Penggabungan dua kategori kereta bagi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) merupakan antara beberapa perubahan yang dicadangkan bagi membezakan dengan lebih jelas harga kereta pasaran massa berbanding model mewah.

Selain menggabungkan Kategori A dan B, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) turut mengemukakan cadangan sistem bertingkat yang melibatkan rebat atau surcaj ke atas premium COE semasa, berdasarkan nilai kereta tersebut.

LTA mendedahkan cadangan awal itu bagi mendapatkan maklum balas orang ramai pada 8 Oktober, susulan satu kajian semula terhadap sistem COE. Kajian semula yang diumumkan pada Mac didorong oleh jurang harga yang semakin mengecil antara premium Kategori A dan B.

Di bawah sistem sedia ada, dua kategori kereta tersebut dibezakan berdasarkan saiz enjin dan kuasa keluaran (power output), atau kuasa keluaran sahaja bagi kereta elektrik (EV).

Namun, pengilang kereta kini kerap mengubah suai spesifikasi kenderaan bagi model kelas atasan supaya berada dalam had kuasa enjin Kategori A, kata LTA.

Oleh demikian, ia mengusulkan satu sistem yang digelar ‘feebate’, yang menggunakan rebat serta surcaj bagi memastikan pembeli kereta bernilai tinggi membayar premium lebih tinggi berbanding pembeli kereta pasaran massa.

LTA telah mencadangkan dua pilihan – satu dengan tiga peringkat, dan satu lagi dengan lima peringkat.

Di bawah pilihan tiga peringkat, kereta dengan Nilai Pasaran Terbuka (OMV) – iaitu harga sebelum cukai – yang tergolong dalam peringkat terendah bakal menerima rebat $15,000.

Kereta yang tergolong dalam peringkat pertengahan pula akan membayar harga penuh COE tanpa rebat atau surcaj.

Manakala kereta dengan OMV melebihi peringkat pertengahan akan dikenakan surcaj $15,000.

Pilihan lima peringkat pula “membolehkan pelarasan lebih kecil dibuat”, dengan menambah dua peringkat yang masing-masing mengenakan rebat atau surcaj sebanyak $7,500.

Dalam kertas perundingan yang diterbitkan pada 8 Oktober, LTA menyatakan bahawa pelaksanaan rebat dan surcaj akan mengekalkan “perbezaan bermakna” dari segi jumlah yang dibayar oleh pembeli kereta pasaran massa berbanding kereta kelas atasan, meskipun mereka membuat bidaan dalam kategori yang sama.

LTA menegaskan bahawa langkah semakan semula itu “bukan bertujuan untuk mempengaruhi harga keseluruhan COE, yang akan terus ditentukan oleh permintaan serta bekalan COE sedia ada”.

Sejak akhir 2024, harga COE Kategori A – yang diperuntukkan bagi model pasaran massa – semakin menyamai harga Kategori B yang digunakan untuk kereta lebih besar, lebih berkuasa serta model mewah.

Malah, premium Kategori A telah mengatasi Kategori B sebanyak tiga kali antara Februari dengan Jun 2026.

Dalam bidaan pada 7 Oktober, perbezaan harga antara kedua-dua kategori berkenaan hanya sebanyak $99, di mana premium Kategori A ditutup pada $130,001 manakala harga Kategori B berada pada $130,100.

OMV merupakan penanda aras yang sesuai untuk menentukan sama ada sesebuah model kereta layak menerima rebat atau dikenakan surcaj, kata LTA. 

Namun, LTA menarik perhatian bahawa nilai berkenaan boleh turun naik disebabkan oleh faktor seperti kadar pertukaran mata wang, perubahan rantaian bekalan, serta cara kenderaan dibawa masuk ke Singapura – sama ada menerusi pengimport selari atau pengedar sah.

Oleh itu, LTA mengusulkan penggunaan nilai median OMV bagi sesebuah model kereta berdasarkan data terdahulu. 

Bagi model baharu pula, nilai OMV khusus bagi kereta berkenaan akan dirujuk bagi menentukan peringkat yang bersesuaian.

Tiada sebarang perubahan akan dibuat pada proses bidaan COE, cukai kenderaan, mahupun yuran-yuran lain.

Ini merupakan kali keempat kategori kereta akan dirombak sejak sistem COE diperkenalkan 36 tahun lalu.

Sesi perbincangan kumpulan tumpuan dan dialog telah diadakan antara April dengan Mei, melibatkan lebih 200 peserta termasuk pakar akademik serta wakil industri automotif, tambah LTA.

Sesi perundingan awam ini akan ditutup pada 11.59 malam, 2 November, dan semakan semula tersebut dijangka selesai menjelang separuh pertama 2027, kata LTA.

Orang ramai yang ingin memberikan maklum balas boleh melayari https://go.gov.sg/coe-pcd-feedback.

Kertas perundingan awam berkenaan boleh didapati di https://go.gov.sg/coe-public-consult.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan