Di sebalik kesedaran berterusan terhadap golongan orang kurang upaya di Singapura, khususnya golongan pekak, masih ada dalam kalangan masyarakat di sini yang menganggap golongan ini “kurang cerdas dan kurang berupaya”.
Demikian kongsi Encik Muhammad Ammar Nasrulhaq Abdul Karim, 32 tahun, artis persembahan pekak.
Beliau, yang lahir dengan cukup sifat tetapi menjadi pekak menyusuli demam panas ketika bayi, berkata:
“Kami (golongan pekak) sering kali dilihat sebagai penagih simpati kerana kami tidak dianggap ‘normal’ seperti individu lain yang boleh mendengar.
“Pemikiran ini saya rasa berasal daripada generasi yang lebih tua, dengan orang kurang upaya dilihat sebagai tidak berupaya dan individu kurang upaya tidak dipandang sama.”
Namun, beliau akur pencapaian baik dapat dilihat terhadap kepekaan masyarakat terhadap golongan pekak dan orang kurang upaya secara keseluruhan berikutan pelaksanaan sistem sokongan lebih baik, yang menurutnya “meningkatkan daya keyakinan orang kurang upaya”.
Seniman Bersekutu di badan kreatif, Access Path Productions, dan penerima Biasiswa Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC) itu – yang kini mengambil Sarjana Muda, Persembahan dalam Bahasa Isyarat British dan Inggeris di Royal Conservatoire Scotland – merupakan antara individu golongan pekak yang membentuk salah satu jenis ketidakupayaan biasa di Singapura, menurut satu laporan trend orang kurang upaya.
Laporan tersebut diterbitkan bersama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2 Disember, yang menghimpunkan data daripada badan dan kementerian berkepentingan merangkumi beberapa aspek seperti sikap orang awam terhadap orang kurang upaya.
Ia diterbitkan MSF dan NCSS buat julung-julung kali sedang Singapura melakar hala tuju ke arah wawasan masyarakat yang lebih terangkum.
Setakat Disember 2023, terdapat sekitar 45,000 orang kurang upaya berusia 19 tahun dan ke atas yang diketahui pemerintah – merujuk kepada individu yang pernah atau sedang terlibat dalam skim, perkhidmatan atau program pemerintah berkenaan orang kurang upaya – tambah laporan itu.
Daripada jumlah itu, lebih tiga dalam 10 (34.4 peratus) adalah jenis ketidakupayaan fizikal, hampir dua dalam 10 (19.2 peratus) ketidakupayaan intelektual, lebih satu dalam 10 (16 peratus) kehilangan pendengaran atau pekak, manakala autisme membentuk 12.2 peratus.
Laporan itu menambah bahawa kadar mereka yang mengalami ketidakupayaan fizikal adalah tertinggi dalam kalangan golongan berusia 50 tahun dan ke atas.
Ini setelah lebih separuh (51.3 peratus) daripada golongan berusia 50 hingga 64 tahun dan lebih 6 dalam 10 daripada golongan berusia 65 tahun dan ke atas didiagnosis dengan ketidakupayaan fizikal – berbanding 7.3 peratus daripada mereka berusia 19 hingga 34 tahun dan 25.4 peratus bagi mereka berusia 35 hingga 49 tahun.
Dari segi jantina pula, laporan itu mendapati bahawa lebih ramai kaum lelaki (58.6 peratus) berbanding wanita mengalami ketidakupayaan merentasi semua peringkat usia, kecuali mereka berusia 65 tahun dan ke atas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg