Pemegang jawatan politik akan mendapat kenaikan gaji sekali sahaja sehingga 9 peratus setelah pemerintah menerima cadangan jawatankuasa yang ditubuhkan pada Disember 2025 untuk menyemak semula gaji pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP).

Ini bermakna menteri peringkat permulaan gred MR4 yang mendapat pelarasan penuh akan menyaksikan kenaikan gaji tahunannya daripada $1.1 juta kepada $1.2 juta apabila rangka kerja yang disemak semula berkuat kuasa mulai 15 Oktober.

Berucap di Parlimen pada 8 September, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah telah menerima cadangan jawatankuasa untuk mengemas kini tanda aras MR4 daripada $1.1 juta kepada $1.8 juta.

Menjelang akhir penggal pemerintah ini, Encik Wong berkata beliau menjangkakan menteri yang kekal di MR4 akan berada di peringkat hujung bawah julat gaji baharu, iaitu $1.35 juta.

“Pelarasan untuk setiap pemegang jawatan bergantung pada keadaan individu, termasuk prestasi dan bila gaji mereka kali terakhir diselaraskan,” kata Encik Wong.

Dengan perubahan pada rangka kerja tersebut, gaji Perdana Menteri, yang ditetapkan pada seganda daripada tanda aras MR4, juga akan dinaikkan kepada $3.6 juta, meningkat daripada $2.2 juta.

Bagaimanapun, Encik Wong berkata beliau akan mendermakan kenaikan gaji penuhnya – yang berjumlah $1.4 juta setiap tahun – kepada badan amal.

“Pemerintah akan terus membayar gaji yang diperuntukkan di bawah rangka kerja ini, iaitu cara sistem kita berfungsi. Saya kemudian akan mendermakan kenaikan tersebut kepada tujuan kebajikan yang sesuai.

“Ini adalah keputusan saya sendiri. Saya tidak menjangkakan pemegang jawatan lain akan melakukan perkara yang sama,” kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Julat gaji untuk menteri dalam setiap gred juga akan diperluas kepada lebih atau kurang 25 peratus, yang akan membolehkan menteri beralih ke mata gaji yang berbeza dari semasa ke semasa berdasarkan prestasi mereka.

Mereka yang berprestasi baik mungkin akan beralih ke tahap yang lebih tinggi dalam julat tersebut, kata Encik Wong, manakala mereka yang berprestasi sangat baik, mungkin akan dinaikkan pangkat ke gred yang lebih tinggi apabila mereka memikul tanggungjawab yang lebih besar.

“Tanda aras MR4 yang disemak semula sebanyak $1.8 juta bukanlah gaji sasaran yang mesti dicapai oleh setiap menteri.

“Menteri boleh dibayar di atas atau di bawah tanda aras, dalam julat yang ditetapkan,” kata Encik Wong.

Encik Wong berkata beliau memutuskan untuk menerima cadangan itu sekarang memandangkan gaji menteri telah jauh ketinggalan berbanding gaji sektor swasta dan perkhidmatan awam dalam tempoh 15 tahun yang lalu.

Gaji untuk pemegang jawatan politik terakhir dikemas kini pada 2012, dengan perubahan bertarikh kembali ke 2011 apabila penggal pemerintah baharu bermula.

Walaupun jurangnya paling ketara jika dibandingkan dengan sektor swasta, malah dalam perkhidmatan awam terdapat beberapa setiausaha tetap kanan yang berpendapatan lebih daripada menteri, katanya.

Dalam ucapannya, Encik Wong turut menekankan bahawa pemerintah yang baik tidak datang secara semula jadi di Singapura tetapi dibina secara sengaja selama bertahun-tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata adalah tanggungjawabnya untuk memastikan Singapura mempunyai kepimpinan yang boleh merancang lebih awal, mengambil keputusan yang sukar, dan menyampaikannya.

“Ia bukan sekadar tentang apa yang kita bayar kepada menteri hari ini,” katanya.

“Ia adalah tentang sama ada bakal perdana menteri akan terus mempunyai peluang yang realistik untuk menarik rakyat Singapura yang berkebolehan – daripada perkhidmatan awam, sektor swasta dan lapisan masyarakat lain – untuk melangkah ke hadapan dan membina pasukan kelas pertama untuk Singapura.”

Semasa ucapannya, Encik Wong turut mengumumkan bahawa pemerintah telah menerima cadangan jawatankuasa untuk menaikkan elaun bulanan untuk AP daripada $13,750 kepada $18,500 mulai 15 Oktober.

Pemerintah juga telah menerima cadangan jawatankuasa untuk meningkatkan gaji penjawat politik lain serta Presiden, Speaker dan Timbalan Speaker, tambah Encik Wong.