Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma tukar mata wang kripto Upbit dapat lesen penuh S’pura

Jan 8, 2024 | 3:58 PM
DAPAT LESEN PENUH: Pertukaran mata wang kripto, Upbit, telah diberi lesen penuh Singapura yang membolehkannya kembangkan perniagaan aset digitalnya di Singapura.
DAPAT LESEN PENUH: Pertukaran mata wang kripto, Upbit, telah diberi lesen penuh Singapura yang membolehkannya kembangkan perniagaan aset digitalnya di Singapura. - Foto UPBIT

Firma pertukaran mata wang kripto, Upbit, telah diberi lesen penuh Singapura, membolehkannya mengembangkan perniagaan aset digitalnya di sini.

Ketua pegawai operasi Upbit Singapore, Encik Raks Sondhi, berkata lesen penuh tersebut akan membolehkan firma itu terus mengembangkan pasukannya, mengembangkan penawaran perniagaan, dan menambah bilangan aset digital yang disenaraikan firmanya.

Lebih satu dozen pemain pasaran telah diberikan lesen penuh untuk menawarkan perkhidmatan token pembayaran digital (DPT), dengan pertukaran Coinbase, rangkaian pembayaran Ripple dan bank kripto Sygnum Singapore antara penerima terbaru.

Lesen penuh diberikan kepada Upbit tiga bulan selepas firma itu berkata ia telah memperoleh Kebenaran Secara Prinsip (IPA) daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk menawarkan perkhidmatan pembayaran token digital di Singapura.

Upbit memperoleh IPA tersebut pada 16 Oktober 2023 yang membolehkan firma itu terus menyediakan perkhidmatan DPT terkawal kepada pelabur institusi.

Pengasas dan ketua eksekutif Upbit, Encik Alex Kim, berkata firmanya dikecualikan MAS untuk menyediakan perkhidmatan dengan perbankan langsung.

Ditubuhkan di Singapura pada 2018, Upbit memberi khidmat kepada pelanggan runcit dan institusi.

MAS telah memberi amaran bahawa perdagangan kripto tidak menentu dan tidak sesuai untuk pelabur runcit.

Encik Sondhi berkata firmanya sedang mengambil pekerja baru untuk pekerjaan berkaitan pembangunan perniagaan, perkhidmatan pelanggan dan pematuhan.

“Walaupun pasukan teras kami telah ditubuhkan, Upbit Singapore menggandakan tenaga kerja kami dalam pematuhan dan undang-undang, serta pembangunan perniagaan institusi dan Web3 berikutan kelulusan kawal selia ini,” kata Encik Sondhi.

Upbit Singapore mempunyai hubungan dengan salah satu bursa terbesar Korea Selatan, Upbit Korea, yang diasaskan pada 2017.

Firma Singapura itu juga ialah sebahagian daripada kumpulan aset digital, Upbit Apac, yang mengendalikan pertukaran aset digital terkawal di Singapura, Indonesia dan Thailand. Pada Oktober 2023, Upbit Apac menyatakan ia mempunyai kira-kira 80 pekerja, dengan kira-kira 20 daripada mereka berpangkalan di Singapura.

Upbit Apac juga mengendalikan VerifyVASP, satu penyedia penyelesaian untuk aturan perjalanan kripto, yang merupakan entiti Singapura.

VerifyVASP ialah antara penyedia penyelesaian untuk aturan perjalanan terbesar di dunia, dengan nilai pemprosesan keseluruhan melebihi AS$100 bilion ($133 bilion).

Aturan perjalanan merujuk kepada saranan oleh Pasukan Petugas Bertindak Khas Kewangan (FATF), satu badan global, supaya institusi kewangan bertukar maklumat pelanggan dengan rakan niaga bagi mencegah pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg