Syarikat peralatan elektronik Gain City akan mendermakan sebuah van yang diubah suai dan mampu memuatkan kerusi roda kepada Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA).
Kenderaan yang direka khas itu akan membawa pesakit buah pinggang ke pusat dialisis selain mampu menghantar kanak-kanak anak yatim ke kelas dan kegiatan yang dihadiri mereka.
Ia akan didermakan kepada MTFA selepas 30 September ini.
Ini dilakukan menerusi satu kempen selama enam bulan – dari 27 Mac hingga 30 September 2024 – menerusi penjualan amal set beg serba guna dan tuala pantai.
Kempen yang dinamakan Cahayakan Bandar Kita Dengan Cinta – Bagi Persatuan Dana Amanah Muslimin itu ialah peluang untuk masyarakat Singapura mengetahui misi MTFA dan cabaran yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik.
Satu acara mempromosikan kempen tersebut telah berlangsung di bangunan SPH Media di Toa Payoh North pada 15 Mei.
Pengarah Sumber Manusia kumpulan syarikat Gain City, Cik Teo Caiqun, berkata:
“Usaha ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif memberi dan berkongsi dalam kalangan masyarakat. Reka bentuk tuala dan beg yang praktikal ini juga menawarkan warna-warna cerah, menjadikannya sesuai untuk kegunaan di rumah, percutian di pantai atau aktiviti harian.
Penolong Pengarah Pemasaran dan Perhubungan MTFA, Cik Nur Asykin Ismail, yang ditemui berkata:
“Dengan rangkaian luas Gain City, kami boleh meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada lebih ramai individu untuk menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan.”
Penjualan amal beg serba guna dan tuala pantai diadakan sehingga 30 September 2024 di 11 cawangan Gain City di seluruh Singapura – Gain City Megastore @ Sungai Kadut, Ang Mo Kio, Bedok Mall, Causeway Point, Funan, IMM, Marina Square, Northpoint City, Tampines 1, Towner Road dan Waterway Point.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg