Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarga COE Kategori A cecah rekod $129,000
Harga COE Kategori A cecah rekod $129,000
Naik 4.2%, semua kategori lain turut meningkat
Harga COE Kategori A cecah rekod $129,000
Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) Kategori A mencatat rekod tertinggi sebanyak $129,000, manakala semua kategori lain turut meningkat dalam pusingan tender pada 8 Julai.
COE Kategori A bagi kereta lebih kecil, kurang berkuasa serta kenderaan elektrik (EV) meningkat 4.2 peratus daripada $123,847 kepada $129,000 – mengatasi rekod $128,105 yang dicatatkan pada Oktober 2025.
Harga COE Kategori B bagi kereta dan EV lebih besar meningkat 6 peratus kepada $130,889 daripada $123,502.
COE Kategori Terbuka (Kategori E) naik 0.6 peratus kepada $129,801 daripada $129,002.
Kategori itu boleh digunakan untuk semua jenis kenderaan kecuali motosikal, tetapi kebanyakannya digunakan bagi kereta lebih besar.
Oleh sebab sijil itu boleh dipindah milik, peniaga sering mendapatkannya untuk mendaftarkan kenderaan tanpa menunggu pusingan tender seterusnya.
Premium COE motosikal (Kategori D) pula meningkat 2.1 peratus kepada $10,201 daripada $9,989, iaitu kali ketiga pada 2026 harga melepasi paras lima angka.
COE kenderaan komersial (Kategori C) meningkat 2.1 peratus kepada $95,000 daripada $93,001, memecahkan rekod $94,000 yang dicatatkan pada bidaan pertama Jun.
Dalam kenyataannya, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengaitkan kenaikan harga COE dengan tempoh jurang tiga minggu antara pusingan tender kali ini dengan pusingan sebelumnya.
“Kami menggesa pembeli dan pengedar supaya berhemah ketika membuat bidaan COE,” katanya.
Pemerhati industri berkata tempoh tambahan seminggu membolehkan lebih banyak tempahan dibuat, menyebabkan permintaan COE meningkat.
Secara keseluruhan, tender terkini menerima 4,950 bidaan merentas lima kategori, meningkat 10.8 peratus berbanding 4,462 bidaan sebelumnya.
Pengarah Komersial Komoco Motors, Encik Ng Choon Wee, berkata tempahan meningkat selepas harga COE turun pada pusingan lalu apabila pembeli kembali daripada cuti pertengahan tahun.
Menurut beliau, keputusan terkini mungkin mengurangkan minat pengguna, tetapi tidak cukup untuk menurunkan harga COE kerana banyak bidaan yang gagal akan kembali dalam pusingan seterusnya.
Jumlah bidaan yang gagal meningkat 37 peratus kepada 1,796, berbanding 1,310 dalam tender sebelumnya.
Encik Ng turut berkata jenama EV China yang kini menguasai lebih 40 peratus pasaran tempatan terus meningkatkan permintaan.
Pengguna juga semakin menerima EV China, termasuk model premium.
