Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS) akan diperhalusi dalam Belanjawan akan datang, umum Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, namun enggan mengulas lanjut buat masa ini.
LQS ialah kadar gaji minimum yang perlu dibayar oleh majikan di Singapura kepada pekerja tempatan supaya mereka layak menggajikan warga asing.
Ia kini ditetapkan pada $1,600.
Kali terakhir LQS dinaikkan adalah pada Julai 2024 iaitu daripada $1,400 kepada $1,600.
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) menggesa LQS dinaikkan pada September 2025 demi menyokong pekerja berpendapatan rendah.
Dr Tan menjawab soalan daripada Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang) mengenai skim sokongan berasingan, iaitu Skim Ihsan Senja.
LQS, jelas Dr Tan, bertujuan memastikan firma yang ingin menggaji pekerja asing membayar pekerja tempatan mereka dengan gaji yang bermakna dan bukan sekadar gaji token semata-mata untuk memenuhi syarat pengambilan.
“Ia bukan pengukur kecukupan persaraan atau keperluan kewangan, justeru tiada kaitan dengan Skim Ihsan Senja,” katanya.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan menyampaikan ucapan Belanjawan pada 12 Februari.
Sementara itu, Dr Tan memaklumkan di Parlimen bahawa lebih ramai warga emas, termasuk mereka yang berpendapatan rendah, telah layak menerima pembayaran Skim Ihsan Senja selepas kadar pendapatan isi rumah per kapita (PCHI) bulanan yang layak dinaikkan daripada $1,800 kepada $2,300.
Kini, sekitar 290,000 warga emas berusia 65 tahun ke atas meraih manfaat daripada skim tersebut.
Meskipun begitu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan terus menyemak semula skim itu secara berkala, kata Dr Tan.
Menjawab soalan yang diajukan Encik Abdul Muhaimin sama ada MOM akan menyemak semula kadar skim itu untuk memastikan sokongan yang konsisten dan mencukupi bagi warga emas berpendapatan rendah, Dr Tan berkata:
“Pembayaran Skim Ihsan Senja dikategorikan mengikut jenis flat dan PCHI bulanan bagi memastikan sokongan tersebut disasarkan paling banyak kepada warga emas yang kini mempunyai sedikit atau tiada sokongan keluarga dan sumber dalam meniti persaraan mereka.”
Warga emas yang layak, yang tinggal di flat lebih kecil dengan sumber kewangan yang kurang, akan menerima bayaran lebih tinggi.
Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) pula bertanya sama ada MOM telah menyemak semula kadar caruman Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) seumur hidup sebanyak $140,000 untuk layak menerima sokongan Skim Ihsan Senja, memandangkan Lembaga CPF telah melaraskan Jumlah Persaraan Penuh sebanyak 10 kali sejak skim tersebut dilaksanakan pada 2016.
Dr Tan menjelaskan bahawa ini bukan perbandingan yang setara kerana Skim Ihsan Senja harus dilihat bersama skim lain untuk menyokong warga emas, seperti Pakej Majulah dan bantuan yang lebih luas termasuk Pakej Jaminan dan Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
Dr Tan berkata pada 2021, jumlah kadar caruman CPF – yang mencerminkan pendapatan warga emas semasa tahun-tahun bekerja mereka – telah digandakan daripada $7,000 kepada $140,000.
Pada 2025 pula, MOM telah menaikkan kadar PCHI yang layak daripada $1,800 kepada $2,300 dan juga meningkatkan pembayaran suku tahunan sebanyak 20 peratus, tambahnya.
Skim Ihsan Senja hanyalah sebahagian daripada langkah sokongan sosial lebih luas yang diberikan pemerintah.
Ini termasuk Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) dan bonus ‘Earn and Save’ Pakej Majulah yang membantu dalam meningkatkan simpanan persaraan warga emas berpendapatan rendah hingga sederhana dan boleh meningkatkan pembayaran CPF Hayat mereka.
Encik Shawn Loh (GRC Jalan Besar) bertanya sama ada tahap sokongan Skim Ihsan Senja tertinggi boleh diberikan kepada warga emas berumur lebih 80 tahun yang tinggal di flat HDB lebih kecil kerana warga emas sedemikian mungkin akan menghabiskan simpanan CPF mereka.
Dr Tan berkata pemerintah sentiasa menyemak semula skimnya untuk melihat bagaimana ia dapat menyokong semua rakyat Singapura dengan lebih baik, termasuk warga emas.
“Izinkan saya memberi jaminan kepada semua orang di Dewan ini bahawa kami akan terus menyemak Skim Ihsan Senja secara berkala,” ujar beliau.
“Pemerintah juga menyediakan pelbagai bentuk sokongan untuk membantu rakyat Singapura, termasuk warga emas, menangani masalah kos sara hidup. Ini termasuk skim Pakej Jaminan dan GSTV, yang telah dipertingkatkan pada 2025,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg