Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fitnah melalui Facebook: Hsien Yang bayar lebih $600,000 kepada Shanmugam, Vivian

Oct 1, 2024 | 6:48 PM
Awal dari ini, Encik Lee Hsien Yang (kiri), berdepan saman fitnah di mahkamah yang dikemukakan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (tengah); dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kanan), kerana memfitnah mereka mengenai penyewaan dua banglo di Ridout Road.
Awal dari ini, Encik Lee Hsien Yang (kiri), berdepan saman fitnah di mahkamah yang dikemukakan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (tengah); dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kanan), kerana memfitnah mereka mengenai penyewaan dua banglo di Ridout Road. - Foto fail

Encik Lee Hsien Yang, telah membayar Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, lebih $600,000 kerana memfitnah mereka dalam satu hantaran di media sosial mengenai penyewaan dua banglo hitam-putih di Ridout Road.

Pembayaran itu dibuat selepas beliau didakwa di mahkamah oleh kededua menteri itu pada Ogos 2023.

Pada 23 Julai 2023, dalam satu hantaran di Facebook, Encik Lee menuduh kededua menteri itu mendapatkan layanan istimewa daripada Penguasa Tanah Singapura (SLA), termasuk menebang pokok dan membiayai pengubahsuaian di kededua hartanah milik pemerintah itu.

Pada 29 September, Encik Lee menulis di Facebook bahawa beliau telah membayar sejumlah $619,335.53 kepada kededua menteri itu berhubung kenyataan fitnah tersebut.

Beliau menyatakan bahawa jumlah itu “bersamaan dengan harga sewa 13.6 bulan untuk kededua rumah Ridout itu”, dan menambah adalah ‘malang’ kededua menteri itu tidak meneruskan kes tersebut di mahkamah Britain.

Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan menyangkal dakwaan Encik Lee pada 1 Oktober, dalam dua hantaran di Facebook yang hampir sama.

Menurut mereka, beliau tidak mempunyai jawapan apabila mereka menunjukkan bahawa fitnah itu diterbitkan di Singapura dan secara khusus ditujukan kepada dan melibatkan warga Singapura.

“Kami menggesa beliau supaya menyoal balas kami dan (berdepan) soal balas, di hadapan semua orang, supaya beliau boleh menunjukkan kepada Singapura, dan seluruh dunia, bahawa beliau betul dan kami yang salah.

“Bagaimanapun, pada hari pertama perbicaraan apabila kami memberi keterangan, bersedia untuk disoal balas, beliau tidak hadir,” kata kededua menteri itu.

Pada 2023, Encik Lee telah menerima arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma), dua hari selepas beliau menulis hantaran di Facebook itu.

Beliau kemudian meletakkan notis pembetulan di samping hantaran tersebut, namun menyatakan dalam catatan lain bahawa beliau berpegang pada apa yang dikatakannya.

Kedua-dua menteri itu kemudian menghantar surat guaman kepadanya, memintanya memohon maaf, menarik balik dakwaannya dan membayar ganti rugi $25,000 setiap seorang.

Tetapi Encik Lee tidak berbuat demikian. Justeru, mereka memfailkan saman fitnah berasingan terhadapnya di Mahkamah Tinggi.

Encik Lee tidak membalas tuntutan mahkamah itu, dan tidak hadir ke mahkamah untuk membela diri.

Beliau telah diberikan penghakiman ingkar pada November 2023.

Pada Mei 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan Encik Lee supaya membayar setiap seorang daripada mereka $200,000 sebagai ganti rugi.

Ia termasuk $50,000 sebagai ganti rugi tambahan, dengan Hakim Mahkamah Tinggi, Encik Goh Yihan, menyatakan bahawa Encik Lee telah bertindak dengan niat jahat kerana beliau tahu bahawa kenyataan fitnah itu tidak benar.

Kededua menteri itu berkata wang tersebut akan didermakan kepada badan amal.

Encik Lee telah menulis catatan fitnah itu sebulan selepas Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), mengeluarkan penemuan mengenai penyewaan hartanah Ridout Road, menyatakan bahawa tidak ada salah laku atau layanan istimewa diberikan kepada kedua-dua menteri itu.

Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, juga telah membuat semakan atas perkara itu, dan mendapati kedua-dua menteri itu telah mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg