Kadar pendapatan sejam pegawai keselamatan sambilan yang digajikan agensi keselamatan akan dinaikkan secara bertahap dari Januari 2025 hingga Disember 2028.
Ia sebahagian daripada saranan kenaikan gaji berterusan sepanjang tiga tahun oleh Kelompok Tiga Pihak bagi Keselamatan (STC).
Satu kenyataan bersama Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 10 Disember mengatakan pemerintah telah meluluskan saranan tersebut, dan ia sejajar dengan kenaikan tangga gaji di bawah Model Gaji Progresif (PWM) Keselamatan sejak Januari 2024.
Kenyataan itu menambah bahawa STC akan membuat semakan lanjut terhadap PWM Keselamatan pada 2025.
Di bawah tangga gaji PWM Keselamatan, pegawai keselamatan sambilan – yang menurut Akta Pekerjaan (EA) ditakrifkan sebagai pekerja di bawah kontrak dan bekerja kurang 35 jam seminggu – kini menerima gaji $10.10 sejam.
Kadar itu akan meningkat kepada $10.95 sejam mulai 1 Januari 2025.
Dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026, kadar itu akan naik kepada $11.80 sejam, $12.65 sejam pada 2027 dan $13.45 sejam pada 2028, kata MHA dan MOM.
Menurut kementerian itu, pegawai keselamatan, pegawai keselamatan kanan, penyelia keselamatan dan penyelia keselamatan kanan sambilan juga akan melihat kenaikan kadar gaji mereka.
Pegawai keselamatan di bawah aturan kerja ad hoc turut akan menerima penyesuaian kadar gaji sedemikian, sekiranya mereka dianggap sebagai pekerja sambilan di bawah Akta Pekerjaan.
Secara berasingan, STC dalam satu dokumen pada 10 Disember berkata ia akan menyemak jadual gaji bagi pengiraan semasa untuk memperoleh kadar gaji asas sejam pada Januari 2029.
Ini setelah pengiraan semasa bagi kadar gaji asas sejam dikira berdasarkan kadar sejam yang sepadan bagi pegawai keselamatan sepenuh masa dengan pangkat yang sama, yang bekerja syif 12 jam, 5.5 hari seminggu, atau corak syif selang-seli 5/6/5/6 – iaitu peraturan lima hari bekerja, enam hari rehat secara berturut-turut.
“Ini menyediakan garis asas untuk menentukan kadar minimum asas sejam yang perlu dibayar kepada pegawai keselamatan sambilan.
“STC ingin mengingatkan semua majikan bahawa kadar PWM adalah gaji asas minimum dan bukan had maksimum,” tambah STC.
Kenaikan itu antara siri saranan yang dikemukakan STC pada November 2021 berkenaan jadual kenaikan gaji sepanjang enam tahun dari Januari 2023 hingga Disember 2028.
Pada November 2023, pegawai keselamatan sepenuh masa dari sumber luar mahupun yang digaji sendiri oleh sesebuah syarikat menerima kenaikan gaji mulai 1 Januari 2024.
Ini selepas pemerintah meluluskan saranan STC bagi pelan tangga kenaikan gaji sepanjang dua tahun bagi golongan pekerja itu hingga 31 Disember 2025.
Di bawah jadual kenaikan gaji yang disemak itu, pegawai keselamatan sumber dalaman melihat gaji mereka naik kepada $2,175 pada 2024 dan kemudian $2,315 pada 2025 – kenaikan 6.4 peratus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg