Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 17,000 karton rokok tanpa cukai dirampas, rekod terbesar 2025

Dec 8, 2025 | 4:40 PM
kastam, rokok haram, rampasan terbesar 2025
Sebanyak 17,279 karton rokok tanpa cukai dirampas dalam dua operasi penguatkuasaan oleh Kastam Singapura. - Foto KASTAM SINGAPURA

Kastam Singapura merampas 17,279 karton rokok dengan cukai yang belum dibayar pada 30 November dan 1 Disember, serta menahan empat individu dalam operasi tersebut.

Jumlah duti serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dielak melebihi $1.87 juta – menjadikannya rampasan darat terbesar pihak berkuasa setakat ini pada 2025.

Demikian menurut kenyataan Kastam Singapura pada 8 Disember.

Rokok seludup itu dirampas dalam dua operasi penguatkuasaan, masing-masing di Pandan Loop pada 30 November dan di Jurong Port Road pada 1 Disember, lapor The Straits Times (ST).

Dalam operasi 30 November, pegawai kastam menyerbu sebuah bangunan industri di Pandan Loop, di mana mereka ternampak sebuah van berdaftar Singapura mengundur masuk ke kawasan pemuatan dan pemunggahan barang.

Tiga lelaki kemudian dilihat memuatkan kotak-kotak ke dalam ruang kargo van tersebut.

Pegawai kastam memeriksa van berkenaan dan menemui 2,400 karton rokok tanpa cukai.

Selepas soal siasat lanjut, tiga lelaki itu membawa pegawai kastam ke sebuah unit dalam bangunan tersebut tempat 3,195 karton lagi rokok tanpa cukai ditemui.

Pegawai kastam merampas kesemua 5,595 karton rokok itu bersama van berkenaan.

Seorang lelaki warga Singapura berusia 27 tahun yang memandu van tersebut, serta tiga warga India yang berusia 30, 36 dan 39 tahun telah ditahan.

Dalam operasi susulan pada 1 Disember, pegawai kastam menyerbu sebuah gudang di Jurong Port Road dan menemukan 11,684 karton rokok tanpa cukai.

Prosiding mahkamah terhadap keempat-empat lelaki itu masih berjalan, kata Kastam Singapura.

Di bawah Akta Kastam dan Akta GST, membeli, menjual, membawa, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurusan dengan barang tanpa cukai merupakan kesalahan serius.

Pesalah boleh didenda sehingga 40 kali ganda jumlah cukai dan GST yang dielakkan dan/atau dipenjara sehingga enam tahun.

Kenderaan yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu juga boleh dirampas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg