Topik diikuti
Pergi ke BHkuGagal selesai kemas kini keselamatan jadi punca gangguan sistem kesihatan awam pada 13 Okt
Gagal selesai kemas kini keselamatan jadi punca gangguan sistem kesihatan awam pada 13 Okt
Gagal selesai kemas kini keselamatan jadi punca gangguan sistem kesihatan awam pada 13 Okt
Gangguan perkhidmatan yang menjejas sektor penjagaan kesihatan awam Singapura pada 13 Oktober berlaku dek kegagalan menyelesaikan kemas kini keselamatan sistem tepat pada masanya, kata Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How.
Menjawab soalan di Parlimen pada 3 November, Encik Tan juga mengesahkan gangguan tersebut yang telah berlaku selama kira-kira sembilan setengah jam dan memberi kesan kepada sekitar 4,000 pesakit bukan satu serangan siber.
Siasatan juga mendapati tiada sebarang pencerobohan mahupun kehilangan data pesakit.
Beliau menambah, agensi teknologi kesihatan kebangsaan, Synapxe, telah melantik sebuah penyedia perkhidmatan untuk menguruskan kemas kini yang diperlukan itu, namun ia tidak dilaksanakan.
Synapxe sedang meneliti semula kewajipan kontrak penyedia tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang kecuaian yang terbukti, ujar beliau.
“Puncanya adalah kemas kini keselamatan yang diperlukan bagi perkhidmatan Sistem Nama Domain (DNS) kongsi yang tidak diselesaikan sebelum perubahan global yang dijadualkan.
“DNS berfungsi seperti buku alamat internet yang membantu sistem mencari dan menyambung ke aplikasi.
“Ini merupakan perubahan yang telah diketahui dan satu kecuaian yang sepatutnya boleh dielakkan,” kata Encik Tan.
Berkongsi lanjut, Encik Tan berkata Synapxe tetap memikul tanggungjawab penuh ke atas sistem pentingnya walaupun ia diuruskan oleh vendor luar.
Agensi itu kini memperkukuh cara memantau dan mengesan kerosakan agar sistem boleh pulih dengan lebih pantas, katanya, sambil memohon maaf atas kesulitan yang dialami pesakit serta keluarga mereka, selain penambahan beban kerja yang terpaksa ditanggung oleh petugas kesihatan.
Gangguan tersebut telah menjejas kelompok penjagaan kesihatan awam – NHG Health, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan SingHealth.
Perkhidmatan yang terjejas merangkumi tempahan janji temu, pendaftaran pelawat, pengeluaran ubat dan urusan pembelian.
Institusi penjagaan kesihatan telah mengaktifkan prosedur luar talian dengan kakitangan tambahan dikerahkan bagi menyokong operasi, manakala doktor menggunakan rekod pesakit yang terpilih serta aliran kerja manual untuk meneruskan rawatan penting, kongsi Encik Tan.
Menurutnya, sekitar 4,000 janji temu pesakit luar telah dijadualkan semula, dan sebahagian pesakit mengalami kelewatan sehingga dua jam.
Namun, tiada sebarang insiden keselamatan pesakit yang memudaratkan dilaporkan berpunca daripada gangguan tersebut, tambahnya.
Susulan gangguan itu, Encik Tan berkata pemerintah akan memperkukuh tiga bidang.
Ini termasuk, pencegahan, dengan meningkatkan penjejakan dan pengesahan perubahan teknikal yang kritikal; dan pembendungan, dengan menangani kebergantungan bersama serta menambah baik aturan pemulihan.
Ini di samping kesinambungan penjagaan, dengan memperbaiki sistem luar talian, kesiapsiagaan kakitangan, serta latihan berkala, termasuk bagi gangguan separa.
“Pendigitalan membawa manfaat besar kepada sektor penjagaan kesihatan.
“Namun, seiring dengan sistem kita yang semakin saling berhubung kait, daya tahan juga perlu dipertingkatkan.
“Kita mesti menjadikan teknologi kita lebih boleh diharap, di samping memastikan petugas kesihatan dapat terus merawat pesakit dengan selamat biarpun ketika teknologi mengalami kegagalan,” katanya.