Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaji 63,000 kakitangan jagaan kesihatan awam naik sehingga 7% mulai Jul

MOH: Sebagai usaha sektor itu tarik dan kekalkan kakitangan dengan lebih baik
Mar 27, 2025 | 5:46 PM
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata kakitangan penjagaan kesihatan akan terus menerima kenaikan gaji tahunan untuk memastikan gaji sejajar dengan inflasi.
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata kakitangan penjagaan kesihatan akan terus menerima kenaikan gaji tahunan untuk memastikan gaji sejajar dengan inflasi. - Foto ST

Sekitar 63,000 kakitangan penjagaan kesihatan dalam sektor awam akan menikmati kenaikan sehingga 7 peratus pada gaji pokok bulanan mereka mulai 1 Julai, dalam usaha sektor itu menarik dan mengekalkan kakitangan dengan lebih baik.

Secara khusus, 37,000 kakitangan penjagaan kesihatan bersekutu, ahli farmasi, serta kakitangan pentadbiran, sampingan dan sokongan akan mendapat kenaikan gaji maksimum sehingga 7 peratus.

Menurut The Straits Times, kali terakhir gaji dinaikkan untuk kumpulan kakitangan penjagaan kesihatan itu adalah pada 2021.

Satu lagi kumpulan 26,000 jururawat penjagaan kesihatan awam juga akan menikmati kenaikan pada gaji pokok bulanan mereka, tetapi hadnya ialah 4 peratus.

Pelarasan itu adalah di samping skim Anugerah untuk Adab, Kecemerlangan dan Kesetiaan Jururawat, atau ‘Award for Nurses’ Grace, Excellence and Loyalty’ (Angel), yang dilancarkan pada September 2024 untuk menarik dan menggalakkan jururawat membina kerjaya sepanjang hayat dalam kejururawatan.

Di bawah skim Angel, jururawat berusia di bawah usia 46 tahun dan yang baru akan menerima pembayaran setiap empat hingga enam tahun dari masa mereka menyertai skim itu, dengan setiap pembayaran adalah antara $20,000 dengan $30,000. 

“Dengan kenaikan gaji ini, yang melebihi kenaikan tahunan, kami akan membolehkan sektor penjagaan kesihatan awam menarik dan mengekalkan kakitangan dengan lebih baik,” kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan pada 27 Mac.

Kementerian itu berkata kakitangan penjagaan kesihatan akan terus menerima kenaikan gaji tahunan, yang bertujuan memastikan paras gaji seiring dengan inflasi.

Ia menambah, pekerja penjagaan kesihatan adalah penggerak di sebalik penjagaan yang baik, dan semakan gaji dijalankan secara berkala untuk memastikan ia kekal berdaya saing.

“Selain ganjaran, kami akan terus menyemak inisiatif pembangunan tenaga kerja kami dan menambah baik peluang untuk pekerja penjagaan kesihatan kami, melalui reka bentuk semula pekerjaan dan pembangunan kerjaya,” kata MOH.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada Januari mengumumkan kenaikan gaji untuk 37,000 kakitangan penjagaan kesihatan bersekutu, ahli farmasi, serta kakitangan pentadbiran, sampingan dan sokongan.

Dalam satu kenyataan, presiden Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HSEU), Cik K. Thanaletchimi, mengucapkan terima kasih kepada tiga kluster penjagaan kesihatan awam atas kerjasama erat mereka untuk meningkatkan gaji pekerja penjagaan kesihatan awam.

Selain kenaikan gaji, hasil keputusan lain seperti kenaikan dalam julat gaji, serta faedah perubatan, pergigian dan kemasukan hospital yang lebih baik, dicapai.

“Pekerja penjagaan kesihatan kita telah berbakti dalam menjaga kita. Dengan mengiktiraf bakti mereka dengan gaji dan faedah yang adil dan berdaya saing, kita mengukuhkan iltizam kita terhadap kesejahteraan mereka.

“Peningkatan ini akan membolehkan Singapura terus menarik dan mengekalkan bakat terbaik, sambil mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam kita untuk masa depan,” kata Cik Thanaletchimi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg