Seorang pemilik syarikat yang mengendali beberapa syarikat berkaitan penjualan dan penyewaan mesin layan diri, yang didakwa beberapa pelanggan gagal menepati kontrak, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa beliau telah meminta maaf kepada pelanggan terjejas atas masalah yang berlaku.
Ini selepas beberapa pelanggan mendakwa mereka mengalami kerugian antara $5,000 hingga lebih $100,000 berhubung beberapa dakwaan termasuk penghantaran mesin yang tidak selesai, tidak berupaya mendapat lokasi untuk berniaga dan lain-lain lagi.
Pemilik Cik Aida Amanda Atan, 50 tahun, kini menguruskan beberapa syarikat, di bawah One Halal Nation Group – Clean by One Vibes; Match & Scale; One Vibes Vend-Cafe; dan satu lagi syarikat berpangkalan di Malaysia, kesemuanya mempunyai peranan berkaitan perniagaan mesin layan diri.
Cik Aida berkata beliau telah berkecimpung dalam perniagaan itu sejak 2016, dan menyebarkan perniagaannya menerusi media sosial.
Cik Aida memberitahu BH bahawa beliau mengendali lebih 100 pelanggan dengan 10 peratus daripada mereka telah meminta kembali wang mereka atas isu berkenaan.
“Saya akur mungkin saya telah gagal dalam model perniagaan ini. Saya memilih untuk mengendalikan perniagaan ini dan saya telah menerima pengajaran pahitnya.
“Tetapi saya tidak berniat melenyapkan diri, atau sekadar mengambil duit orang mahupun menipu mereka,” tegasnya.
Cik Aida antara lain didakwa beberapa individu di media sosial melakukan “penipuan” dengan tidak memenuhi perjanjian kontrak – dakwaan yang dinafikannya.
Susulan itu beliau telah mengarahkan peguamnya menghantar surat peguam kepada dua individu yang membuat dakwaan itu dalam beberapa hantaran di media sosial dan podcast.
Pelanggan terjejas mendakwa penghantaran mesin mereka mengalami kelewatan atau langsung tidak sampai.
Mereka yang berjaya mendapatkan mesin pula mendakwa barangan itu tersekat di gudang apabila berlaku gangguan ketika mencari tempat untuk berniaga.
Memberi penjelasan, Cik Aida berkata antara sebab kelewatan penghantaran adalah kelewatan di tahap penghasilan di kilang luar negara kerana mesin layan diri yang ditempah dibina khas menurut permintaan pelanggan.
Dalam kontrak yang dilihat BH, ia menetapkan mesin akan dihantar dalam tempoh sehingga lapan minggu, namun Cik Aida mendakwa penghasilan mesin boleh mengambil masa lebih lama.
Berkaitan masalah lokasi, Cik Aida berkata ini berlaku kerana lokasi yang pemilik mahukan tidak berjaya didapatkan dan perlu mengganti ke lokasi lain. Lokasi juga hanya dapat diperoleh setelah menjalani proses tender dengan tuan tanah, jelasnya.
“Kadang kala kami gagal dalam tender selepas pelanggan membuat bayaran,” dakwa Cik Aida.
“Kadang kala selepas kami mendapat lokasi untuk meletak mesin untuk berniaga, tuan tanah meminta kami menggantikan mesin itu sebab barang yang dijual tidak sesuai.”
Mengulas tentang kegagalannya melunaskan deposit pelanggan, Cik Aida berkata kontrak yang dipersetujui menetapkan syarat bahawa bayaran bagi mesin tidak boleh dikembalikan.
Setiap mesin dijual pada harga $5,000 hingga $75,000, katanya.
Namun bagi menghormati pelanggannya, beliau memberi pilihan supaya mesin layan diri yang ditempah itu dijual kepada pembeli lain dengan untung sekitar 5 hingga 30 peratus nilai mesin itu, tertakluk kepada jenis dan keadaan mesin itu.
Hasil jualan itu kemudian digunakan untuk mengembalikan deposit pelanggan, jelas Cik Aida, dan pihaknya akan mengambil sebahagian hasilnya sebagai yuran mencari pembeli baru.
“Cuma proses ini mengambil masa dan kadang kami dapat pembeli baru tetapi mereka mengundur diri kemudian,” katanya.
“Saya juga tidak berjanji mesin mereka akan akhirnya berjaya dijual kepada pembeli lain.”
“
“Saya akur mungkin saya telah gagal dalam model perniagaan ini. Saya memilih untuk mengendalikan perniagaan ini dan saya telah menerima pengajaran pahitnya. Tetapi saya tidak berniat melenyapkan diri, atau sekadar mengambil duit orang mahupun menipu mereka.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg