikan ekonomi platform berkembang secara mampan.

“Matlamat kami ialah mengemudi landskap kawal selia baru ini dengan cara yang terus memberikan nilai kepada pengguna, menyokong pekerja platform kami, dan memastikan daya maju jangka panjang perniagaan platform di Singapura,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg