Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Poh Koon: CPF LIFE beri bayaran bulanan seperti pendapatan sewa hartanah

Nov 13, 2025 | 6:17 PM
CPF LIFE
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon (dua dari kiri), berkata bayaran CPF LIFE tidak dikenakan cukai seperti pendapatan sewa. - Foto SHIN MIN

Membuat tokokan kepada akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) diibaratkan seperti melabur dalam hartanah demi mendapatkan sumber pendapatan tetap pada usia lanjut.

Perbandingan ini dikemukakan oleh Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon, dalam satu sesi panel yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada 11 November.

Turut bersamanya adalah timbalan ketua eksekutif Lembaga CPF bagi dasar dan pembangunan korporat, Encik Tang Lee Huat, dan seorang sukarelawan CPF, Cik Ong Sin Hong, lapor The Straits Times (ST).

Sesi dialog dalam bahasa Mandarin itu menyentuh tentang kecukupan persaraan dan dianjurkan oleh akhbar bahasa Cina setempat Shin Min Daily News dengan kerjasama unit maklum balas pemerintah, Reach.

Berucap kepada kira-kira 100 peserta, Dr Koh berkata CPF LIFE memberikan bayaran bulanan tetap sepanjang hayat, sama seperti menerima pendapatan sewa hartanah.

Namun, tidak seperti pendapatan sewa yang dikenakan cukai, bayaran CPF LIFE bebas cukai.

Beliau menambah, ahli CPF tidak perlu risau tentang mencari penyewa atau menanggung kos penyelenggaraan hartanah.

CPF LIFE ialah skim anuiti insurans seumur hidup yang menyediakan pembayaran bulanan dari usia 65 tahun dan ke atas tanpa mengira jangka hayat.

Warga Singapura dan penduduk tetap (PR) yang lahir pada 1958 atau selepasnya disertakan secara automatik dalam skim tersebut jika mereka memiliki sekurang-kurangnya $60,000 dalam akaun persaraan.

Selepas itu, mereka boleh memilih untuk memulakan bayaran bila-bila masa antara umur 65 dengan 70 tahun, dengan dana dalam Akaun Persaraan (RA) digunakan bagi membayar premium skim tersebut.

Ahli CPF boleh meningkatkan bayaran CPF LIFE dengan membuat tokokan tunai atau pemindahan CPF ke Akaun Khas (SA) atau RA untuk diri sendiri atau orang tersayang.

Bagi yang berusia di bawah 55 tahun, tokokan akan dimasukkan ke SA, manakala mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas, tokokan akan dimasukkan ke RA.

Menurut CPF, ahli yang mempunyai Jumlah Persaraan Penuh (FRS) sebanyak $213,000 pada 2025 boleh menerima bayaran kira-kira $1,730 sebulan mulai umur 65 buat sepanjang hayat.

Mereka yang berumur 55 tahun dan ke atas mempunyai pilihan untuk menokok Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan (ERS) mengikut kadar tahun semasa iaitu $426,000.

Ini memberikan bayaran bulanan sepanjang hayat sebanyak $3,330 dari umur 65 tahun, iaitu $1,600 lebih tinggi berbanding jika mereka hanya menokok FRS.

Encik Tang turut menjelaskan bahawa ahli yang masih bekerja boleh menangguhkan bayaran CPF LIFE daripada umur 65 kepada 70 tahun.

Bayaran bulanan akan meningkat sehingga 7 peratus bagi setiap tahun penangguhan, atau sehingga 35 peratus jika ditangguhkan selama lima tahun.

Memberikan contoh ahli yang menambah ERS dan menangguhkan bayaran hingga umur 70, Dr Koh berkata ahli CPF itu boleh menerima tambahan sekitar $1,000 sebulan, jumlah yang mungkin melebihi kenaikan gaji, andainya beliau terus bekerja hingga usia 70 tahun.

Setakat Disember 2023, lebih separuh ahli yang layak untuk menerima bayaran CPF LIFE telah memilih untuk menangguhkan bayaran hingga umur 70 tahun.

Bagi ahli yang belum mencapai Jumlah Persaraan Asas (BRS) sebanyak $106,500 pada 2025, Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan (MRSS) boleh membantu mereka meningkatkan simpanan.

Bermula 1 Januari, pemerintah telah memadankan tokokan ke RA sehingga $2,000 setahun, meningkat daripada had sebelumnya sebanyak $600.

Encik Tang berkata jika ahli CPF berumur 55 tahun menambah $2,000 setahun selama 10 tahun dan menerima geran sepadan sebanyak $2,000 daripada pemerintah, mereka boleh mengumpul kira-kira $48,000 termasuk faedah CPF, menjelang umur 65 tahun.

Ini memberikan pendapatan bulanan tambahan sekitar $260 sepanjang hayat, tambahnya. Tokokan perlu dibuat sebelum akhir tahun 2025, dan pemerintah akan memberi geran sepadan pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg